
oleh S. Arutchelvan
Selama beberapa generasi, lembu-lembu telah diternak di dalam kawasan ladang oleh pekerja-pekerja ladang. Amalan ini bermula pada ketika gaji sektor perladangan adalah sangat rendah, sehingga Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri pada masa itu, memperkenalkan inisiatif Buku Hijau yang menggalakkan pekerja-pekerja untuk menanam sayur-sayuran dan menternak untuk menambahkan pendapatan mereka. Selama beberapa dekad, apabila banyak keluarga di ladang berpindah keluar, sesetengah daripada mereka meneruskan aktiviti penternakan lembu di kawasan pinggiran ladang. Beberapa pihak pengurusan ladang, termasuk Guthrie, pernah membenarkan ruang dan sokongan untuk petani-petani ini.
Namun begitu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya pada tahun 2019, syarikat Sime Darby memperkenalkan dasar lembu sifar yang mengarahkan pengusiran segera haiwan ternakan dalam tempoh tiga bulan. Arahan secara mengejut ini mendatangkan kesukaran besar kepada penternak-penternak lembu kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk menempatkan semula haiwan ternakan mereka. Protes tercetus, termasuk aksi demonstrasi di hadapan ibu pejabat Sime Darby pada 8 Ogos 2019 dan di hadapan Kementerian Pertanian pada 19 September 2019.
Berikutan campur tangan Menteri Pertanian pada masa itu, Allahyarham Salahuddin Ayub, pengusiran telah diberhentikan buat sementara waktu. Malangnya, isu ini timbul semula pada tahun 2024, dan para penternak sekali lagi perlu mendapatkan bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Beberapa buah mesyuarat telah diadakan. Jawatankuasa penternak lembu menyeru supaya pengusiran diberhentikan. Pihak syarikat Sime Darby enggan menghantar pengurusan tinggi mereka untuk menghadiri mesyuarat dan hanya menghantar pegawai-pegawai penguatkuasaan mereka. Pendirian pihak-pihak pemegang taruh boleh disimpulkan seperti di bawah:
- Pemilik ladang Sime Darby: Mendakwa bahawa lembu membawa gangguan, menceroboh kawasan tapak ladang dan merosakkan tapak semaian anak pokok kelapa sawit.
- Penternak-penternak lembu: Menekankan bahawa mereka bukannya hendak mendapatkan bantuan kewangan tetapi mereka perlukan padang ragut yang sangat terhad. Mereka juga menyumbang kepada keterjaminan makanan negara dengan membekalkan susu dan daging. Mereka berjanji untuk mencegah lembu daripada memasuki kawasan larangan. Penternak-penternak lembu bersetuju untuk memikul tanggungjawab mereka.
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar: Mengakui bahawa lembu dan penanaman kelapa sawit boleh wujud secara bersama. Mereka mengetengahkan bukti bahawa lembu boleh meningkatkan hasil kelapa sawit, malah Sawit Kinabalu menawarkan insentif untuk integrasi penternakan lembu.
Sebuah buku panduan setebal 66 muka surat yang diterbitkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada tahun 2022 dengan tajuk “Panduan Menternak Lembu Pedaging Secara Integrasi Bersistematik di Ladang Sawit” mengesahkan kewujudan bersama ini, tetapi pihak Sime Darby enggan menerimanya. Apabila disoal, pegawai-pegawai penguatkuasaan mereka mengatakan bahawa mereka berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perladangan dan Komoditi, bukannya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Pembahagian bidang kuasa ini membantutkan kemajuan, walaupun Sime Darby merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sepatutnya memudahkan penyelarasan antara kementerian.
Situasi semakin teruk di Selangor
Di negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan dan polis telah membantu Sime Darby dalam mengusir lembu secara paksa. Dalam salah satu operasi, dua orang penternak ditangkap. Yang membimbangkan lagi, lembu-lembu yang dirampas oleh pejabat tanah itu dikatakan telah dilelong, dan penternak-penternak terpaksa membayar denda untuk mendapat semula haiwan ternakan mereka – hanya untuk haiwan ternakan itu kembali ke ladang yang sama di mana mereka diusir. Kitaran ini nampaknya seolah-olah satu skim menjana hasil bagi kerajaan?
Semasa operasi ini, beberapa ekor lembu mati atau hilang, dengan terdapat kecurigaan bahawa lembu-lembu itu telah dijual atau dimakan oleh pihak yang terlibat. Proses ini tidak telus – ia dijalankan pada waktu malam, tanpa pemantauan dan dikecam secara meluas oleh penternak-penternak.
Sehingga kini, penternak-penternak telah membuat kira-kira 120 aduan polis, tetapi tiada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa.
Ketegangan kaum dan kegagalan politik
Isu ini telah diputarbelitkan sebagai isu perkauman oleh wakil rakyat tempatan yang membuat dakwaan palsu bahawa lembu ternakan pekerja ladang India telah membunuh seorang penduduk kampung Melayu. Dia menghasut penduduk-penduduk kampung untuk pergi menangkap lembu-lembu itu di ladang. Walaupun tiadanya tangkapan atau bukti, ketegangan kaum yang tidak diperlukan itu telah diapi-apikan. Hanya PSM yang mencampur tangan dengan seruan kepada kerajaan negeri untuk meredakan situasi dan mencari penyelesaian.
Seperti biasa, permintaan berulang kali untuk berdialog dengan Pejabat Menteri Besar hanya menghasilkan janji tetapi tiadanya tindakan konkrit. Pada 22 Januari 2025, Gabungan Penternak Marhaen menyerahkan sebuah memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Selangor. Kira-kira 100 orang penternak lembu menyertai aksi itu. En. Daing Muhammad Reduan, seorang pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor, berjanji untuk memanggil satu mesyuarat antara semua pihak. Sembilan bulan sudah berlalu sejak itu, masih tiada apa-apa yang dilakukan.
Kini sekali lagi pada 2 Oktober 2025, sebuah memorandum diserahkan, dan seorang lagi pegawai dari Pejabat Menteri Besar, En. Firdaus, memberi janji yang sama. Nampaknya tiada kesungguhan politik daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk menyelesaikan isu ini.
Penyelesaian di depan mata tetapi komitmen?
Malaysia pada masa ini mengimport sebahagian besar daging lembu dan susu yang diperlukan di negara ini. Kadar sara diri untuk daging lembu di Malaysia hanya 15.9% pada tahun 2023; sementara untuk susu lembu segar, kadar sara diri adalah kira-kira 57.3%, bermakna 42-43% susu lembu adalah diimport.
Penternak-penternak lembu ini menawarkan penyelesaian tempatan untuk isu keterjaminan makanan, tetapi mereka menghadapi pengusiran secara sistemik.
Satu-satunya penyelesaian yang nyata ialah pihak syarikat Sime Darby memberhentikan serta-merta operasi penindasan terhadap penternak-penternak, membenarkan satu mesyuarat diadakan, memudahkan kerjasama antara kementerian untuk menyelesaikan konflik, dan akhirnya mematuhi garis panduan Kerajaan Persekutuan mengenai integrasi lembu-sawit.
Kerajaan negeri dan persekutuan harus menyelaraskan dasar mereka untuk melindungi mata pencarian penternak, mendorong kedaulatan makanan dan menegakkan keadilan.
Ironinya amat jelas: Kerajaan Persekutuan MADANI menyokong kewujudan bersama penternakan-perladangan, tetapi kerajaan negeri MADANI dan GLC persekutuan sedang menjejaskan usahanya.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Penyelaras Gabungan Marhaen.
