(foto: Greenpeace)

oleh Syafiq Fadli dan Sachin Nair

Pencemaran jerebu merentas sempadan (transboundary haze) kini dianggap sebagai kejadian tahunan yang biasa di Malaysia. Walaupun pada hakikatnya ia merupakan akibat kegiatan manusia yang boleh dielakkan, iaitu pembakaran hutan bagi tujuan pertanian, ia sebaliknya dilayan sebagai bencana alam yang tidak dapat dielakkan. Meskipun pencemaran jerebu menjadi semakin teruk pada tahun ini, kerajaan Malaysia tidak menunjukkan usaha untuk bertindak segera supaya menangani isu ini secara tuntas.

Tuntutan-tuntutan PSM

PSM mendesak kerajaan Malaysia supaya menerima pakai syor-syor yang dikemukakan dalam laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada tahun 2024 yang bertajuk “Silent Enemy: Report on Haze Pollution and the Right to Clean Air” (Laporan Silent Enemy), termasuklah:

  • Menyandang kepimpinan dalam ASEAN dan menyelaras dengan negara-negara anggota lain bagi mewujudkan protokol yang mengikat di sisi undang-undang di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution) (AATHP). Ia mewajibkan negara-negara anggota untuk menggubal undang-undang domestik berkaitan jerebu merentas sempadan supaya syarikat-syarikat dan pelabur-pelabur mereka sendiri memikul tanggungjawab atas impak operasi perniagaan mereka yang menyumbang kepada pencemaran jerebu.
  • Menggubal sebuah Akta Udara Bersih (Clean Air Act). Perundangan udara bersih ini harus mengandungi, antara lain:
  • Piawaian kualiti udara ambien mandatori yang selaras dengan standard antarabangsa;
  • Mekanisme perundangan yang memudahkan: (i) penyertaan orang awam dalam tadbir urus kualiti udara, dan (ii) hak-hak untuk udara bersih yang boleh dikuatkuasakan di mahkamah; dan
  • Peruntukan khusus yang menangani pencemaran udara merentas sempadan (transboundary haze), yang memberi kuasa serta mewajibkan kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap warganegara dan syarikat-syarikat Malaysia yang menyumbang kepada pencemaran udara merentas sempadan (transboundary haze), melalui sistem jenayah dan keadilan Malaysia.

Siapakah yang harus dipersalahkan?

Setelah bertahun-tahun mengharungi masalah jerebu, kita sedia maklum bahawa ia berpunca daripada pencemaran udara merentas sempadan — khususnya akibat kebakaran hutan dan kegiatan pembersihan tanah (land clearing) di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, yang asapnya bergerak ke negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura. Pada tahun ini sahaja, hampir 300,000 hektar tanah telah musnah akibat kegiatan pembersihan tanah yang menggunakan kaedah “slash-and-burn” di Indonesia. Kemerosotan kawasan tanah gambut akibat penebangan hutan dan aktiviti perindustrian juga menjadikan kawasan tersebut lebih mudah terbakar. Namun, syarikat perniagaan tani di Indonesia bukanlah satu-satunya punca kebakaran dan masalah jerebu; syarikat Malaysia dan Singapura turut terlibat.

Akhirnya, kerajaan Malaysia harus dipersalahkan kerana tidak bertindak tegas terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang bertanggungjawab atas kebakaran hutan ini. Kerajaan juga gagal mencapai sebarang hasil yang signifikan di peringkat ASEAN bagi memastikan negara-negara anggota menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang mengawal operasi syarikat yang menyumbang kepada jerebu merentas sempadan, termasuk syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai syarikat induk dan anak syarikat di Indonesia.

Wakil-wakil rakyat mesti mengutamakan kepentingan rakyat, dan bukannya membiarkan syarikat-syarikat serta konglomerat-konglomerat pertanian terus bertindak bebas tanpa hukuman. Ertinya, kerajaan negara harus mengambil tindakan secara langsung serta menggubal undang-undang dan protokol di peringkat domestik dan ASEAN untuk memastikan entiti-entiti ini dipertanggungjawabkan.

==========

Syafiq Fadli dan Sachin Nair ialah anggota Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *