SHAH ALAM, SELANGOR – 2 OKTOBER 2025: Gabungan Penternak Marhaen Nasional menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya mencampur tangan untuk menghentikan pengusiran paksa terhadap penternak-penternak kecil yang mengusahakan aktiviti penternakan di kawasan ladang milik syarikat SD Guthrie Berhad. Seruan ini dibuat dalam sebuah memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada hari ini.

Baru-baru ini, pada 30 September 2025, kira-kira 100 orang pegawai penguatkuasa yang terdiri daripada polis, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan sebagainya, telah memasuki kawasan ladang milik SD Guthrie di Sabak Bernam, Selangor, untuk mengadakan operasi penangkapan lembu di situ. Para penternak kecil yang mengusahakan penternakan di situ telah dilarang daripada memasuki kawasan ladang tersebut.

“Terdapat ratusan ekor lembu di dalam kawasan ladang itu, tetapi pihak berkuasa masih tidak memaklumkan kepada penternak-penternak terbabit mengenai jumlah lembu yang sudah ditangkap,” kata Gandi CF, Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional, semasa menyerahkan memorandum yang ditujukan kepada Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor. “Operasi penangkapan lembu di kawasan ladang milik SD Guthrie ini dilakukan tanpa sebarang perintah mahkamah. Para penternak agak terkejut dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini, kerana mereka sedang memohon pihak berkenaan untuk mengadakan rundingan demi menyelesaikan masalah yang timbul.”

Isu ancaman pengusiran paksa daripada pihak pengurusan syarikat SD Guthrie telah dibawa kepada perhatian Menteri Besar Selangor sejak lebih 8 bulan dahulu, apabila Gabungan Penternak Marhaen Nasional menyerahkan sebuah memorandum kepada Kerajaan Negeri Selangor pada 22 Januari 2025 berikutan notis yang dikeluarkan pada 30 Disember 2024 kepada para penternak kecil di kawasan Ladang Sabak Bernam dan ladang-ladang lain di Selangor. Walaupun wakil Menteri Besar Selangor pada masa itu berjanji untuk mencampur tangan, pihak Kerajaan Negeri Selangor tidak mengambil sebarang inisiatif dari awal lagi untuk benar-benar menyelesaikan isu ini secara adil dan munasabah, kerana tiada satu pun perjumpaan susulan bersama para penternak kecil dipanggil untuk membincangkan isu ini.

Oleh sebab pihak syarikat SD Guthrie mengeluarkan satu lagi notis pengusiran terhadap haiwan ternakan pada 22 Ogos 2025, Gabungan Penternak Marhaen Nasional menghantar satu lagi surat kepada Pejabat Menteri Besar pada 8 September 2025, tetapi masih tiada apa-apa tindakan diambil sehingga operasi penangkapan lembu terus berlaku pada 30 September 2025.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini, Gabungan Penternak Marhaen Nasional menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil tindakan berikut:

  • Mengarahkan pihak berkuasa tempatan di bawah naungan Menteri Besar Selangor untuk tidak melakukan sebarang pengusiran paksa terhadap penternak sehingga satu mesyuarat diadakan;
  • Menasihati syarikat SD Guthrie Berhad, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), untuk menghentikan segala tindakan pengusiran paksa;
  • Menghentikan serta-merta segala tindakan yang hendak dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan sehingga satu perjumpaan diaturkan oleh pihak Menteri Besar Selangor yang melibatkan penyertaan syarikat SD Guthrie, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam dan penternak-penternak yang berkenaan.

“Tindakan syarikat SD Guthrie yang mengusir penternak lembu ini bercanggah dengan aspirasi kerajaan untuk memantapkan keterjaminan makanan di negara kita,” ulas Gandi. “Kami berharap Menteri Besar Selangor dapat mencampur tangan untuk menghentikan segala intimidasi dan membatalkan notis pengusiran terhadap penternak-penternak kecil ini sehingga sebuah mesyuarat pelbagai penjuru diadakan dalam masa terdekat.”

Turut hadir bersama semasa penyerahan memorandum kepada Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sejak tahun 2019, penternak-penternak kecil di dalam kawasan ladang milik syarikat gergasi GLC sering menghadapi ancaman pengusiran paksa. Gabungan Penternak Marhaen Nasional pernah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 19 September 2019 berkenaan notis larangan ternakan yang dikeluarkan oleh Sime Darby, dan kemudiannya satu lagi memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 25 April 2024.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *