
oleh S. Arutchelvan
Setiap kerajaan selama ini telah menggunakan alat yang berbeza untuk mengekang suara bantahan dan pihak pembangkang. Antara gerakan yang terkuat dalam menentang amalan ini ialah gerakan Reformasi dan kemudiannya BERSIH. Sehingga hari ini, gerakan ini telah berjaya membawa kepada beberapa pembaharuan yang signifikan, tetapi masih terdapat banyak kekangan.
Sekarang ini, adalah amat mengecewakan apabila mendapati bahawa kerajaan yang diterajui oleh Reformasi menemui saluran baharu untuk menyekat aktiviti-aktiviti kumpulan masyarakat sivil yang dinamik.
PSM, yang pernah menjadi mangsa kepada Ordinan Darurat pada tahun 2011, amat terkejut dengan tindakan yang diambil terhadap pengarah MANDIRI, Amir Hadi dan Dobby Chew, di mana akaun peribadi dan akaun organisasi mereka telah dibekukan, serta dikenakan sekatan perjalanan. Di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan, sekurang-kurangnya seseorang itu tahu dari mana tindakan sedemikian ini datang. Sehingga hari ini, tiadanya sebarang notis atau penjelasan diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat mengenai asas pembekuan akaun atau sekatan perjalanan, mahupun mereka dipanggil untuk soal siasat.
Tanpa pertuduhan yang jelas, seseorang itu hanya boleh mengandaikan bahawa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) yang membolehkan pembekuan akaun itu telah digunakan. Satu lagi faktor yang sering disebut-sebut ialah penerimaan dana luar negara. Menggabungkan kedua-dua ini boleh mencetuskan andaian liar dalam kalangan orang ramai.
PSM ingin menyatakan bahawa bukannya rahsia dan bukannya berita tergempar bahawa kebanyakan NGO Malaysia menerima dana luar negara. Adalah rahsia terbuka bahawa kerajaan sendiri menerima dana luar negara, dan kerajaan juga menyalurkan dana kepada organisasi dan NGO tertentu. Adalah agak jelas bahawa kerajaan tidak memberikan dana kepada organisasi yang memperjuangkan hak sosial dan politik.
Ia juga bukanlah satu kesalahan jika NGO menerima dana luar negara, dan undang-undang yang sedia ada di negara kita turut menangani keperluan untuk organisasi-organisasi ini bertanggungjawab.
Oleh itu, adalah munasabah untuk menganggap bahawa serangan terhadap MANDIRI adalah bermotifkan politik, kerana MANDIRI merupakan sebuah organisasi yang paling lantang bersuara untuk mendesak pemecatan Azam Baki, dan menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes Azam Baki dan episod mafia korporat. Orang yang mengeluarkan kenyataan media mengenai pertuduhan campur tangan luar negara, kedaulatan negara dan keselamatan negara itu juga tidak lain dan tidak bukan ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan yang juga merupakan setiausaha politik Anwar, Muhammad Kamil Abdul Munim. Istilah-istilah yang digunakan oleh Kamil ini bukanlah sesuatu yang baru bagi kita dan adalah selari dengan serangan yang serupa terhadap masyarakat sivil.
Berdasarkan pengalaman kami, apabila kerajaan mengambil tindakan sedemikian, ia sama ada kerana mereka hendak mengekang dan menindas organisasi-organisasi ini, atau untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu lain yang sedang berlaku di negara ini, khususnya memandangkan retakan hubungan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) pada masa ini. Tindakan sedemikian juga mungkin bertujuan untuk memaksa pertubuhan seperti MANDIRI untuk menghabiskan lebih banyak masa dalam kes mereka sendiri dan bukannya memberi tumpuan kepada hal ehwal negara.
MANDIRI telah menyeru secara terbuka kepada kerajaan supaya bersikap telus dan mendakwa mereka jika ia telah melakukan apa-apa kesalahan.
PSM berpandangan bahawa tindakan terhadap MANDIRI ini hanya untuk menjadikan MANDIRI kambing hitam, dan mengancam serta mengintimidasi organisasi-organisasi lain yang sedang menuntut pembaharuan.
Kami berdiri bersolidariti dengan MANDIRI, dan menyeru Kerajaan MADANI yang diterajui oleh Reformasi untuk menghentikan tindakan ini. Janganlah kita menggunakan undang-undang yang represif terhadap gerakan masyarakat sivil yang berbeza pendapat.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
