oleh K. Kunasekaran
Parti Sosialis Malaysia (PSM) Parlimen Batu Gajah memandang serius dakwaan mengenai pembulian, intimidasi dan tekanan psikologi terhadap Cikgu Manjula A/P Vasantha Kumaran dari SJK(T) Ladang Changkat Kinding, Chemor, Perak.
PSM ingin mengingatkan bahawa isu kesejahteraan mental warga pendidik tidak boleh dipandang ringan. Pengalaman lalu yang melibatkan warga pendidik seperti Cikgu Sutha menunjukkan pentingnya sistem aduan yang berkesan, sokongan emosi dan intervensi awal apabila guru menghadapi tekanan atau masalah di tempat kerja.
PSM tidak mahu sebarang kelemahan dalam pengendalian aduan menyebabkan kejadian yang sama berulang. Setiap aduan berkaitan pembulian, intimidasi atau tekanan psikologi terhadap warga pendidik mesti diberikan perhatian serius dan disiasat secara adil.
Kes Cikgu Manjula telah mendapat perhatian umum dalam media sosial dan laporan akhbar Malaysia Nanban pada 6 Ogos 2026. Kes ini turut mendapat perhatian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Papparaidu Veraman, yang menyuarakan kebimbangan serta menggesa supaya siasatan telus dan tindakan sewajarnya diambil.
Menurut maklumat yang diterima oleh PSM daripada Cikgu Manjula, beliau mendakwa telah mengalami siri pembulian, intimidasi dan tekanan emosi di tempat kerja antara bulan Mac hingga Mei 2026.
Antara dakwaan yang dikemukakan ialah beliau dikutuk secara terbuka dalam kumpulan WhatsApp rasmi sekolah, ditengking, serta dihalang mendapatkan rawatan kecemasan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan hospital akibat serangan sawan.
Berikutan kejadian tersebut, beliau telah membuat aduan rasmi kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), di samping membuat laporan polis.
Cikgu Manjula kemudiannya mendapatkan bantuan daripada PSM Parlimen Batu Gajah pada 1 Jun 2026. Pada peringkat awal, PSM membantu beliau dari segi pentadbiran dengan menyediakan surat permohonan penjelasan rasmi kepada Guru Besar, bertarikh 2 Jun 2026. Memandangkan gangguan yang didakwa berterusan, beliau kemudiannya dirujuk kepada peguam di Ipoh pada 16 Julai 2026 bagi mendapatkan nasihat undang-undang.
Pada 3 Ogos 2026, JPN Perak telah mengeluarkan keputusan melalui sistem SISPAA yang memaklumkan bahawa aduan tersebut ditutup dengan dapatan bahawa tiada berlaku gangguan emosi, pembulian atau salah guna kuasa.
Walau bagaimanapun, PSM berpandangan bahawa keputusan tersebut wajar dikaji semula kerana berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua pihak tidak dipanggil untuk memberikan keterangan sebelum keputusan dibuat.
PSM mempersoalkan sama ada prinsip hak untuk didengar (right to be heard) dan keadilan semula jadi (natural justice) telah dipatuhi sepenuhnya. Rekod perubatan, laporan polis serta bukti rakaman yang dikemukakan oleh pengadu juga perlu diberikan pertimbangan sewajarnya.
Menurut maklumat yang disampaikan sendiri oleh Cikgu Manjula kepada PSM, beliau mengalami gangguan emosi yang serius selepas menerima keputusan tersebut. Dalam keadaan tekanan emosi itu, beliau memaklumkan bahawa beliau telah mengambil ubat secara berlebihan tanpa disedari sebelum dimasukkan ke Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, pada 4 Ogos 2026 untuk mendapatkan rawatan.
PSM ingin menjelaskan bahawa pada peringkat awal pihak kami tidak mendedahkan perkara ini kepada umum kerana menghormati privasi, maruah dan keadaan kesihatan Cikgu Manjula. Keutamaan PSM adalah memastikan beliau mendapat bantuan dan rawatan yang sewajarnya.
Hanya selepas isu ini mendapat perhatian awam dan dilaporkan oleh media, PSM tampil menjelaskan keadaan sebenar serta mendesak supaya satu siasatan menyeluruh dijalankan.
PSM menegaskan bahawa sekiranya tindakan yang diambil hanyalah pertukaran tempat kerja tanpa siasatan menyeluruh, ia bukan penyelesaian sebenar kepada masalah. Tindakan sedemikian hanya merupakan langkah sementara atau “melepaskan batuk di tangga” kerana gagal mengenal pasti punca sebenar dakwaan pembulian, intimidasi dan kelemahan sistem pengurusan aduan.
PSM mendesak supaya satu siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan bagi menentukan fakta sebenar, mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta memastikan langkah pembetulan diambil supaya perkara sama tidak berulang.
PSM berpandangan keadaan ini juga perlu dilihat selari dengan kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pada 23 Julai 2026, yang menekankan kepentingan intervensi awal, sokongan kesihatan mental dan usaha menangani budaya kerja toksik dalam perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) Parlimen Batu Gajah menggesa Menteri Pendidikan supaya campur tangan segera dengan mengambil alih penyiasatan kes ini serta memastikan proses siasatan dijalankan secara bebas, telus dan adil.
PSM menegaskan bahawa setiap dakwaan pembulian, intimidasi dan gangguan psikologi dalam institusi pendidikan hendaklah disiasat secara profesional. Keselamatan emosi, maruah dan hak keadilan setiap warga pendidik tidak boleh dipandang ringan.
PSM menyeru campur tangan segera Menteri Pendidikan bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengurusan aduan di Kementerian Pendidikan serta memastikan keadilan bukan sahaja dilaksanakan, malah dilihat benar-benar dilaksanakan.
==========
K. Kunasekaran ialah Penyelaras Parti Sosialis Malaysia (PSM) Parlimen Batu Gajah.
