
Zohran Kwame Mamdani, seorang yang menggelar dirinya sebagai sosialis demokratik, mencipta sejarah apabila menjadi datuk bandar Muslim yang pertama bagi Bandar Raya New York, bandar terbesar dari segi jumlah penduduk di negara Amerika Syarikat (AS).
Pilihan raya Datuk Bandar New York yang terbaru telah diadakan pada 4 November 2025, dengan lebih 2 juta orang pengundi membuang undi mereka, mencatatkan angka yang tertinggi sejak tahun 1869. Zohran Mamdani, calon yang disokong oleh Parti Demokratik dan Parti Keluarga Pekerja (WFP) berjaya meraih lebih 1 juta undi, bersamaan 50.39% undian, dan muncul sebagai pemenang yang bakal mengambil alih jawatan datuk bandar pada 1 Januari 2026.
Pesaing terdekat Mamdani, Andrew Cuomo, seorang ahli politik veteran daripada Parti Demokratik yang bertanding sebagai calon bebas, hanya undian sebanyak 41.59%. Curtis Sliwa, calon yang mewakili Parti Republikan, hanya meraih undian sebanyak 6.63%.
Andrew Cuomo, yang berasal daripada keluarga politik yang amat berpengaruh di New York, telah kalah di tangan Mamdani semasa pemilihan awal Parti Demokratik untuk calon Datuk Bandar New York pada 24 Jun 2025. Mamdani meraih undian sebanyak 56.39% dalam pengiraan pusingan ketiga (pemilihan awal itu mengamalkan sistem pengundian mengikut keutamaan), sementara Cuomo hanya meraih 43.61%. Andrew Cuomo pernah menjadi gabenor negeri New York dari tahun 2011 hingga 2021, tetapi dia terpaksa meletak jawatan selepas dia dikenakan pelbagai dakwaan tentang salah laku seksual. Kempen Andrew Cuomo untuk Datuk Bandar New York telah mendapat sokongan kuat daripada golongan bilionair, seperti Michael Bloomberg (pengasas syarikat Bloomberg L.P.) dan bekas datuk bandar New York), Bill Ackman (pelabur dana lindung nilai), Ronald Lauder (pewaris syarikat kosmetik Estée Lauder yang pro-Israel), Joe Gebbia (pengasas Airbnb), Barry Diller (salah seorang pengasas syarikat penyiaran Fox) dan Steve Wynn (pemaju hartanah dan pemilik kasino mewah), yang menyumbangkan wang yang banyak dengan niat menewaskan Mamdani yang dianggap sebagai musuh bilionair. Malah, Donald Trump, Presiden AS yang juga merupakan seorang bilionair, juga menyatakan sokongannya kepada Andrew Cuomo untuk menewaskan Mamdani.
Kemenangan Mamdani merupakan satu tamparan hebat kepada golongan bilionair di AS yang menaburkan jutaan dolar untuk menghalangnya daripada menjadi datuk bandar bagi bandar raya yang terbesar di AS. Bandar Raya New York juga boleh dikatakan sebagai “ibu kota dunia”, kerana ia bukan sahaja menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia juga merupakan pusat kewangan global yang penting untuk ekonomi dunia.
Zohran Mamdani dilahirkan di Kampala, Uganda, pada tahun 1991, dan berhijrah ke AS serta menetap di Bandar Raya New York bersama ibu bapanya semasa dia berumur 7 tahun. Sebelum bertanding untuk jawatan politik, Mamdani pernah bekerja sebagai jururunding perumahan yang membantu pemilik rumah berpendapatan rendah yang menerima notis pengusiran, dan pengalaman itu mendorongnya untuk bertanding dalam arena politik dengan hasrat menangani masalah perumahan di Bandar Raya New York.
Mamdani mula menyertai Democratic Socialists of America (DSA) pada tahun 2017. Semasa Mamdani bertanding Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri New York pada tahun 2020, dia menewaskan penyandang ahli perwakilan Daerah ke-36 sebanyak lima penggal dalam pemilihan awal Parti Demokratik, dan kemudiannya dipilih sebagai wakil rakyat bagi daerah itu. Mamdani berkempen untuk pembaharuan perumahan, pembaharuan sistem kepolisan dan pemilikan awam terhadap kemudahan asas. Mamdani dipilih semula sebagai ahli perwakilan Dewan Undangan Negeri New York pada tahun 2022 dan 2024.
Dalam kempen pilihan raya untuk Datuk Bandar New York, Mamdani berjanji untuk menyokong bas percuma, pembekuan kenaikan kadar sewa rumah, penjagaan kanak-kanak sejagat, pembinaan 200,000 buah unit rumah mampu dihuni, pembaharuan keselamatan awam dan pelaksanaan gaji minimum AS$30 sehari menjelang tahun 2030. Mamdani juga mencadangkan kerajaan perbandaran New York untuk membuka kedai runcit di setiap daerah Bandar Raya New York yang menjual barangan runcit dengan harga lebih rendah. Mamdani berhasrat untuk meningkatkan kadar cukai terhadap syarikat korporat besar dan mereka yang berpendapatan melebihi AS$1 juta setahun.
Kempen Mamdani yang memberi keutamaan kepada isu rakyat bawahan dan keadilan sosial, telah mendapat sokongan besar daripada penduduk-penduduk Bandar Raya New York yang terhimpit dalam keadaan ekonomi yang semakin susah. Namun, program politik pembaharuannya yang hendak menaikkan taraf kehidupan rakyat biasa di Bandar Raya New York itu amat tidak disenangi oleh golongan mahakaya di AS, sehingga menyumbangkan banyak wang untuk menyebarkan pelbagai propaganda yang memburuk-burukkan imej Mamdani. Golongan elit pemerintah kapitalis AS telah melancarkan kempen yang mengapi-apikan sentimen Islamofobia dan anti-migran untuk menakut-takukan para pengundi di Bandar Raya New York. Namun, hasil daripada usaha kempen Mamdani yang penuh gigih, jutaan dolar yang dibelanjakan untuk menewaskannya akhirnya menemui kegagalan.
Kemenangan Zohran Mamdani mempunyai makna yang signifikan dalam politik AS. Ia boleh merangsang kebangkitan politik progresif yang mencabar susunan kapitalis yang sedia ada, dengan penglibatan aktif anak muda, golongan minoriti dan rakyat bawahan demi masyarakat yang lebih adil dan manusiawi. Di bawah kerajaan pimpinan Presiden Donald Trump yang mempermainkan sentimen rasis dan memangsakan golongan imigran dengan operasi penangkapan besar-besaran, kemenangan seorang imigran generasi pertama untuk jawatan eksekutif bandar raya terbesar di negara itu merupakan tamparan hebat kepada rejim pemerintahan berhaluan kanan di AS.
“Seperti apa yang pernah dikatakan Eugene Debs, aku boleh nampak fajar hari yang lebih baik untuk manusia,” kata Mamdani dalam ucapan selepas dia disahkan sebagai pemenang pilihan raya datuk bandar. Eugene V. Debs (1855-1926) yang kata-katanya dipetik oleh Mamdani itu ialah seorang tokoh sosialis yang terkenal di AS dan pernah bertanding untuk Presiden AS sebagai sebanyak lima kali. “Sudah sekian lama rakyat pekerja di New York diberitahu oleh golongan kaya dan berpengaruh bahawa kuasa tidak di dalam tangan mereka. Jari-jari yang lebam kerana mengangkat kotak di gudang, tapak tangan yang menebal kerana berpegang pada pemegang basikal penghantaran, buku lima yang berparut kerana lecuran di dapur – ini bukannya tangan dibenarkan untuk memegang kuasa. Namun, dalam tempoh 12 bulan yang lalu, anda telah berani untuk mencapai sesuatu yang lebih hebat. Malam ini, walaupun berdepan dengan segala rintangan, kita telah menggenggamnya. Masa hadapan adalah di tangan kita!”
“Rakan-rakan sekalian, kita telah menumpaskan sebuah dinasti politik,” kata Mamdani merujuk kepada dinasti politik Cuomo yang mendapat sokongan daripada golongan bilionair. “New York, malam ini anda telah menyampaikan sebuah mandat untuk perubahan! Mandat untuk bentuk politik yang baharu! Mandat untuk sebuah bandar raya yang mampu kita diami! Dan mandat untuk sebuah kerajaan yang betul-betul melaksanakannya!”
“Dalam saat kegelapan politik ini, New York akan menjadi cahaya!” Mamdani berikrar bahawa Bandar Raya New York akan menerajui perjuangan menentang Donald Trump. “Kita akan memastikan tuan tanah yang jahat dipertanggungjawabkan, kerana Donald Trump bandar kita terlalu selesa untuk mengambil kesempatan ke atas penyewa-penyewa mereka. Kita akan menamatkan budaya korupsi yang membenarkan bilionair seperti Trump untuk mengelakkan diri daripada percukaian dan mempergunakan pelepasan cukai. Kita akan berdiri bersama-sama kesatuan sekerja dan memperluaskan perlindungan buruh, kerana apabila kelas pekerja mempunyai hak yang tidak boleh dicabuli, bos yang cuba memeras ugut mereka menjadi sangat kecil.
“Biarlah kata-kata yang kita ungkapkan bersama, impian yang kita impikan bersama, menjadi agenda yang kita laksanakan bersama,” tambah Mamdani, “New York, kuasa ini kepunyaan anda. Bandar ini kepunyaan anda.”
Walau bagaimanapun, Mamdani sudah pasti akan menghadapi rintangan hebat daripada golongan elit pemerintah apabila dia mengambil alih jawatan Datuk Bandar New York pada bulan Januari 2026, dengan pelbagai cubaan untuk mensabotaj usahanya yang cuba membawa pembaharuan bermakna kepada penduduk-penduduk New York dan memberi nafas baharu kepada rakyat AS. Cabaran itu hanya boleh diatasi dengan perjuangan rakyat dari bawah yang berterusan.

2 thoughts on “AS: Zohran Mamdani dipilih Datuk Bandar New York”