
KUALA LUMPUR – 5 NOVEMBER 2025: Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan, di Pandamaran, Klang, Selangor, menggesa Bank Negara Malaysia supaya mencampur tangan untuk menghentikan pengusiran paksa yang sedang dihadapi mereka dan menyelesaikan masalah perumahan yang sudah berlarutan selama 30 tahun. Seruan ini dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan pada hari ini di ibu pejabat Bank Negara.
Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan yang sudah menetap di situ beberapa generasi lamanya sedang menghadapi pengusiran paksa daripada syarikat pemaju hartanah, dengan salah sebuah syarikat merupakan anak syarikat Bank Negara.
Pada tahun 1995, Kerajaan Negeri Selangor telah melantik syarikat TPPT Sdn Bhd untuk menyediakan penempatan semula komuniti peneroka bandar di kawasan Kampung Jalan Papan. Tanah seluas 189.67 ekar telah dipindah milik kepada syarikat TPPT Sdn Bhd dengan tujuan membina rumah bagi penduduk Kampung Jalan Papan supaya menyelesaikan masalah peneroka bandar di situ.
Syarikat TPPT Sdn Bhd (dengan TPPT merupakan singkatan kepada “Tabung Projek Perumahan Terbengkalai”) ditubuhkan oleh Bank Negara dengan tujuan asalnya untuk menyelamatkan projek perumahan terbengkalai. Ia telah berkembang menjadi sebuah syarikat pemaju hartanah yang dikatakan bertujuan untuk menyediakan rumah mampu milik.
Namun, selepas 30 tahun berlalu, janji asal untuk menyediakan perumahan kepada penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan masih belum ditunaikan. Syarikat TPPT Sdn Bhd masih belum membina perumahan bagi semua peneroka bandar di kawasan Kampung Jalan Papan. Sebaliknya, syarikat TPPT Sdn Bhd menjual atau memberikan kuasa perwakilan tanah tersebut kepada sebuah lagi syarikat, Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd, dan memindahkan tanggungjawab pembinaan rumah bagi semua peneroka Kampung Jalan Papan kepada syarikat itu.
“Adakah tindakan syarikat TPPT Sdn Bhd ini sesuatu yang bertanggungjawab atau sekadar tindakan cuci tangan?” tanya Persatuan Penduduk Jalan Papan, Pandamaran, dalam memorandum yang ditujukan kepada Dato’ Sri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour selaku Gabenor Bank Negara Malaysia. Sehingga hari ini, tiada perumahan dibina oleh sama ada syarikat TPPT atau Melati Ehsan bagi penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan. Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan juga mempersoalkan tindakan syarikat TPPT yang sudah tersasar daripada matlamatnya, iaitu “menyediakan rumah mampu milik bagi tujuan menggalakkan pemilikan rumah dan meningkatkan taraf hidup pelbagai kumpulan sasar, terutamanya kumpulan berpendapatan rendah.”
Penduduk-penduduk yang tinggal di Kampung Jalan Papan, yang wujud sejak tahun 1939, telah menerima notis pertama untuk pengosongan rumah kediaman pada tahun 2004. Susulan itu, Kerajaan Negeri Selangor telah menyerahkan tanggungjawab penyediaan penempatan semula ini kepada Syarikat TPPT Sdn Bhd. Namun, TPPT Sdn Bhd menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada syarikat Melati Ehsan. Syarikat Melati Ehsan sekarang ini pula berhasrat untuk merobohkan rumah-rumah penduduk di situ secara paksa tanpa menyediakan perumahan alternatif seperti yang dijanjikan pada tahun 2018.
Dalam satu keputusan yang dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 28 Februari 2018, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk membina rumah teres bersaiz 20’ x 70’ dengan harga tawaran RM99,000. Namun begitu, syarikat TPPT Sdn Bhd dan Melati Ehsan enggan melaksanakan keputusan MTES ini.
“Kami dimaklumkan bahawa walaupun pada tahun 2024 terdapat cadangan daripada syarikat Melati Ehsan untuk menyerahkan 11 ekar tanah kepada Kerajaan Negeri, apabila kami mengadakan mesyuarat dengan YB Datuk Borhan Aman Shah, Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, pada dua minggu lepas, kami diberitahu Melati Ehsan hanya setuju untuk menyerahkan 6 atau 7 ekar tanah bagi tujuan pembinaan rumah kepada 99 orang peneroka di Kampung Jalan Papan sekarang,” ujar memorandum daripada Persatuan Penduduk Jalan Papan, Pandamaran. “Kerajaan Negeri Selangor pada asalnya memberikan 189.67 ekar tanah untuk tujuan ini, dan sekarang hanya 7 ekar akan diserahkan balik kepada Kerajaan Negeri Selangor. Adakah ini adil?”
Lebih-lebih lagi, syarikat TPPT dan Melati Ehsan telah mengambil tindakan mahkamah untuk menghalau keluar penduduk-penduduk yang masih tinggal di Kampung Jalan Papan. Satu notis bailif untuk pengosongan rumah telah diserahkan kepada penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan pada 27 Oktober 2025, dengan penduduk-penduduk diarahkan untuk mengosongkan rumah mereka sebelum 10 November 2025. Tindakan pengusiran dan ancaman perobohan rumah ini dilakukan tanpa apa-apa jaminan untuk menunaikan janji pembinaan rumah bagi penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan seperti yang diputuskan oleh MTES.






Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan mengemukakan 5 persoalan dalam memorandum mereka untuk tatapan Gabenor Bank Negara:
- Mengapakah syarikat TPPT Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat Bank Negara, telah diberikan tanah oleh Kerajaan Negari Selangor pada tahun 2004 untuk tujuan pembinaan rumah, tetapi gagal melaksanakannya?
- Mengapakah syarikat TPPT Sdn Bhd yang sepatutnya membina rumah untuk para peneroka Kampung Jalan Papan sebaliknya meminta syarikat Melati Ehsan untuk membina rumah?
- Mengapakah syarikat TPPT Sdn Bhd sebagai tuan tanah memberikan kuasa kepada Melati Ehsan yang tidak membina rumah untuk peneroka Kampung Jalan Papan, tetapi mendapatkan perintah pengusiran daripada mahkamah? Adakah mereka cuba melepaskan tangan daripada menjalankan tanggungjawab sosial yang sepatutnya?
- Adakah syarikat TPPT Sdn Bhd sebuah syarikat yang ditubuhkan demi membantu golongan yang tidak mempunyai rumah atau sebuah badan yang bermotifkan keuntungan dengan menjual projek hartanah sahaja?
- Kerajaan Negeri Selangor memberikan tanah seluas 189.67 ekar kepada Syarikat TPPT Sdn Bhd pada tahun 1995 untuk membina rumah mampu beli bagi peneroka Kampung Jalan Papan. Namun, Syarikat TPPT /Melati Ehsan hanya mahu menyerahkan 11 ekar tanah pada tahun 2024 dan kemudian 6 ekar sahaja pada tahun 2025? Baki 183.67 ekar tanah telah hilang ke mana?
Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum daripada penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan kepada Bank Negara ialah:
- Bank Negara perlu mencampur tangan untuk menghentikan pengusiran yang dijadualkan pada 10 November 2025. Walaupun mempunyai perintah mahkamah, syarikat TPPT Sdn Bhd dan Melati Ehsan sebagai pihak tuan tanah boleh mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan pengusiran paksa sehingga isu perumahan penduduk di situ dapat diselesaikan.
- Bank Negara harus menjalankan satu siasatan terhadap syarikat TPPT Sdn Bhd, kerana tindakannya telah terpesong daripada matlamat asal untuk membina perumahan bagi golongan berpendapatan rendah. Bank Negara harus mengenal pasti status tanah seluas 189.67 ekar yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 1995. Bank Negara juga harus menyiasat sama ada wujudnya penyelewengan sehingga hanya 6-7 ekar tanah diperuntukkan kepada peneroka-peneroka Kampung Jalan Papan dan sebabnya projek pembinaan rumah ini tidak dilaksanakan untuk selama 30 tahun.
Turut hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan semasa penyerahan memorandum pada hari ini ialah M. Sivaranjani, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM.
“Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan kini ramai yang telah berusia dan uzur, dan mereka telah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rumah alternatif yang dijanjikan,” begitu katanya M. Sivaranjani, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang turut hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan semasa penyerahan memorandum pada hari ini. “Walaupun pelbagai janji telah dibuat oleh pihak berkaitan, sehingga hari ini, tiada sebarang penyelesaian konkrit dicapai. Kami amat berharap Gabenor Bank Negara dapat mempercepatkan usaha untuk menyelesaikan isu ini, demi menjaga kebajikan dan maruah penduduk yang telah lama teraniaya.”
“Kami juga melihat keadaan ini sebagai suatu skandal, kerana tanah yang sepatutnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah kos rendah kini digunakan untuk tujuan lain, manakala mereka yang sepatutnya menerima manfaatnya pula sedang diusir keluar secara paksa,” ulas Sivaranjani. “Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan meminta campur tangan segera daripada pihak Bank Negara sebelum keadaan menjadi lebih parah.”
