Berikut ialah kenyataan bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang dikeluarkan pada 26 April 2024 mengenai keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu di Selangor.
Selepas siri perbincangan bersama dan pertimbangan yang banyak, MUDA-PSM dengan ini bersepakat dan memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu yang bakal diadakan pada 11 Mei 2024.
Keputusan itu diambil bagi membolehkan pengundi-pengundi di Kuala Kubu Bharu melaksanakan hak mengundi mereka dan mengemukakan referendum yang kuat terhadap prestasi Kerajaan Madani serta membolehkan pengundi membuat keputusan antara parti pemerintah penyandang dan parti pembangkang utama.
Meskipun MUDA-PSM tidak bertanding dalam PRK Kuala Kubu Bharu 2024, MUDA-PSM menggesa semua parti politik dan calon-calon yang bertanding untuk memenuhi aspirasi pengundi dan hasrat rakyat Malaysia iaitu:
- Memerangi politik perkauman yang menggugat keharmonian rakyat;
- Memperjuangkan hak rakyat berdasarkan penilaian keperluan dan bukan perkauman;
- Memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa;
- Memperjuangkan keadilan kos sara hidup dan meningkatkan keselamatan sosial;
- Memelihara dan memulihara alam sekitar; dan
- Menjamin hak demokratik rakyat.
MUDA-PSM bertekad untuk terus menjadi suara kepada rakyat Malaysia. Walaupun keputusan MUDA-PSM untuk tidak bertanding, ini tidak sesekali menjadi batu penghalang untuk suara rakyat menjadi perhatian utama MUDA-PSM.
Isu-isu penting seperti kos sara hidup yang tidak sepadan dengan gaji, perumahan yang menekan golongan B40, penjagaan kesihatan awam yang semakin sempit adalah antara fokus yang perlu disegerakan oleh Kerajaan Madani.
Malah, MUDA-PSM akan menggunakan tempoh berkempen 2 minggu pilihan raya kecil ini untuk melancarkan kempen-kempen rakyat.
MUDA-PSM akan terus komited untuk mengutarakan keluh-kesah rakyat di Kuala Kubu Bharu dan mengajak rakyat menggunakan hak demokratik mereka untuk memilih, menghukum dan memberi mesej yang jelas untuk wakil-wakil rakyat dan parti politik mengutamakan amanah dan tanggungjawab kepada negara.