Berikut ialah isi kandungan memorandum yang diserahkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 13 September 2024. Memorandum ini disediakan oleh Dr. Jeyakumar Devaraj.

==========

Tujuan memorandum ini adalah untuk membawa kepada perhatian SUHAKAN mengenai masalah yang dihadapi oleh dua golongan individu yang sedang memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

1. Golongan Pertama – Kanak-kanak dengan ibu warga asing yang belum mendaftar perkahwinan dengan suami yang berkewarganegaraan Malaysia pada masa kelahiran kanak-kanak berkenaan

Dengan kehadiran ribuan pekerja asing di Malaysia, ada ramai lelaki yang berkewarganegaraan Malaysia yang jatuh cinta dengan pekerja asing wanita. Mereka berkahwin mengikut upacara tradisional tetapi menghadapi masalah dalam mendaftarkan perkahwinan kerana pekerja asing wanita perlu tunggu penamatan permit kerjanya, balik ke negara asal dan datang semula ke Malaysia dengan pas sosial untuk mendaftarkan perkahwinan mereka. Oleh kerana masalah ini, ada ratusan keluarga di mana anak sulung dilahirkan sebelum pendaftaran rasmi perkahwinan ibu bapa mereka.

Kanak-kanak ini dinafikan kewarganegaraan Malaysia walaupun lahir di Malaysia dengan bapa yang berkewarganegaraan Malaysia, oleh kerana caranya Seksyen 17, Bahagian III, Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan Malaysia ditafsir oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN). Seksyen 17 ini menyatakan bahawa “berhubungan dengan seseorang anak yang tidak sah taraf, sebutan mengenai bapa orang itu adalah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai ibunya” (references to a person’s father are, in a person who is illegitimate, are to be construed as references to his mother). KDN, pada masa ini, menafsirkan sesesiapa yang dilahirkan di luar nikah sebagai “tidak sah taraf” (illegitimate), walaupun bapa kandungnya sudah mendaftarkan perkahwinannya, dan sedia bersumpah bahawa anak itu adalah anak kandungnya.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) biasanya menasihatkan bapa kanak-kanak berkenaan untuk memohon kewarganegaraan bagi anak mereka di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia boleh menganugerahkan kerakyatan kepada sesiapa yang berumur di bawah 21 tahun. Permohonan di bawah Perkara 15A adalah melalui sehelai borang permohonan, tanpa sebarang temuduga oleh pihak JPN untuk memahami latar belakang subjek secara mendalam. Proses mempertimbangkan permohonan di bawah Perkara 15A biasanya mengambil masa beberapa tahun dan sering ditolak tanpa sebab serta berulang kali. Izinkan saya mengemukakan tiga kes yang telah dikendalikan oleh PSM –

a. Chew Yun Yu

Ibu Chew Yun Yu ialah seorang pekerja Indonesia yang telah berkahwin dengan bapa Yun Yu, En. Chew Wei Kien pada tahun 2011. Oleh kerana mereka tidak mendaftarkan perkahwinan mereka, Chew Yun Yu dan adiknya Chew Yun Long tidak didaftarkan sebagai warganegara Malaysia walaupun bapanya seorang warganegara Malaysia. Malangnya, ibu Chew telah meninggalkan keluarga mereka pada tahun 2019 dan tidak menghubungi mereka sejak masa itu. Bapa Chew Yun Yu telah mengemukakan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A pada tahun 2019. Dia baru menerima jawapan bertulis yang bertarikh 13 Ogos 2024 bahawa permohonannya telah ditolak. Tiada sebarang sebab diberi untuk keputusan ini.

b. Deby Erliani

Ibu Deby ialah seorang pekerja Indonesia yang telah berkahwin dengan bapanya, En Zulkafli b Abdul Rashid pada tahun 1998. Erliani dilahirkan di sebuah klinik swatsa di Ipoh pada bulan Mac 1999. Bapanya telah mengemukakan permohonan di bawah Perkara 15A pada tahun 2018 tetapi ia ditolak tanpa diberi sebab. Sekarang Deby sudah berumur 24 tahun dan tidak lagi layak untuk memohon sekali lagi di bawah Perkara 15A. Malangnya tiada jalan lain untuk Deby mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dalam sistem yang diamalkan sekarang. ADUNnya, YB Dato’ Zokafly telah cuba memohon di bawah Perkara 19(1) tetapi ditolak kerana salah satu syarat kelayakan adalah berada di Malaysia dengan status Pemastautin Tetap selama 12 tahun sebelum memohon.

c. Foo Ai Lee dan Foo Zheng Hoong

Foo Ai Lee dan Foo Zheng Hoong dilahirkan di Hospital Tawau pada 15 Ogos 1995 dan 10 Dis 1996 masing-masing. Ayah mereka, Foo Mow Yong ialah seorang warganegara Malaysia, dan ibu mereka, Leslie Wenceslao ialah seorang Filipina. Perkahwinan ibu bapa mereka hanya didaftarkan pada tahun 1998. Ai Lee telah mengemukakan 3 permohonan di bawah Perkara 15A sejak tahun 2010, tetapi semuanya ditolak. Tiada jalan untuk Ai Lee memohon kewarganegaraan sekarang kerana umurnya telah melebihi 21 tahun, selain daripada memohon selepas berkahwin dengan seorang warganegara Malaysia – tetapi dalam senario itu juga, beliau akan menghadapi masalah dalam mendaftarkan perkahwinan tersebut. Zheng Hoong telah mengemukakan 4 permohonan di bawah Perkara 15A. Tiga telah ditolak dan beliau sekarang menunggu keputusan untuk permohonan terakhir, yang disertakan dengan ujian DNA yang membuktikan bahawa Foo Mow Yong adalah bapa kandungnya.

Tiga orang adik Ai Lee dan Zheng Hoong yang dilahirkan selepas pendaftaran perkahwinan ibu bapa mereka adalah warganegara Malaysia yang sah. Ai Lee dan Zheng Hoong telah dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia. Mereka tidak pernah keluar dari negara ini dan juga tidak memegang kewarganegaraan lain, mahupun pasport mana-mana negara lain. Mereka juga tidak berminat untuk pergi ke negara lain. Sila rujuk Lampiran Tiga untuk dokumen berkaitan Foo Ai Lee dan Foo Zheng Hoong.

2. Golongan Kedua – Kanak-kanak dengan ibu yang tidak mempunyai kad pengenalan walaupun ibu itu lahir di Malaysia

Wujudnya satu lapisan masyarakat Malaysia yang gagal mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), oleh kerana kemiskinan, masalah ketagihan arak dan sifat kurang kebertanggunjawaban. Anak-anak sebegini biasanya tidak dapat bersekolah dan apabila mereka berkahwin, tidak dapat mendaftarkan perkahwinan mereka kerana tiada kad pengenalan. Kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita dalam situasi ini tidak akan didaftarkan sebagai warganegara Malaysia walaupun bapanya warganegara Malaysia kerana mereka ditafsir sebagai “tidak sah taraf”(illegitimate) oleh JPN. Mereka boleh memohon kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan, tetapi menghadapi nasib yang sama dengan golongan pertama di atas.

Contoh golongan ini adalah keluarga En Kalidas a/l Annamalai. Kelima-lima orang anaknya telah ditolak permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A.

Masalah-masalah yang disebabkan oleh dasar Kementerian Dalam Negeri

Ketiadaan kewarganegaraan menyebabkan pelbagai masalah bagi individu-individu yang terlibat. Pendidikan kanak-kanak berkenaan diganggu. Ramai antara mereka tercicir dari sekolah oleh kerana masalah ini. Mereka dikenakan bayaran yang jauh lebih tinggi untuk rawatan di hospital kerajaan. Mereka tidak boleh memohon lesen membawa motosikal, membuka akaun bank atau bekerja di sektor formal. Mereka menghadapi masalah mendaftarkan perkahwinan mereka dan untuk subjek wanita, ini akan menyebabkan masalah kerakyatan untuk anak mereka juga.

Adalah penting untuk kita menyedari dua perkara utama –

  • Majoriti kanak-kanak yang memohon kewarganegaraan melalui Perkara 15A adalah daripada lapisan sosio-ekonomi B40. Lelaki Malaysia daripada lapsian T20 jarang tersangkut dalam masalah ini kerana lebih sedar akan undang-undang negara dan mempunyai kemampuan kewangan untuk mengelakkan perkara ini.
  • Majoriti besar daripada dua golongan yang disebut di atas akan terus bermastautin di Malaysia. Mereka tidak akan pergi ke negara lain.

Sebagai contoh, Chew Yun Yu dan adiknya telah tinggal di Kuala Lipis, Pahang, sejak mereka dilahirkan. Mereka hadir ke sekolah tempatan dan mereka tidak mengenali sesiapa pun dalam keluarga ibunya di Indonesia. Mustahil mereka akan pergi ke Indonesia dan hidup di situ. Adik-adik Deby Erliani adalah didaftar sebagai rakyat Malaysia. Mereka dan ibu bapa Deby akan terus tinggal di Sungai Siput, Perak. Amat susah untuk Deby pergi berseorangan dan tinggal di Indonesia apabila keluarganya berada di Malaysia. Dan anak-anak En Kalidas langsung tiada alasan untuk memohon kewarganegaraan dari negara lain, kerana ibu mereka memang lahir di Malaysia. Mereka akan terus bermastautin di Malaysia.

Jadi, dasar yang menyusahkan ribuan kanak-kanak di Malaysia ini adalah satu dasar yang tidak membawa sebarang faedah kepada keluarga-keluarga yang terlibat ataupun kepada negara Malaysia. Dasar yang diamalkan hanya menghalang pendidikan dan perkembangan kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan kitaran kemiskinan merentasi generasi (“intergenerational poverty”).   

Cara mengatasi masalah kanak-kanak dengan ibu yang bukan warganegara

Masalah ini boleh diatasi tanpa sebarang perbelanjaan baharu. Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk menganugerahkan kewarganegaraan kepada sesiapa yang berumur 21 tahun ke bawah. Kerajaan boleh memilih untuk menggunakan kuasa ini supaya menyediakan SOP baharu, di mana semua kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia selepas bulan September 1963 dan mempunyai bapa yang memegang kewarganegaraan Malaysia, didaftarkan sebagai seorang warganegara Malaysia walaupun perkahwinan bapanya dengan ibu warga asing ataupun ibu yang walaupun lahir di Malaysia tidak mempunyai kad pengenalan pada masa kelahiran anak terlibat. Pendekatan seperti ini akan menyelesaikan masalah kerakyatan bagi ratusan anak daripada lapisan B40 dan membolehkan mereka untuk memperolehi pendidikan, latihan vokasional dan menyumbang kepada ekonomi keluarga serta pembangunan negara.

Satu penyelesaian yang lebih terjamin adalah untuk meminda Seksyen 17, Bahagian III, Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan. Seksyen ini menyatakan bahawa “berhubungan dengan seseorang anak yang tidak sah taraf, sebutan mengenai bapa orang itu adalah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai ibunya” (references to a person’s father, in a person who is illegitimate, are to be construed as references to his mother). Perkataan “anak yang tidak sah taraf” (who is illegitimate) harus dipinda kepada “anak yang bapa kandungnya tidak dapat dikenal pasti” (whose biological father cannot be ascertained). Ini adalah kaedah yang terbaik kerana ia tidak bergantung pada budi bicara Menteri Dalam Negeri dan Pegawai Kanan KDN.

Selain daripada memudahkan proses permohonan di bawah Perkara 15A, kerajaan perlu mengendalikan mereka yang telah gagal dalam permohonan mengikut Perkara 15A dan sekarang tidak lagi layak untuk mengemukakan permohonan baharu kerana umur mereka telah melebihi 21 tahun. Pada masa ini, pihak JPN menasihatkan golongan ini untuk memohon di bawah Perkara 19(1). Tetapi untuk melakukan itu, mereka dikehendaki untuk memohon pasport negara asal ibu mereka, dan selepas itu memohon Permit Masuk untuk mendapatkan status Pemastautin Tetap. Antara masalah yang dihadapi dalam proses ini adalah pihak Jabatan Imigresen hanya mengeluarkan Permit Masuk kepada pemohon-pemohon yang berumur 6 tahun ke bawah ataupun pemohon wanita yang telah berkahwin dengan lelaki warga Malaysia.  

Syor kami ialah menyediakan SOP baharu untuk memudahkan proses permohonan di bawah Perkara 19(1) bagi golongan ini yang telah dilahirkan di Malaysia dan mempunyai bapa kandung yang berkewarganegaraan Malaysia. Syarat memohon kewarganegaraan negara asal ibu mereka dan selepas itu mendapatkan Permit Masuk harus digugurkan bagi pemohon yang pernah memohon terlebih dahulu di bawah Perkara 15A.   

Selain daripada langkah-langkah spesifik yang digariskan di atas, adalah amat perlu untuk pihak SUHAKAM menyiasat punca-punca pokok kepada kewujudan masalah ini selama 67 tahun selepas Merdeka. Adakah ia berkaitan dengan satu fahaman nasionalis sempit yang percaya bahawa dasar yang menyusahkan pemohon kewarganegaraan Malaysia dapat melindungi dan membantu masyarakat Melayu? Pemikiran sebegini bukan sahaja melanggar prinsip-prinsip kemanusiaan, semangat perlembagaan negara dan ajaran agama (Surah 5:8 adalah hanya satu contohnya – wujudnya ajaran yang sama dalam agama-agama lain juga), tetapi ia sedang menimbulkan kesengsaraan pada ramai keluarga yang tersangkut, dan mengekalkan satu lapisan bawahan yang dihalang daripada memulihkan situasi mereka oleh kerana sekatan-sekatan akibat ketiadaan kewarganegaraan.

Kami berharap pihak SUHAKAM akan ambil berat terhadap masalah ini dan mengambil langkah-langkah secara berterusan untuk memantau dan memulih keadaan yang sedia ada. Kami menyertakan butiran beberapa kanak-kanak lagi daripada golongan ini termasuk mereka yang dinamakan dalam memorandum ini sebagai Lampiran Lima. Kami berharap SUHAKAM boleh mengemukakan isu ini kepada Menteri Dalam Negeri supaya dapat membawa satu pendekatan bijak yang lebih baik untuk negara.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan bekas Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *