Konflik peperangan di rantau Timur Tengah memuncak lagi apabila Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran pada 28 Februari 2026. Peperangan ini tidak terhad dalam wilayah Iran, tetapi merebak ke seluruh rantau Timur Tengah, dan negara-negara lain di luar rantau itu turut merasai kesan rantaian daripadanya.
Kuasa imperialis AS telah bertindak lebih ganas sejak awal tahun ini, dengan melancarkan serangan ketenteraan ke atas Venezuela dan menculik Presiden Nicolás Maduro serta Wanita Pertama Cilia Flores pada 3 Januari 2026, pada masa yang sama meningkatkan sekatan ke atas Kuba dengan menghalang sepenuhnya pembekalan bahan api kepada negara pulau itu. Tindakan ini merupakan usaha rejim pemerintahan AS di bawah Donald Trump yang cuba memulihkan dominasi kekuasaan AS di Hemisfera Barat. Dasar samseng imperialis AS itu dikenali sebagai “Doktrin Donroe”, pengamalan dan pengukuhan semula Doktrin Monroe versi Donald Trump.
Di rantau Timur Tengah pula, walaupun gencatan senjata dikatakan mula berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025 sebagai fasa pertama “Rancangan Perdamaian Gaza” di bawah naungan AS, rejim Zionis Israel masih meneruskan tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin. Selepas membedil Iran selama 12 hari pada bulan Jun 2025, rejim Zionis Israel dan kuasa imperialis AS melancarkan serangan ketenteraan yang lebih besar mulai 28 Februari 2026. Ramai warga Iran dibunuh, termasuk Ali Khamenei yang merupakan Pemimpin Agung Iran dan Ali Larijani yang merupakan Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran. Setakat penghujung bulan Mac 2026, sekurang-kurangnya 2,000 orang telah dibunuh di Iran dalam serangan AS-Israel, termasuk kanak-kanak sekolah, sementara puluhan ribu orang cedera. Serangan ketenteraan AS-Israel ke atas Iran berlaku pada ketika Iran dan AS merundingkan perjanjian damai nuklear. Amat jelas kuasa imperialis AS tidak peduli tentang perdamaian, tetapi sentiasa hendak melindungi kepentingan geopolitiknya.

Pihak Iran bertindak balas terhadap serangan ketenteraan AS-Israel dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas pangkalan tentera AS di rantau Teluk Parsi. Hizbullah, sekutu Iran di Lubnan, mula melancarkan serangan projektil ke atas bahagian utara Israel pada 2 Mac 2026, Israel pula melancarkan serangan udara ke atas seluruh negara Lubnan, termasuk ibu negaranya Lubnan. Tentera Israel memulakan serangan darat di bahagian selatan Lubnan pada 16 Mac 2026. Lebih 1,200 orang telah dibunuh di Lubnan. Ansar Allah di Yaman juga melancarkan serangan peluru berpandu balistik Israel. Seluruh rantau Timur Tengah telah ditarik ke dalam krisis peperangan yang dimulakan oleh kuasa imperialis AS dan sekutu rapatnya rejim Zionis Israel yang melakukan jenayah genosid
Salah satu tindak balas Iran terhadap serangan ketenteraan AS-Israel ialah melakukan sekatan terhadap laluan perairan di Selat Hormuz, iaitu selat yang menghubungkan Teluk Parsi dan Lautan Hindi. Penutupan Selat Hormuz, yang merupakan laluan untuk satu perlima perdagangan minyak sedunia, telah memberi impak hebat kepada ekonomi dunia, apabila harga minyak melonjak kepada lebih AS$100 setong.
Donald Trump tiba-tiba berkata bahawa dia bersedia untuk memberi peluang kepada diplomasi, tetapi pengeboman terhadap Iran masih berterusan. Trump nampaknya agak tidak pasti tentang hala tuju peperangan yang dicetuskannya itu, dan tidak berhasrat untuk merundingkan apa-apa keamanan yang berkekalan. Lebih-lebih lagi, Pete Hegseth, Setiausaha Perang AS, berkata, “Kami berunding dengan bom!” Rejim pemerintahan Donald Trump telah berlagak seperti samseng pembuli dan pengganas yang menjadikan seluruh dunia tebusannya untuk melindungi kepentingan kuasa imperialis AS.
Semua peperangan sudah pasti akan diiringi dengan sebaran maklumat palsu yang bertujuan untuk mengelirukan pihak lawan, malah semua orang. Perang AS-Israel ke atas Iran juga tidak berkecuali, tetapi apa yang berbeza kali ini adalah penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas dalam menghasilkan video pendek yang palsu untuk disebarkan di media sosial. Ini menyebabkan orang ramai, sama ada menyokong atau menentang kekuasaan imperialis AS, mempunyai pelbagai tanggapan yang salah terhadap peperangan ini. Penyokong imperialis AS mungkin akan menganggap tentera AS-Israel sudah menguasai keadaan, sementara penyokong Iran yang termakan dengan propaganda pro-Iran akan menganggap bahawa Iran sedang menewaskan kuasa imperialis AS walaupun sudah mengalami kehancuran begitu besar. Realitinya adalah rakyat biasa di semua tempat yang terkesan dengan peperangan itu akan menderita.
Jika perang AS-Israel ke atas Iran berterusan dengan lebih lama lagi, sudah pasti lebih banyak nyawa akan hilang begitu sahaja, dan dunia akan menerima kesan buruk yang hebat, dari segi ekonomi sehingga alam sekitar. Perang ini harus dihentikan. Perang ini boleh dihentikan dengan “mudah” jika kuasa imperialis AS memutuskan untuk menghentikan segala tindakan agresifnya yang menyerang Iran dan membunuh pemimpin-pemimpinnya. Namun, nampaknya rejim pemerintahan Trump di AS tidak berhasrat untuk berbuat demikian buat masa ini. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat di seluruh dunia, termasuk rakyat di AS, untuk terus memberi tekanan kepada kerajaan AS.
Perang AS-Israel ke atas Iran dan kesannya yang mendalam merentasi sempadan negara di peringkat antarabangsa merupakan penjelmaan terbaru krisis kapitalis global. Dengan kekuasaan imperialis AS semakin tergugat dengan kemunculan kuasa-kuasa ekonomi politik yang baharu, rejim pemerintahan di AS yang hendak melindungi kepentingan golongan elit oligarki semakin terdesak menggunakan kaedah yang agresif untuk “menebus semula” dominasi kuasa mereka.
Sifat pembuli rejim pemerintahan Trump itu tidak akan berubah, tanpa “perubahan rejim” seperti yang disokong oleh kerajaan AS di banyak negara, tetapi ia hanya dapat dilakukan dengan rakyat AS membangunkan gerakan penentangan yang lebih hebat terhadap rejim pemerintahan di negara itu yang semakin menjurus ke arah autoritarian. Sekadar perubahan rejim juga tidak mencukupi, kita perlukan perubahan sistem yang membuang kapitalisme dan imperialisme.
Di luar negara AS, gerakan masyarakat di merata tempat harus mendesak kerajaan masing-masing untuk mengambil tindakan yang konkrit untuk memulaukan negara AS. Tindakan pemulauan itu boleh merangkumi langkah-langkah seperti memboikot perusahaan pembuatan senjata AS, mengenakan embargo terhadap perdagangan senjata AS, malah sehingga menggantung atau memutuskan hubungan diplomatik dengan AS. Kuasa imperialis AS harus diasingkan dan dipulaukan di seluruh dunia, supaya ia tidak dapat lagi menggunakan kekuasaan ekonomi dan ketenteraannya untuk menakut-takutkan masyarakat sedunia.
