(foto: Anura Kumara Dissanayake / X)

Anura Kumara Dissanayake daripada parti berhaluan kiri memperolehi kemenangan bersejarah dalam Pilihan Raya Presiden Sri Lanka baru-baru ini. Kemenangannya melambangkan aspirasi rakyat Sri Lanka yang berlanjutan daripada perjuangan menjatuhkan pemerintahan keluarga Rajapaksa pada tahun 2022.

Pilihan Raya Presiden Sri Lanka telah diadakan pada 21 September 2024. Sebanyak 39 orang calon bertanding dalam pilihan raya kali ini (dengan seorang calon meninggal dunia sebelum pengundian tetapi namanya masih tertera di atas kertas undi), mencatatkan jumlah calon Presiden yang terbanyak dalam sejarah pilihan raya Sri Lanka. Pilihan Raya Presiden Sri Lanka menggunakan sistem pengundian mengikut keutamaan yang terhad (di mana pengundi boleh menyatakan pilihan mereka sehingga 3 orang mengikut keutamaan; sekiranya tiada calon menerima undian melebihi 50% daripada semua undi yang sah dalam pengiraan pusingan pertama, semua calon kecuali dua orang yang menerima undi terbanyak akan disingkirkan, dan undian keutamaan kedua dan ketiga daripada undi kepada calon yang disingkirkan itu akan diagihkan kepada 2 orang calon yang tinggal itu sehingga salah seorang mendapat majoriti mutlak). Lebih 13.6 juta orang pengundi (bersamaan 79.46% pengundi yang berdaftar) telah keluar mengundi dalam Pilihan Raya Presiden kali ini.

Selepas dua pusingan pengiraan undi, Anura Kumara Dissanayake daripada Kuasa Rakyat Kebangsaan (NPP), sebuah perikatan politik berhaluan kiri yang terdiri daripada 21 buah organisasi, diisytihar sebagai pemenang pada 22 September 2024. Dissanayake meraih sebanyak 5.63 juta undi (bersamaan 42.31% undian yang sah) dalam pengiraan pusingan pertama, meletakkannya sebagai calon yang memenangi undian terbanyak, dan memperolehi 5.74 juta undi (55.89% daripada jumlah undi yang diperolehi dua calon teratas) dalam pengiraan pusingan kedua. Dissanayake mengangkat sumpah sebagai Presiden Sri Lanka yang baharu pada 23 September 2024.

Parti politik utama yang menerajui NPP ialah Janatha Vimukthi Peramuna (JVP) atau Barisan Pembebasan Rakyat, sebuah parti berhaluan kiri yang pernah melancarkan pemberontakan senjata dua kali (pada tahun 1971 dan 1987-89) untuk menentang pemerintahan yang korup dan tidak adil. Anura Kumara Dissanayake menjadi pemimpin utama JVP sejak tahun 2014. Kemenangan NPP yang diterajui oleh JVP dalam Pilihan Raya Presiden Sri Lanka terbaru ini mencipta sejarah kerana ia merupakan kali pertama seorang calon yang bukannya daripada dua parti politik arus perdana dipilih sebagai Presiden. Ini juga merupakan kali pertama dalam Pilihan Raya Presiden di mana dua orang calon yang meraih undi terbanyak itu bukannya calon yang disokong oleh sama ada Parti Kebangsaan Bersatu (UNP) atau Parti Kebebasan Sri Lanka (SLFP).

Pesaing terdekat Dissanayake, Sajith Premadasa daripada Samagi Jana Balawegaya (SJB) atau Kuasa Rakyat Bersatu, perikatan parti pembangkang yang terbesar dalam parlimen sejak tahun 2020, memperolehi 32.76% dan 44.11% undian dalam pengiraan pusingan pertama dan kedua masing-masing. Ranil Wickremesinghe, penyandang jawatan Presiden yang mengambil alih kuasa selepas kejatuhan Gotabaya Rajapaksa pada tahun 2022 dan bertanding sebagai calon bebas yang mendapat sokongan daripada UNP, hanya menduduki tempat ketiga dalam pengiraan pusingan pertama dengan 17.27% undian.

Pada masa ini, Parlimen Sri Lanka masih didominasi oleh Barisan Rakyat Sri Lanka (SLPP) yang merupakan serpihan daripada SLFP, yang menguasai 105 daripada 225 kerusi dalam Parlimen. JVP yang dipimpin oleh Dissanayake hanya mempunyai 3 kerusi parlimen pada masa ini. Dissanayake dijangka akan membubarkan parlimen untuk pilihan raya parlimen baharu supaya dia boleh mendapat sokongan daripada parlimen terhadap kepresidenannya.

Kemenangan Dissanayake dalam Pilihan Raya Presiden Sri Lanka yang terbaru ini, merupakan kali pertama sebuah parti daripada tradisi politik Marxis-Leninis menang dalam pilihan raya presiden di negara itu. Anura Kumara Dissanayake yang lahir pada tahun 1968, berasal daripada sebuah keluarga kelas pekerja di Wilayah Tengah Utara yang terletak jauh dari Colombo. Dissanayake pernah terlibat dalam aktivisme pelajar dan menyertai JVP sejak tahun 1987. Dissanayake dilantik ke dalam Jawatankuasa Kerja Pusat pada tahun 1995 dan dilantik ke dalam Biro Politik (Politburo) JVP pada tahun 1997. Dissanayake menjadi ahli parlimen pada tahun 2000, dan dilantik sebagai Menteri Pertanian, Tanah dan Penternakan pada tahun 2004  apabila JVP menyertai gabungan politik yang dipimpin oleh Chandrika Kumaratunga (Presiden Sri Lanka dari tahun 1994 hingga 2005) daripada SLFP. Dissanayake menjadi Ketua Whip Pembangkang pada tahun 2015-2018. Dissanayake juga pernah bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2019 tetapi hanya menduduki tempat ketiga dengan undian 3.16% sahaja.

Dissanayake dan pemimpin-pemimpin generasinya telah memainkan peranan penting dalam mengembangkan organisasi JVP dan memperluaskan pengaruhnya dalam kalangan pekerja, petani dan golongan miskin, dengan menampilkan dirinya sebagai alternatif kepada politik arus perdana yang penuh dengan korupsi dan nepotisme. Kepopularan Dissanayake meningkat kerana imej integritinya yang jauh berbeza dengan golongan elit arus perdana di negara itu yang penuh korup. JVP juga menolak fahaman sektarian dan berusaha untuk membina gabungan politik yang lebih luas dengan kumpulan-kumpulan kiri lain yang berbeza orientasi.

Namun, hubungan JVP dengan golongan minoriti Tamil di Sri Lanka masih menjadi tanda soal besar, kerana ramai dalam kalangan kepimpinannya cenderung kepada mendukung fahaman nasionalis Sinhala, khususnya berkaitan dengan persoalan bagaimana kerajaan menangani pemberontakan yang dipimpin oleh Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan pernah menyokong tindakan ganas kerajaan Mahinda Rajakpaksa yang mematahkan pemberontakan LTTE.

Kebangkitan NPP dan Dissanayake dalam Pilihan Raya Presiden terbaru ini merupakan manifestasi penerusan hasrat kebangkitan rakyat yang menjatuhkan pemerintahan keluarga Rajapaksa pada tahun 2022. Kempen Dissanayake mengemukakan dua janji yang utama. Yang pertama ialah menghapuskan sepenuhya korupsi politik yang dikaitkan dengan keluarga Rajapaksa dan kerajaan sebelum ini. Yang kedua ialah merundingkan semula syarat-syarat pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) demi mempertahankan kedaulatan ekonomi negara Sri Lanka.

Pinjaman IMF yang diberikan pada tahun 2023 kononnya untuk menyelamatkan ekonomi Sri Lanka itu mensyaratkan kerajaan Sri Lanka untuk melaksanakan dasar-dasar yang mengurangkan perbelanjaan sosial. Ia telah memberi kesan buruk kepada golongan miskin kerana ramai orang tidak mampu menanggung perbelanjaan keperluan asas seperti makanan dan gas untuk memasak.

Kemenangan Dissanayake disambut meriah oleh golongan miskin kerana kemenangan bersejarah ini memberi nafas baharu kepada rakyat Sri Lanka untuk satu peluang membina sebuah alternatif yang bebas daripada cengkaman politik elit lama dan agenda IMF yang memiskinkan lagi rakyat miskin. Namun, cabaran sebenar bagi Presiden baharu Dissanayake, JPV dan NPP yang diterajuinya baru bermula. Kelas pemerintah Sri Landa dan IMF tidak mahu persoalan pembayaran balik hutang dibincang semula, dan mereka juga tidak mahu menghapuskan dasar “penjimatan” yang memangsakan rakyat miskin. Sama ada Dissanayake dapat menunaikan janjinya dan melaksanakan program untuk kedaulatan ekonomi, sudah pastinya merupakan cabaran hebat yang hanya dapat diatasi melalui kesungguhan politik pemimpin kiri dan mobilisasi rakyat dari bawah.

Jutaan rakyat pekerja dan golongan miskin di Sri Lanka telah mengalami kesusahan yang teruk akibat daripada korupsi dan penyelewengan kuasa oleh kelas pemerintah. Ramai dalam kalangan mereka telah berjuang dengan gigih lagi berani dan mempertaruhkan segalanya untuk menjatuhkan pemerintahan kediktatoran elit yang korup. Pemilihan Dissanayake sebgai Presiden Sri Lanka yang baharu bukannya garisan penamat kepada perjuangan rakyat Sri Lanka. Semangat kebangkitan rakyat yang hebat seperti yang ditunjukkan dalam pemberontakan rakyat pada tahun 2022 perlu diteruskan…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *