oleh Gabungan Marhaen

Selamat Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia!

Sempena Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia yang disambut pada 17 Oktober setiap tahun, Gabungan Marhaen Malaysia menuntut supaya Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan mengurangkan kadar kemiskinan warga marhaen.  

Sepanjang tahun yang lalu ini, tanggungan kewangan rakyat dalam sektor makanan, kesihatan, pendidikan, perumahan dan sebagainya meningkat dan amat dirasai oleh rakyat. Laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ​​menyatakan bahawa isi rumah berpendapatan rendah lebih bergelut ketika ini berbanding semasa tempoh COVID-19.

Sementara itu, nilai pulangan kepada golongan terkaya meningkat setiap setahun, dan jurang antara rakyat miskin dan golongan kaya di Malaysia semakin melebar. Hampir semua entiti perniagaan besar di negara kita mengecapi kenaikan dalam keuntungan sejak setahun yang lalu. Syarikat-syarikat besar seperti Sime Darby, Maybank, Public Bank, 7-Eleven, Petronas, Takaful dan sebagainya mencatatkan keuntungan besar dalam perniagaan mereka.

Kerajaan Madani pula meminta sektor swasta untuk memberi perkhidmatan dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan.

Antara projek penswastaan oleh Kerajaan Madani ialah:

  1. meningkatkan tarif bekalan air yang majoritinya dikawal oleh sektor swasta;
  2. penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) milik penuh syarikat pelaburan BlackRock; 
  3. Membuka pihak swasta melabur dalam sistem pendidikan awam seperti vokasional; dan
  4. Memberi kebenaran untuk membuka lebih banyak sayap swasta dalam hospital kerajaan.

Kerajaan Madani juga sedang meneliti lebih 100 hospital swasta yang menghantar cadangan atau menyatakan minat untuk menerima pesakit dari hospital awam bagi menampung keperluan empat perkhidmatan perubatan, iaitu nefrologi, kardiologi, pembedahan kardiotorasik dan pengimejan radiologi. Malah, Menteri Kesihatan berkata bahawa kerajaan telah diperuntukkan sebanyak RM144 juta untuk melakukan “outsourcing” dan memberikan peluang kepada hospital-hospital swasta untuk mengemukakan Request-For-Proposal (RFP).

Pada tahun lalu, kerajaan menggesa usaha untuk mewajibkan pemaju membina rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan, tetapi malangnya tiada sebarang tindakan konkrit untuk menjadikannya dasar wajib. Akibatnya, tiada rumah mampu milik dan harga perumahan masih melambung tinggi sehingga pekerja yang menerima gaji minimum tidak dapat dilulus pinjamankan perumahan daripada pihak perbankan.

Katakanlah harga sebuah rumah yang baharu dibina bernilai RM200,000 (di kawasan luar bandar), maka dengan pinjaman bank selama 30 tahun untuk kadar faedah 4% hingga 4.5%, seseorang perlu membayar lebih kurang RM1000 sebulan. Ini adalah 77% daripada gaji bersih seseorang yang menerima gaji minimum (selepas dipotong KWSP/PERKESO/SIP). Secara tidak langsung, kadar harga rumah ini adalah BUKAN untuk pekerja biasa. Jadi, untuk siapa rumah-rumah ini dibina? Inikan pula, kita hanya menghitung untuk harga perumahan di Kawasan luar bandar. Bagaimana pula dengan rakyat di bandar- bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan sebagainya? Adakah mereka mampu beli atau mampu mimpi skim perumahan di sana?

Justeru, Gabungan Marhaen menggesa Kerajaan Madani untuk memperincikan tuntutan-tuntutan berikut dalam Belanjawan 2025 yang akan datang, iaitu:

1. Jangan swastakan perkhidmatan awam

  • Perkhidmatan awam seperti hospital, pendidikan, perumahan dan sebagainya harus bebas daripada penguasaan pasaran swasta.
  • Bina lebih banyak hospital kerajaan dan universiti/kolej awam.
  • Jangan buka klinik swasta di hospital Kerajaan.
  • Hentikan penjualan aset kerajaan kepada pihak swasta.

      2. Perumahan pertama rakyat harus disediakan oleh kerajaan dan bukan pasaran

      • Bina perumahan pertama rakyat di bawah kerajaan kerana rumah ialah hak rakyat dan bukan komoditi untuk diniagakan.
      • Bina 200 rumah di setiap kawasan Parlimen di Malaysia dan sewakannya dengan skim perumahan mampu sewa untuk membolehkan masyarakat yang paling terpinggir juga mampu hidup berbumbung dengan kadar sewa yang paling minimum.
      • Bina lebih banyak Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerajaan.Ambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah seperti mana yang dijanjikan.

      3. Laksanakan Pencen Warga Emas

      • Gabungan Marhaen menyokong penuh gesaan untuk pelaksanaan Skim Pencen Warga Emas untuk pekerja swasta dan pekerja tidak formal yang akan membantu dalam mengurangkan kemiskinan warga tua.
      • Laporan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyatakan hampir 71% pekerja Malaysia berada dalam situasi serius yang mana jumlah simpanan tidak mencukupi untuk bersara.

      4. Keterjaminan makanan

      • Hentikan pengusiran terhadap petani dan penternak dengan membenarkan mereka untuk terus mengusahakan tanah di tempat masing-masing.
      • Kerajaan harus memberi subsidi kepada petani/pengeluar makanan tempatan agar mereka dapat menanggung impak luaran yang menyebabkan kos pengeluran makanan melambung tinggi.
      • Meletakkan harga siling untuk makanan asas rakyat dan melakukan penguatkuasaan yang tegas.

      5. Peruntukan lebih banyak kewangan untuk sektor sosioekonomi rakyat biasa

      • Meningkatkan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).Meningkat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
      • Meningkatkan pencen PERKESO.

      Semua tuntutan Belanjawan Marhaen untuk Kerajaan Madani ini boleh direalisasikan dengan sumber kekayaan Malaysia. Kerajaan harus tegas dengan tindakan mampan seperti:

      1. Melaksanakan Gaji Minimum RM2,000 untuk meningkatkan kuasa beli rakyat;
      2. Tingkatkan cukai korporat untuk meningkatkan pendapatan negara.

      Gabungan Marhaen berharap Belajawan 2025 yang akan dibentang pada 18 Oktober 2024 akan mengutamakan usaha-usaha praktikal untuk membasmi kemiskinan yang boleh mengurangkan jurang kaya miskin, dengan berpaksikan kepentingan rakyat dan bukannya syarikat swasta. Perkhidmatan asas rakyat harus dijamin oleh kerajaan dan tidak harus dilepaskan kepada pelabur swasta yang hanya melihatnya sebagai pelaburan demi keuntungan dan bukannya hak rakyat.

      ==========

      Kenyataan ini ditulis oleh Karthiges Rajamanickam, Penyelaras Nasional Gabungan Marhaen.

      Gabungan Marhaen (dengan singkatan MARHAEN) ialah gabungan komuniti akar umbi, kolektif masyarakat, kesatuan sekerja, NGO yang berfikiran sama, pemimpin masyarakat akar umbi dan aktivis masyarakat. Gerakan ini beraspirasi untuk mewakili kepentingan majoriti rakyat di negara kita, iaitu kelas pekerja, petani, rakyat bawahan, anak muda dan masyarakat terpinggir.

      Misi utama MARHAEN adalah untuk menggabungkan dan memantapkan semua komuniti marhaen untuk memperjuangkan hak dan kepentingan golongan marhaen demi mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama dari segi agihan kekayaan dan kesejahteraaan.

      Leave a Reply

      Your email address will not be published. Required fields are marked *