(foto: CPIM)

Pihak berkuasa India cuba mematahkan kebangkitan anak muda di negara itu dengan mengenakan perintah sekatan pergerakan di ibu negaranya Delhi dan melakukan penahanan besar-besaran terhadap aktivis-aktivis progresif.

Gelombang protes terbaru di India tercetus pada bulan September 2026, apabila wartawan akhbar mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam proses semakan semula senarai pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya India (ECI). Adalah dilaporkan bahawa sejak tahun 2025, lebih 130 juta nama telah dikeluarkan daripada senarai pengundi India atas pelbagai alasan, tetapi ia dianggap ramai sebagai satu projek penafian hak mengundi yang tidak pernah berlaku di demokrasi yang terbesar di dunia itu. Hasil daripada usaha penafian hak mengundi itu, parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP), berjaya memenangi banyak kerusi dalam pilihan raya negeri di negara itu baru-baru ini dengan mengeluarkan nama pengundi-pengundi daripada komuniti-komuniti terpinggir, termasuk pengundi-pengundi Muslim dan Dalit.

Tindakan anti-demokrasi yang memanfaatkan parti pemerintah BJP itu mencetuskan kemarahan rakyat dan protes jalanan menuntut peletakan jawatan Gyanesh Kumar sebagai Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya. Gelombang aksi protes yang terbaru ini diterajui oleh pelbagai gerakan rakyat, termasuk Parti Rakyat Lipas (CJP) yang berjaya mendesak peletakan jawatan Menteri Pendidikan kerana skandal berkaitan peperiksaan kerajaan, parti-parti politik yang bergabung dalam gabungan parti pembangkang “Perikatan Inklusif Pembangunan Kebangsaan India” (INDIA) dan gerakan pelajar di India.

Pada 2 Oktober 2026, ketika sambutan ulang tahun kelahiran Mahatma Gandhi, puluhan ribu orang demonstran berprotes di jalanan Delhi dan Mumbai. Pihak berkuasa menyekat demonstrasi dengan sekatan jalanan yang ketat. Ramai orang ditahan. Pelajar-pelajar yang berprotes dipaksa untuk menaiki bas yang menghantar mereka keluar dari bandar raya, dengan ramai dikasari dan dipukul. Namun, setiap kali polis bertindak ganas terhadap demonstran, mereka tetap kembali dengan suara bantahan yang lebih lantang.

(foto: SFI)

Pada 10 Oktober 2026, apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang (pelajar, pekerja dan petani) cuba berhimpun di Delhi untuk mendedak peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya yang menafikan hak mengundi rakyat dan mempertahankan demokrasi India, pihak berkuasa mengerahkan pasukan keselamatan untuk menyekat orang ramai daripada berhimpun. Kira-kira 26,000 orang anggota separa tentera dan 20,000 orang anggota polis telah dikerahkan ke Delhi. Bas dan kereta api yang menuju ke bandar raya Delhi diperiksa, dengan pelajar-pelajar dan anak-anak muda yang disyaki hendak menyertai protes telah ditahan sebagai langkah pencegahan. Stesen metro di Delhi telah ditutup. Kereta api yang memasuki Delhi telah diberhentikan perkhidmatan. Kerajaan juga mengumumkan penutupan akses internet. Kerajaan India pimpinan Narendra Modi cuba menggunakan pendekatan yang anti-demokratik untuk mematahkan suara mempertahankan demokrasi di negara India.

Sekurang-kurangnya 2,500 orang telah ditahan pada 10 Oktober 2026. Antara mereka yang ditahan termasuklah Abhijeet Dipke (pengasas gerakan CJP), Neha Bora selaku Presiden Persatuan Pelajar Seluruh India (AISA), Adarsh M. Saji selaku Presiden Persekutuan Pelajar India (SFI), Pinarayi Vijayan [pemimpin Parti Komunis India (Marxis) yang pernah menjadi Ketua Menteri Kerala] dan ramai lagi. Kebanyakan orang yang ditahan itu dibebaskan pada hari yang sama. Penahanan dan sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa tidak dapat menghalang orang ramai daripada terus berprotes menentang tindakan kerajaan India yang anti-demokratik.

Gerakan protes yang terbaru di India ini boleh dikatakan gelombang kebangkitan anak muda India yang kedua pada tahun ini, selepas gelombang protes yang berjaya mendesak peletakan jawatan Menteri Pendidikan pada bulan Julai 2026. Gerakan protes yang diterajui oleh golongan anak muda dan disokong oleh organisasi-organisasi politik progresif ini memikul tanggungjawab penting untuk mempertahankan demokrasi di India daripada ancaman BJP yang semakin anti-demokratik.

(foto: SFI)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *