
oleh S. Thilagaa
Pada 28 April 2026, Mahkamah Tinggi Ipoh yang bersidang di hadapan Yang Arif Hakim Dato’ Rohani binti Ismail telah menolak rayuan yang difailkan oleh UEMS Edgenta Sdn Bhd, selepas meneliti keseluruhan kertas kausa serta hujahan kedua-dua pihak. Mahkamah turut memerintahkan kos sebanyak RM5,000.00 terhadap Perayu.
Keputusan tersebut mengesahkan dapatan Mahkamah Perusahaan bahawa permohonan untuk membatalkan kes pada peringkat awal adalah tidak wajar, dan bahawa pertikaian ini perlu dibicarakan sepenuhnya berdasarkan merit kes.
Responden, Puan Ghanapokisam, telah berkhidmat sebagai pekerja pembersihan di Hospital Kampar selama kira-kira 30 tahun di bawah beberapa buah syarikat kontraktor yang berbeza. Pada 17 Disember 2019, UEMS Edgenta Sdn Bhd telah mengambil alih kontrak perkhidmatan daripada NS Medik dan seterusnya menyerap beliau sebagai pekerja tetap. Surat tawaran kerja tersebut tidak mengandungi sebarang peruntukan mengenai umur persaraan.
Apabila mencapai umur 60 tahun, pihak majikan telah mengeluarkan notis persaraan. Responden kemudiannya memohon pelanjutan perkhidmatan sebagaimana amalan biasa, namun hanya diberikan pelanjutan selama satu bulan atas alasan “penilaian semula”.
Pada 28 Mei 2024, majikan telah mengeluarkan surat yang mendakwa Responden gagal mematuhi arahan pertukaran tempat kerja serta mempunyai rekod kehadiran yang tidak memuaskan. Dakwaan tersebut telah dinafikan sepenuhnya oleh Responden. Walau bagaimanapun, perkhidmatan beliau kemudiannya ditamatkan pada 10 Jun 2024 tanpa sebarang surat tunjuk sebab dan tanpa diberikan peluang untuk didengar (right to be heard).
Pada masa material, Responden merupakan Timbalan Pengerusi Nasional Kesatuan Pekerja-Pekerja Sokongan Hospital Kerajaan Malaysia, dan telah memfailkan representasi di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Setelah proses rundingan damai gagal, kes ini telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan untuk adjudikasi.
Selepas pertukaran pliding, pihak majikan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan kes secara ringkas (striking out) di bawah Seksyen 29 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 atas alasan bahawa tuntutan tersebut didakwa remeh dan tidak mendedahkan isu untuk dibicarakan.
Pada 3 Disember 2025, Mahkamah Perusahaan Ipoh telah menolak permohonan tersebut dengan memutuskan bahawa terdapat isu-isu yang memerlukan perbicaraan (triable issues), khususnya sama ada penamatan tersebut merupakan persaraan sebenar atau pemecatan tanpa sebab atau alasan yang adil.
Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, pihak majikan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah Tinggi kini telah menolak rayuan tersebut dengan kos, sekali gus mengesahkan bahawa kes ini tidak wajar dibatalkan secara ringkas dan perlu diteruskan ke perbicaraan penuh di Mahkamah Perusahaan.
Perayu, UEMS Edgenta Sdn Bhd, diwakili oleh Tetuan Zul Rafique & Partners, manakala Responden, Puan Ghanapokisam, diwakili oleh Tetuan Sekar & Associates.
Kes ini akan diteruskan dengan pengurusan kes di Mahkamah Perusahaan Ipoh yang ditetapkan pada 29 April 2026.
==========
S. Thilagaa ialah Pegawai Perhubungan Perusahaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia.
