Mahkamah Tinggi Ipoh

IPOH, PERAK – 26 JUN 2026: Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Y. A. Moses Susayan, telah menolak rayuan yang difailkan oleh Syarikat Edgenta UEMS terhadap keputusan Mahkamah Perusahaan yang sebelum ini menolak permohonan majikan untuk membatalkan tuntutan representasi Roziah Mohd. Hashim, Pengerusi Nasional Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS).

Dalam rayuan tersebut, pihak majikan berhujah bahawa Roziah tidak ditamatkan perkhidmatannya, sebaliknya perkhidmatannya berakhir apabila mencapai umur persaraan. Majikan juga berhujah bahawa penyambungan perkhidmatan selama enam bulan adalah kontrak berjangka tetap (fixed-term contract) yang tamat secara automatik apabila tempohnya berakhir, dan oleh itu tidak wujud isu pemecatan untuk dibicarakan.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi tidak menerima hujahan tersebut. Hakim memutuskan bahawa terdapat isu-isu yang perlu dibicarakan di Mahkamah Perusahaan dan kes ini wajar diteruskan ke perbicaraan penuh.

Dalam alasan penghakimannya, Hakim turut menyentuh isu pemangsaan (victimisation) yang dibangkitkan oleh pihak responden.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi telah menolak rayuan Edgenta UEMS dan memerintahkan perayu (iaitu pihak syarikat) untuk membayar kos sebanyak RM5,000 kepada responden.

Perayu, Edgenta UEMS, diwakili oleh Zul Rafique & Partners, sementara responden, Roziah, diwakili oleh Sekar & Associates.

Keputusan ini bermakna tuntutan Roziah akan diteruskan untuk perbicaraan penuh di Mahkamah Perusahaan, di mana semua isu yang dipertikaikan akan diputuskan berdasarkan keterangan dan bukti yang akan dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *