KUALA LUMPUR – 26 JUN 2026: Aktivis-aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan beberapa buah organisasi masyarakat sivil mengadakan aksi protes di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Malaysia pada hari ini untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan kuasa imperialis AS yang sedang meningkatkan sekatan terhadap negara Kuba.

Peserta-peserta aksi melaungkan slogan-slogan seperti “Hancur imperialis!”, “Viva Cuba!”, “Viva Palestina!” dan “Let Cuba live!”. Aksi protes ini diadakan untuk menunjukkan solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Kuba yang sedang menghadapi sekatan ekonomi dan ancaman serangan ketenteraan yang berterusan daripada kuasa imperialis AS.

Mereka yang turut hadir dalam aksi protes bersolidariti bersama Kuba pada hari ini termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, Sivaranjani Manickan selaku Setiausaha Agung PSM, Choo Chon Kai selaku Ahli Jawatankuasa PSM, Henry Loh daripada Aliran, Viqar Ahmed Mohamad daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Hakim daripada Malaysian Protest 4 Palestine (MP4P).

“Kuba hanya sebuah negara kecil yang tidak mungkin menyerang AS, tetapi Kerajaan AS masih mengenakan sekatan terhadapnya kerana Kuba mengamalkan sistem ekonomi yang berbeza dengan kapitalisme,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj. “Tanpa kapitalisme, Kuba masih boleh menyediakan keperluan asas kepada rakyat, seperti makanan, perumahan, kesihatan dan pendidikan, tetapi ia dianggap sebagai satu masalah dan ancaman kepada kuasa besar AS, kerana Kuba menawarkan alternatif yang berkemungkinan kepada sistem yang diamalkan oleh AS. Walaupun Kuba dianggap negara yang lebih ‘miskin’, tetapi jangka hayat hidup rakyatnya setaraf dengan AS. Ini yang tidak dapat diterima oleh Kerajaan AS.”

“Adalah tidak cukup sekadar marah pada kuasa imperialis AS kerana kezalimannya terhadap rakyat di banyak tempat, seperti Palestin, Iran dan Kuba. Kita juga harus mencari cara untuk negara-negara Dunia Ketiga berdikari,” ujar Dr. Jeyakumar Devaraj. “Kerajaan kita sekarang pun takut pada AS, kerana Kerajaan AS boleh mengancam untuk mengenakan tarif yang lebih tinggi dan mengenakan sekatan ekonomi. Hanya dengan negara-negara Dunia Ketiga seperti negara kita boleh berdikari dengan membangunkan teknologi sendiri dan pasaran sendiri, barulah kita dapat mencabar kekuasaan AS. Kita perlu mewujudkan rancangan jangka panjang untuk negara kita berdikari dan bebas daripada cengkaman kuasa imperialis AS.”

Aksi protes ini juga mengemukakan sebuah kenyataan bersama yang disokong oleh 16 buah organisasi.

Berikut ialah kandungan kenyataan bersama dengan seruan “Hentikan sekatan terhadap Kuba! Biar Kuba hidup!”:

Kami, organisasi-organisasi yang bertandatangan di bawah, mengecam sekeras-kerasnya sekatan terhadap Kuba serta ancaman ketenteraan yang berterusan terhadap rakyat Kuba yang dikenakan oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS).

Sejak bulan Januari 2026, AS telah mengenakan sekatan bahan api yang lebih ketat dan satu gelombang sekatan ekonomi baharu terhadap Kuba. Kerajaan AS juga sedang meningkatkan ancaman pencerobohan ketenteraannya terhadap Kuba. Pertuduhan dan pendakwaan terbaru terhadap Raúl Castro yang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman AS nampaknya bakal digunakan sebagai alasan oleh kuasa imperialis AS untuk melancarkan perang terhadap Kuba dan rakyat Kuba.

Selepas penculikan Presiden Venezuela Nicolás Maduro serta Wanita Pertama Cilia Flores pada bulan Januari 2026, dan perang haram terhadap Iran yang membawa lebih banyak kemusnahan serta kematian, di samping mencekik dunia dengan gangguan bekalan tenaga dan kos bahan api yang melambung tinggi, kuasa imperialis AS sekarang ini sedang mengalihkan perhatiannya kepada usaha memusnahkan negara pulau yang berdiri teguh selama lebih enam dekad sejak Revolusi 1959 dalam mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan, penentuan nasib sendiri, keamanan dan keadilan sosial.

Embargo minyak yang diperketatkan terhadap Kuba merupakan satu tindakan peperangan ekonomi terhadap Kuba dan penghukuman kolektif terhadap rakyat Kuba yang cuba menempuh jalan alternatif untuk membina sebuah masyarakat yang berperikemanusiaan dengan menentang dominasi imperialis. Ia merupakan satu lagi cubaan kuasa imperialis AS untuk mencekik rakyat Kuba dengan matlamat menukar rejim di negara pulau itu dan membalikkan pencapaian sosial Revolusi Kuba. AS telah mengekalkan embargo terhadap Kuba selama lebih enam dekad, dan secara konsistennya cuba menghancurkan negara itu kerana Kuba, selepas Revolusi 1959, sentiasa dianggap sebagai ancaman kepada kepentingan imperialisme AS. Sekatan bahan api terkini telah mengundang lebih banyak kesusahan kepada rakyat Kuba, yang kini terpaksa menghadapi kekurangan bahan api, gangguan bekalan elektrik dan gangguan terhadap perkhidmatan asas.

Sejak Revolusi 1959, Kuba telah menjadi kubu kuat solidariti antarabangsa dan keadilan sosial, dengan internasionalisme perubatan Kuba yang tiada tandingannya telah memberi manfaat kepada berjuta-juta orang di Selatan Global. Sebarang serangan imperialis terhadap Kuba ialah serangan terhadap kemanusiaan sejagat. Penentangan oleh rakyat Kuba yang revolusioner terhadap kuasa imperialis AS, untuk mempertahankan kemerdekaan mereka, kedaulatan negara mereka dan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, melambangkan perjuangan rakyat di seluruh dunia untuk pembebasan diri, keamanan yang berkekalan dan keadilan sosial.

Oleh itu, kami menyeru supaya menghentikan segera sekatan terhadap Kuba. AS harus menghentikan semua ancamannya terhadap Kuba.

Kami juga menyeru masyarakat antarabangsa, termasuk kerajaan Malaysia, untuk bersolidariti bersama Kuba dalam usaha menentang ancaman imperialis AS.

Solidariti bersama Kuba adalah untuk mempertahankan kemanusiaan, keamanan dan keadilan.

Kenyataan bersama ini disokong oleh:

  1. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  2. Aliran
  3. Citizens International
  4. Gabungan Marhaen
  5. GEGAR (Gerakan Gabungan Anti-Imperialis)
  6. Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM)
  7. Liga Mahasiswa USM
  8. Malaysian Protest 4 Palestine (MP4P)
  9. Malaysian Protest for Sudan
  10. MANDIRI
  11. Pemuda Sosialis PSM
  12. People Like Us Support Ourselves (PLUsos)
  13. Pertubuhan Mahasiswa Kongres Gombak (CONGRESS)
  14. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
  15. Sekretariat Solidariti Palestin
  16. Suara Siswa UiTM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *