Saroja bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah sekolah kebangsaan. Dia diupah oleh sebuah syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan sekolah daripada Kementerian Pendidikan. Saroja telah bekerja di sekolah ini selama 5 tahun. Sebelum ini, dia bekerja untuk selama 10 tahun di bawah syarikat kontraktor perkhidmatan kebersihan yang berlainan, sehingga kontrak perkhidmatan kebersihan itu tidak lagi diperbaharui dan tukar kepada kontraktor terbaru ini.
Berbeza dengan pekerja kawalan keselamatan di sekolah, Saroja tidak perlu bekerja 12 jam sehari dan 7 hari seminggu. Saroja hanya perlu kerja 8 jam sehari. Dia perlu masuk kerja pada pukul 7 pagi setiap hari dan boleh pulang ke rumah pada pukul 4 petang, dengan sejam rehat di antaranya. Dia hanya perlu kerja setengah hari pada hari Sabtu, sementara hari Ahad adalah hari rehat untuknya. Saroja tidak perlu menghadapi masalah kerja masa panjang seperti pekerja kawalan keselamatan di sekolahnya, TETAPI gaji sebulan Saroja hanyalah RM 1,000.
Saroja ialah seorang ibu tunggal dengan dua orang anak yang masih bersekolah. Saroja “bernasib baik” kerana dia dapat tinggal di rumah PPR dengan sewa RM 120 sahaja. Namun, gaji RM 1,000 selepas dipotong caruman KWSP dan PERKESO, tidak sampai RM 900 pun untuk kegunaan sebulannya. Saroja tiadanya simpanan selepas perbelanjaan setiap bulan.
RM 1,000 adalah paras gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan dan berkuatkuasa sejak bulan Julai 2016. Sebelum itu, gaji minimum adalah RM 900 sahaja. Saroja agak teruja apabila terdengar berita bahawa Kerajaan akan mengumumkan kenaikan gaji minimum dalam dua bulan lagi. Dia mengharapkan satu kenaikan gaji minimum yang baik, kerana selama ini syarikat kontraktor yang mengupahnya tidak pernah menaikkan gaji jika tiadanya Perintah Gaji Minimum.
Saroja juga “bernasib baik” sikit kerana syarikat yang mengupahnya telah memenuhi segala syarat peruntukan undang-undang buruh, pada tahap yang paling minimum. KWSP, PERKESO dan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) semuanya ada dicarum. Majikan membayar gaji mengikut undang-undang, iaitu gaji yang paling rendah dibenarkan di bawah Perintah Gaji Minimum!
Di samping itu, majikan akan membayarnya “duit rajin” setiap bulan sebagai penghargaan kerana dia pergi kerja setiap hari dan melakukan kerjanya dengan baik. Duit rajin itu RM 50! Ya, RM 50 SAHAJA! Bukan semua pekerja pembersihan boleh dapat ni!
Di sekolah, guru selalu mengajar pelajar supaya perlu rajin. Saroja yang bekerja di sekolah ini sangat rajin bekerja, tetapi masih miskin. Dia miskin bukan kerana tidak cukup rajin. Dia miskin kerana gajinya yang sangat rendah. Dia miskin kerana sistem kontrak yang memiskinkan lagi golongan miskin.
Kerja-kerja perkhidmatan kebersihan adalah kerja yang tetap, tetapi pekerja-pekerja yang melakukan kerja-kerja sebegini diupah oleh kontraktor dengan tempoh kontrak 3 tahun sahaja. Pekerja pembersihan yang diupah oleh kontraktor swasta dibayar dengan kadar gaji yang paling rendah, iaitu pada paras gaji minimum, di samping tiadanya jaminan kerja, walaupun sifat kerjanya adalah tetap.
Sesebuah sekolah atau premis kerajaan memerlukan perkhidmatan kebersihan setiap masa. Namun, kerja perkhidmatan kebersihan ini telah disumberkan luar (outsource) dan diswastakan pada zaman Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-4.
Penyumberan luar (outsourcing) kerja-kerja tetap, seperti perkhidmatan kebersihan dan kawalan keselamatan, kepada syarikat kontraktor swasta, telah menyumbang kepada masalah ketidakjaminan kerja dan kemiskinan yang berterusan di kalangan masyarakat B40 (40% isi rumah berpendapatan terbawah).
Kerajaan perlu menyedari bahawa pekerja-pekerja bawahan yang bekerja di premis kerajaan yang disumberluarkan kepada kontraktor swasta sedang dianiayai dengan satu sistem kerja yang memiskinkan lagi pekerja berpendapatan rendah. Kerajaan perlu menghapuskan sistem kontrak untuk kerja-kerja tetap di premis kerajaan dan mengupah semua pekerja ini dengan perlindungan hak pekerja yang sewajarnya.