24 orang pengawal keselamatan yang bertugas di 6 buah sekolah di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang, tidak dibayar gaji selama 3 bulan!

Pekerja-pekerja kawalan keselamatan sekolah ini diupah oleh syarikat Force 77 Security Services Sdn Bhd yang beribupejabat di Shah Alam. Syarikat Force 77 Security Services Sdn Bhd memegang kontrak tender untuk kawalan keselamatan di 6 buah premis Kementerian Pendidikan Malaysia yang terletak di sekitar kawasan Bukit Mertajam, termasuk SMK Jalan Damai, , SK Jalan Baharu, SJK(C) Beng Teik (Pusat) dan SK Kampung Baru.

Menurut pekerja-pekerja kawalan keselamatan di situ, mereka tidak menerima gaji bulanan mereka sejak bulan Jun 2024. Mereka telah memfailkan kes buruh pada bulan Ogos 2024 untuk menuntut gaji yang tidak dibayar di Pejabat Tenaga Kerja, tetapi pihak majikan enggan bekerjasama dalam menjelaskan gaji yang tidak dibayar itu.

Tarikh akhir kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan Force 77 Security Services Sdn Bhd di sekolah-sekolah di kawasan Bukit Mertajam ialah 30 September 2024, dan pekerja-pekerja kawalan keselamatan yang sedia ada akan diambil alih oleh syarikat kontraktor yang baharu mulai bulan Oktober 2024. Namun, gaji untuk 4 bulan terakhir mereka bekerja dengan kontraktor lama Force 77 Security Services Sdn Bhd masih tiada berita.

Akibat daripada tidak dibayar gaji selama 3 bulan, pekerja-pekerja yang menjaga keselamatan sekolah kerajaan ini hidup dalam keadaan yang susah. Ada antara mereka dipotong bekalan air dan elektrik di rumah mereka kerana tiada wang untuk membayar bil utiliti.

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memandang serius isu ini dan mencampur tangan supaya pihak majikan syarikat Force 77 Security Services Sdn Bhd membayar gaji tertunggak kepada semua pekerjanya dengan kadar segera.

JPKK dan PSM Pulau Pinang juga menggesa kerajaan untuk menyenaraihitamkan semua syarikat kontraktor yang gagal membayar gaji kepada pekerja mereka mengikut jadual masa yang sepatutnya. Pekerja-pekerja berpendapatan rendah tidak harus dimangsakan kerana kegagalan sistem kontrak penyumberan luar itu sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *