oleh Gandipan Nantha Gopalan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menyatakan kebimbangan kami terhadap perkembangan terkini dalam sektor kesihatan negara, di mana syarikat-syarikat besar sedang memperluaskan empayar hospital swasta mereka. Sunway Healthcare Holdings yang dimiliki oleh Jeffrey Cheah yang memiliki kekayaan sebanyak AS$4.3 bilion (RM18.1 bilion) baru-baru ini telah mengumumkan rancangan tawaran awam permulaan (IPO) untuk membiayai projek pembangunan bernilai RM1.6 billion, termasuk pembinaan hospital baharu di Iskandar Puteri, Johor.

Pada bulan lepas, Thomson Medical Group yang dimiliki oleh Peter Lim dari Singapura yang memiliki kekayaan sebanyak AS$1.9 billion (RM8 bilion), juga telah mengumumkan projek mega bernilai RM18 billion yang juga akan melibatkan pembinaan sebuah hospital swasta berskala besar di Johor. Berdasarkan laporan Forbes, Thomson Hospital Iskandariah bersaiz besar dengan kapasiti 500 katil pada fasa pertama yang boleh diperluaskan sehingga 1,000 katil.

Situasi ini amat membimbangkan. PSM mengambil posisi bahawa kerajaan harus segera mengenakan moratorium terhadap pembukaan hospital swasta baharu sekurang-kurangnya untuk tempoh 5 tahun yang akan datang. Negara kita sedang berhadapan dengan masalah kekurangan doktor pakar di hospital kerajaan. 70% pakar berpengalaman lebih 10 tahun kini berada di sektor swasta, sedangkan 70% pesakit yang memerlukan rawatan di dalam wad dirawat di hospital kerajaan. Masalah kekurangan pakar ini adalah satu isu yang telah diakui oleh kerajaan dan diketahui umum oleh rakyat. 

Setiap kali sebuah hospital swasta baharu dibuka, fenomena pengaliran keluar doktor pakar dari hospital kerajaan berlaku. Sebagai contohnya, pihak pengurusan Sunway Medical Centre Ipoh yang baru dilancarkan telah berjaya merekrut 12 orang doktor pakar kerajaan dengan tawaran skim “top up” sehingga RM70,000 sebulan untuk tahun pertama perkhidmatan. Tawaran lumayan sebegini sudah tentu menarik pakar-pakar dari hospital kerajaan yang sedang menghadapi masalah kekurangan sumber manusia.

Situasi ini telah pun menyebabkan tempoh menunggu rawatan kritikal di hospital kerajaan menjadi semakin lama dan memberi tekanan kepada pesakit. Dalam keadaan sebegini, membenarkan pembukaan hospital swasta baharu hanyalah akan memburukkan masalah yang sedang dihadapi sistem kesihatan.

PSM menegaskan bahawa dalam situasi kritikal ini, tumpuan penuh kerajaan sepatutnya diberikan kepada mengekalkan pakar dalam perkhidmatan awam, bukan membenarkan sektor swasta untuk mengaut keuntungan dengan “mencuri” pakar daripada sistem kesihatan rakyat. Kami juga menjangkakan kerajaan akan berhujah bahawa skim Rakan KKM ialah jalan penyelesaian untuk mengekalkan pakar di sektor awam. Tetapi hakikatnya, Rakan KKM bukan jawapan, malah akan memburukkan lagi keadaan.

Kesihatan adalah hak rakyat, bukannya barang dagangan. Kerajaan haruslah menaikkan peruntukan tahunan Kementerian Kesihatan kepada 5% daripada KDNK untuk benar-benar menyelesaikan isu kekurangan pakar dan memperkukuh sistem kesihatan awam.

==========

Gandipan Nantha Gopalan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *