28 April setiap tahun ialah Hari Peringatan Pekerja Antarabangsa, ataupun juga dikenali sebagai Hari Peringatan Antarabangsa untuk Yang Mati dan Yang Cedera. Hari ini didedikasikan untuk memperingati pekerja-pekerja yang mati, cedera, hilang upaya ataupun jatuh sakit kerana kerja mereka.
Setiap tahun, orang yang mati di tempat kerja lebih ramai berbanding mereka yang mati dalam peperangan. Kebanyakan pekerja mati bukan kerana penyakit yang misteri atau “kemalangan” yang tragik, tetapi mati oleh kerana majikan menganggap keselamatan pekerja bukan keutamaannya. Kebanyakan “kemalangan” di tempat kerja dan keadaan kerja yang tidak sihat itu dapat dielakkan sekiranya pihak majikan mematuhi peraturan keselamatan pekerjaan dan memenuhi keperluan untuk menyediakan tempat kerja yang selamat. Hari Peringatan Pekerja diadakan untuk memperingati semua pekerja yang mengorbankan nyawa mereka atau mengalami kecederaan semasa menjalankan kerja mereka, di samping mengetengahkan isu kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.
Asal usul sambutan Hari Peringatan Pekerja
Pada tahun 1984, Kesatuan Pekerja-pekerja Awam Kanada (CUPE) mendedikasikan satu hari berkabung untuk pekerja-pekerja yang terkorban di tempat kerja. Kemudiannya pada tahun 1985, Kongres Buruh Kanada mengisytihar 28 April sebagai hari peringatan tahunan, di mana tarikh tersebut menandakan ulangtahun kelulusan Akta Pampasan Pekerja di negara itu pada tahun 1914. Parlimen Kanada meluluskan satu akta pada tahun 1991 untuk mendedikasikan 28 April sebagai Hari Berkabung Pekerja untuk memperingati pekerja-pekerja yang terbunuh atau cedera di tempat kerja.
Pada tahun 1989, Persekutuan Buruh Amerika dan Kongres Pertubuhan Industri (AFL-CIO) di Amerika Syarikat mengisytihar 28 April sebagai “Hari Peringatan Pekerja” (Workers’ Memorial Day), untuk memberi penghormatan kepada ratusan ribu pekerja yang mati dan cedera semasa kerja setiap tahun. 28 April dipilih kerana tarikh tersebut menandakan ulangtahun penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1970 dan penubuhan Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Amerika Syarikat pada 28 April 1971.
Hari Peringatan Pekerja telah disebarkan dan disambut oleh kesatuan-kesatuan sekerja di seluruh dunia. Sejak tahun 1996, Konfederasi Kesatuan-kesatuan Sekerja Bebas Antarabangsa (ICFTU) ketika itu, iaitu gabungan kesatuan-kesatuan sekerja dari seluruh dunia, mula menyambut Hari Peringatan Pekerja dan menetapkan tema sambutan setiap tahun.
Pada tahun 2001, atasan desakan daripada kesatuan-kesatuan sekerja, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang merupakan sebahagian daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), telah mengiktiraf Hari Peringatan Pekerja. ILO menyambut 28 April secara rasminya sebagai Hari Sedunia untuk Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja sejak tahun 2003.
Banyak negara sudahpun mengiktiraf Hari Peringatan Pekerja dan menyambutnya secara rasmi, termasuk Amerika Syarikat, Australia, Argentina, Belgium, Brazil, Britain, Kanada, Ireland, Peru, Sepanyol, Thailand dan Taiwan.
Di Malaysia, Hari Peringatan Pekerja disambut oleh Kesatuan Kongres Sekerja Malaysia (MTUC) setiap tahun di hadapan tugu peringatan Jambatan Pulau Pinang sejak tahun 1995.
Keselamatan dan kesihatan pekerjaan
Hari Peringatan Pekerja mengingatkan kita tentang masalah ancaman keselamatan dan kesihatan yang dihadapi pekerja setiap hari di tempat kerja dan juga semasa ulangalik ke tempat kerja. Adalah menjadi tanggungjawab kepada semua majikan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja. Pekerja yang menimpa kemalangan di tempat kerja perlu diberi pampasan yang sewajarnya. Tanpa pekerja yang sihat, tidak mungkin adanya pembangunan ekonomi.
Setiap tahun, dianggarkan 2.78 juta orang pekerja mati di seluruh dunia (tahun 2017) kerana punca yang berkaitan dengan kerja. Kematian berkaitan dengan kerja menyumbang sebanyak 5% daripada jumlah kematian di seluruh dunia. Kebanyakan kematian berkaitan dengan kerja datang daripada penyakit berkaitan kerja (lebih kurang 86%), manakala kemalangan di tempat kerja menyebabkan 14% kematian berkaitan kerja.
Walaupun undang-undang dan peraturan berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan diperkenalkan di kebanyakan negara, tetapi kematian dan kecederaan masih berlaku di tempat kerja akibat daripada kegagalan pihak majikan memastikan keadaan tempat kerja yang selamat untuk pekerja. Di samping itu, persaingan untuk memaksimumkan keuntungan telah menyebabkan ramai majikan tidak mempedulikan kesihatan pekerja mereka. Kegagalan pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa juga menyebabkan keselamatan dan kesihatan pekerja terancam.
Di Malaysia, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan hanya digubal pada tahun 1994. Sebelum itu, berlakunya kejadian tragedi letupan kilang mercun Bright Sparkler di Sungai Buloh, Selangor, pada 7 Mei 1991, di mana seramai 26 orang pekerja mati terkorban dalam insiden tersebut, sementara 83 orang mengalami kecederaan. Kejadian maut di tempat kerja ini telah membangkitkan perhatian umum pada masa itu terhadap keperluan untuk mengetatkan pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan di tempat kerja.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dikawalselia oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) yang terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia, yang sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Kilang dan Jentera. Sebelum adanya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, keselamatan di kilang perindustrian tertakluk dalam Akta Kilang dan Jentera 1967.
Menurut maklumat yang diterbitkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, kadar kemalangan di tempat kerja ialah 2.93 per 1,000 orang (tahun 2017) dengan jumlah kemalangan yang dilaporkan sebanyak 42,513 kes, walaupun berkurang berbanding tahun 2014 (3.10 per 1,000 orang), tetapi telah meningkat berbanding tahun 2016 (2.88 per 1,000 orang). Kadar kematian kerana kerja pula ialah 4.90 per 100,000 orang, telah meningkat berbanding 4.21 per 100,000 orang pada tahun 2014.
Setiap nyawa yang hilang itu tidak dapat dikembalikan. Oleh itu, keselamatan dan kesihatan di tempat kerja untuk pekerja amat penting. Kita perlu membangkitkan kesedaran rakyat tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, di samping mendesak kerajaan untuk melipatgandakan usaha untuk memantau dan memastikan semua majikan mengambil langkah-langkah yang sewajar dalam mencegah sebarang kemalangan tempat kerja dan ancaman terhadap kesihatan pekerja.