SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – 16 JULAI 2026:  Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 dengan meletakkan seorang calon. Tinagaran Subramaniam, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Tina, akan bertanding sebagai calon PSM untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N22 Rahang.

Pengumuman ini dibuat dalam satu sidang media khas yang diadakan oleh Blok Progresif di Pejabat Negeri PSM Negeri Sembilan pada hari ini. Turut hadir dalam sidang media ini ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Amira Aisya Abdul Aziz selaku Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Rashid Ka’ selaku Presiden Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Bawani KS selaku Timbalan Setiausaha Agung PSM merangkap Pengarah Biro Pilihan Raya PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM dan Nik Aziz Afiq Abdul yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.

Sidang media khas ini juga menyaksikan pengumuman oleh Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) bahawa ia akan meletakkan calon tunggalnya dalam PRN Negeri Sembilan, Dayana binti Dal, untuk bertanding di kawasan DUN N07 Jeram Padang. Dayana merupakan anggota masyarakat Orang Asli di kawasan DUN N07 Jeram Padang.

Sementara itu, Amira Aisya Abdul Aziz mengumumkan bahawa MUDA tidak akan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan dan akan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Namun begitu, MUDA akan memberi sokongan penuh kepada calon-calon Blok Progresif daripada PSM dan ASLI dalam PRN Negeri Sembilan 2026.

“Penyertaan calon progresif dalam pilihan raya sangat penting. Jika golongan kiri yang progresif tidak mengambil pentas politik pilihan raya, golongan kanan yang konservatif akan mengisi ruang itu,” kata S. Arutchelvan. “PSM bertanding di Rahang kerana PSM pernah terlibat dalam usaha memperjuangkan hak pekerja di kawasan ini. Jadi, kawasan ini bukannya tempat yang asing bagi PSM.”

“ASLI bertanding dalam pilihan raya kerana kami ingin membawa suara Orang Asli ke dalam DUN dan membantu dalam tadbir urus Negeri Sembilan,” kata Rashid Ka’ semasa mengumumkan calon ASLI yang bakal bertanding dalam PRN Negeri Sembilan.

“Walaupun PSM hanya bertanding untuk satu kerusi, kami akan menggunakan kesempatan ini untuk mengetengahkan isu-isu rakyat dan mempromosi idea-idea sosialis,” kata Cikgu Tina. “PSM ialah sebuah parti perjuangan. PSM tidak memainkan isu perkauman dan agama, tetapi lebih memberi fokus kepada isu kelas. Jika PSM dapat masuk ke dalam DUN, kita boleh mewujudkan semak dan imbang yang lebih baik.”

Cikgu Tina ialah Setiausaha PSM Negeri Sembilan. Cikgu Tina telah terlibat dalam aktivisme sosial dan perjuangan pekerja sejak tahun 2000. Beliau pernah menerajui perjuangan Gabungan Pemandu Van Kilang semasa dia berada di Ipoh, Perak, pada tahun 2000-2003. Cikgu Tina gigih memperjuangkan hak untuk pekerja kontrak kerajaan dan pekerja ladang. Beliau merupakan seorang Pegawai Perhubungan Perusahaan (IRO) yang mewakili pekerja di mahkamah buruh, dan sering berusaha untuk memperkasakan pekerja supaya mereka dapat memperjuangkan hak mereka sendiri. Cikgu Tina juga merajui kempen PSM untuk mendesak reformasi PERKESO demi perlindungan tetap yang lebih baik bagi semua pekerja.

Cikgu Tina pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada tahun 2022 sebagai calon PSM untuk kerusi Parlimen P131 Rembau. Cikgu Tina memperoleh 779 undi (bersamaan 0.71% undian sah) dan menduduki tempat keempat dalam pertandingan lima penjuru di kawasan Parlimen Rembau pada masa itu.

PRN Negeri Sembilan 2026 dipanggil selepas DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun 2026, iaitu lebih dua tahun lebih awal daripada tamatnya tempoh DUN Negeri Sembilan, susulan krisis perlembagaan dan adat yang melibatkan institusi Undang Yang Empat dan Yang di-Pertuan Besar. DUN Negeri Sembilan mula dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14 pada tahun 2018. Dalam PRN Negeri Sembilan sebelum ini yang diadakan pada bulan Ogos 2023, PH dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerjasama pilihan raya memenangi 31 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan (dengan PH memenangi 17 kerusi dan BN memenangi 14 kerusi), sementara Perikatan Nasional (PN) memenangi 5 kerusi yang lain. BN akan bertanding melawan PH dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, dan ia bekerjasama dengan PN dengan tidak mewujudkan pertindihan calon di kawasan DUN yang sama.

Hari penamaan calon untuk PRN Negeri Sembilan kali ini ditetapkan pada 18 Julai 2026, dan hari mengundi jatuh pada 1 Ogos 2026. Sebanyak 36 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam PRN Negeri Sembilan. Seramai 889,490 orang pengundi layak untuk mengundi dalam PRN Negeri Sembilan 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *