44108530_10156715784159493_727376995322691584_n(Rencana khas Hari Pekerja Sedunia 2019)

Pekerja ialah tulang belakang kepada pembangunan ekonomi masyarakat kita. Tanpa pekerja, pemodal yang melabur dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan tidak dapat menjana keuntungan. Tanpa pekerja, masyarakat kita tidak dapat menjadi maju. Namun, adakah pekerja-pekerja di Malaysia mendapat pulangan yang sewajarnya daripada pengorbanan tenaga kerja dan masanya?

Malangnya sekali, walaupun negara Malaysia semakin maju hasil daripada pengorbanan golongan pekerja, tetapi gaji rendah masih merupakan satu masalah serius yang sentiasa menghantui pekerja-pekerja negara kita.

Pekerja Malaysia dibayar pada kadar gaji yang rendah

Dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018 yang diterbitkan baru-baru ini, terdapat sebuah rencana yang bertajuk “Adakah Pekerja-pekerja Malaysia Dibayar Secara Adil? Penilaian terhadap Produktiviti dan Kesaksamaan” (Are Malaysian Workers Paid Fairly?: An Assessment of Productivity and Equity), menyimpulkan bahawa pekerja-pekerja Malaysia menerima ganjaran yang lebih rendah berbanding dengan sumbangan mereka kepada pendapatan negara dari perspektif produktiviti dan kesaksamaan.

Menurut rencana tersebut, pekerja-pekerja Malaysia telah dibayar dengan gaji yang lebih rendah berbanding dengan negara-negara penanda aras seperti Singapura, Jerman, Australia, Britain dan Amerika Syarikat, walaupun selepas mengambilkira perbezaan produktiviti dengan negara-negara itu. Pendapatan yang dikongsikan dengan pekerja-pekerja juga lebih rendah walaupun ekonomi negara kita bersifat intensif-buruh. Ini menunjukkan bahawa pekerja-pekerja tidak dibayar secara setimpal dengan sumbangan tenaga mereka.

Untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang pembayaran gaji yang tidak setimpal, jika seorang pekerja Malaysia mengeluarkan output bernilai USD1,000, pekerja berkenaan hanya dibayar USD340 daripadanya, sementara upah seorang pekerja di negara penanda aras untuk mengeluarkan output yang sama dengan nilai USD1,000 dibayar pada kadar yang lebih banyak, iaitu USD510.

Walaupun bahagian gaji dalam pendapatan negara Malaysia telah meningkat dari 31.7% pada tahun 2010 daripada KDNK kepada 35.2% daripada KDNK pada tahun 2017, namun bahagian pendapatan negara yang diperoleh tenaga kerja masih jauh di belakang berbanding dengan negara-negara maju, seperti Korea Selatan (44.8% daripada KDNK), Amerika Syarikat (53.8% daripada KDNK) dan Britain (56.5% daripada KDNK). Ini menggambarkan bahawa sebahagian besar daripada pendapatan negara kita mengalir ke dalam poket pemodal bukannya gaji pekerja. Jangan lupa juga bahawa bahagian gaji ini juga termasuk gaji kepada kakitangan di peringkat pengurusan tinggi dalam syarikat yang memperoleh gaji yang jauh lebih tinggi daripada pekerja-pekerja bawahan, maka bermakna bahagian pendapatan negara yang pergi kepada pekerja-pekerja bawahan jauh lebih rendah. Apabila pemodal mendapat lebih banyak faedah daripada pengagihan pendapatan ini, masyarakat kita juga menjadi semakin tidak adil kerana jurang kekayaan akan semakin melebar.

Rencana yang sama juga mendedahkan hakikat bahawa gaji untuk graduan dari institusi pendidikan tinggi di Malaysia turut merosot beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun graduan dalam tenaga kerja di negara kita telah meningkat dari 23.5% pada tahun 2010 kepada 28.3% pada tahun 2017, mencapai tahap yang setanding dengan sesetengah negara maju, tetapi gaji permulaan untuk graduan masih rendah. Malah, selepas mengambilkira inflasi, gaji bulanan yang sebenar untuk kebanyakan graduan baru telah menurun sejak tahun 2010. Gaji untuk seorang graduan baru dengan kelulusan diploma hanya mendapat gaji sebenar RM1,376 sahaja pada tahun 2018 (RM1,458 pada tahun 2010); sementara gaji sebenar untuk graduan ijazah sarjana hanya RM2,707 sebulan, jauh merosot berbanding RM2,923 sebulan pada tahun 2010.

Gaji untuk pekerja yang tiada kelulusan pendidikan tinggi walaupun meningkat dari tahun 2010 hingga 2018, dengan penetapan gaji minimum memainkan peranan penting dalam peningkatan ini, tetapi gaji sebenar untuk seorang pekerja lepasan SPM hanya RM953 sebulan pada tahun 2018 (berbanding RM793 sebulan pada tahun 2010), manakala seorang lepasan PMR hanya mendapat RM892 sebulan (berbanding RM622 pada tahun 2010).

Gaji minimum yang sedia ada masih tidak mencukupi

Gaji Minimum di Malaysia hanya mula dilaksanakan pada tahun 2013 selepas desakan hebat daripada organisasi-organisasi seperti kesatuan-kesatuan sekerja, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk lebih satu dekad. Namun, apabila gaji minimum dikuatkuasakan pertama kalinya pada tahun 2013, kadarnya hanya ditetapkan pada RM 900 sebulan untuk Semenanjung Malaysia, dan RM 800 sebulan untuk Sabah dan Sarawak. Ini merupakan kadar gaji yang amat rendah. Kerajaan Malaysia kemudiannya menaikkan gaji minimum pada 1 Julai 2016 kepada RM 1,000 sebulan untuk Semenanjung Malaysia, dan RM 920 sebulan untuk Sabah dan Sarawak, dengan kelewatan setahun setengah dalam pelarasan gaji minimum.

Mengikut Seksyen 25(1) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), Majlis Perundingan Gaji Negara hendaklah mengkaji semula perintah gaji minimum sekurang-kurangnya sekali setiap 2 tahun. Ini bermakna bahawa gaji minimum perlu disemak semula dan dilaraskan mengikut peningkatan kos hidup setiap 2 tahun. Namun, dalam realitinya, semakan semula dan pelarasan gaji minimum tidak pernah menepati masanya oleh Kerajaan sebelum ini.

Selepas perubahan rejim pemerintahan di peringkat Persekutuan, Kerajaan Pakatan Harapan telah “menyamaratakan” gaji minimum untuk Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, tetapi menetapkan kadar gaji minimum baru yang amat mengecewakan.

Pada tahun 2018, Majlis Perundingan Gaji Negara pernah mencadangkan gaji minimum RM 1,250 sebulan untuk Semenanjung Malaysia, dan jika gaji perlu diseragamkan untuk seluruh negara, maka gaji minimum ditetapkan pada kadar RM 1,170 sebulan. Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula mencadangkan kenaikan gaji minimum hanya sebanyak RM50, menjadikan gaji minimum RM1,050 sebulan. Pejabat Perdana Menteri kemudiannya pada bulan September 2018 terus mengumumkan kadar baru gaji minimum untuk seluruh negara ditetapkan pada RM1,050, 100% menepati angka yang dicadangkan oleh MEF. Memang tidak hairan jika ada orang mengesyaki bahawa Kerajaan telah menjadi budak suruhan kepada pihak majikan dengan pengumuman seperti ini.

Jika bukannya bantahan daripada organisasi-organisasi seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan juga masyarakat sivil, Kerajaan tidak mungkin menaikkan lagi RM50 kepada RM1,100 sebulan semasa pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan untuk meredakan kemarahan golongan pekerja. Namun, gaji minimum RM1,100 sebulan masih jauh kurang berbanding RM1,800 sebulan yang dituntut oleh kesatuan-kesatuan sekerja dan RM1,500 sebulan (dalam penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan) yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam Buku Harapan semasa PRU-14.

Tidak mencukupi menyara hidup secara bermaruah

Dengan penetapan gaji minimum pada kadar yang begitu rendah untuk pekerja-pekerja, memang menyusahkan pekerja-pekerja yang hidup mereka sudahpun cukup tertekan dengan beban hidup yang semakin meningkat.

Gaji rendah menyebabkan pekerja-pekerja sentiasa menghadapi masalah dalam menguruskan kehidupan harian mereka, seperti membeli makanan, membayar bil-bil dan menjelaskan hutang mereka. Untuk mereka yang ada rumah, mereka terpaksa membayar balik pinjaman rumah kepada bank setiap bulan yang memakan sebahagian besar daripada pendapatan bulanan mereka; untuk mereka yang tiada rumah, mereka perlu membayar sewa rumah atau bilik yang bukannya murah untuk kawasan bandar besar. Jika adanya anak yang menjadi tanggungan dalam keluarga, beban menjadi lebih berat lagi untuk pekerja.

Dengan gaji yang rendah, maka tidak hairanlah pekerja-pekerja kita sentiasa membuat kerja lebih masa (OT). Pekerja melakukan kerja lebih masa bukan kerana mereka suka bekerja dengan jam kerja yang panjang, tetapi oleh sebab gaji pokok rendah yang tidak mencukupi untuk menyara hidup mereka.

Gaji yang rendah juga memaksa sesetengah pekerja membuat kerja sambilan untuk menambahkan pendapatan. Ini secara tidak langsung menggadaikan pencapaian perjuangan pekerja yang pernah memenangkan had masa kerja 8 jam sehari tanpa mengurangkan gaji.

Tanpa gaji yang setimpal dengan pengorbanan dan selaras dengan kos sara hidup, seseorang pekerja itu tidak mungkin hidup dengan bahagia dan bermaruah.

Pekerja dikorbankan atas nama persaingan?

Salah satu alasan yang selalu digunakan oleh Kerajaan dalam mengekalkan dasar gaji rendah yang menyusahkan pekerja-pekerja, adalah memastikan negara kita “berdaya saing” dalam menarik pelabur asing. Dengan dasar ekonomi kerajaan yang sentiasa mengutamakan keuntungan pelabur yang biasanya melabur dalam ekonomi berorientasikan eksport, gaji telah ditekan pada paras yang rendah untuk mengekalkan “daya saing”.

Walaupun kadar pengangguran di negara Malaysia boleh dikatakan agak rendah, tetapi “tentera simpanan industri” untuk negara kita wujud di negara-negara jiran atau berdekatan di rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan, dengan jumlah yang agak besar. Kemasukan pekerja-pekerja dalam jumlah yang besar, tetapi pada masa yang sama tiadanya perlindungan untuk pekerja-pekerja migran dari segi dasar buruh yang komprehensif dan undang-undang yang menjamin hak pekerja migran, menyebabkan pekerja-pekerja migran menjadi golongan yang mudah diperas dan senang dibuli oleh majikan.

Pekerja-pekerja migran yang mudah diperas dan tiada jaminan hak untuk mereka, juga akan merugikan pekerja-pekerja tempatan, kerana pekerja-pekerja tempatan kehilangan kuasa tawar-menawar untuk gaji yang lebih tinggi dan syarat kerja yang lebih baik. Jika seseorang pekerja tempatan tidak berpuas hati dengan keadaan kerja dan cuba menuntut hak-haknya, majikan mempunyai kelebihan untuk menggantikan pekerja tempatan yang berani menuntut haknya dengan pekerja migran yang lebih sedang dibuli. Jikalau pekerja-pekerja migran melawan balik pun, mereka senang ditamatkan kerja dan dihantar balik ke negara asal. Dengan penghakisan ke atas kuasa tawar-menawar pekerja, gaji pekerja terus ditekan pada paras yang rendah.

Oleh itu, perlindungan hak pekerja yang samarata untuk pekerja-pekerja migran amat penting dalam memastikan semua pekerja (termasuk pekerja tempatan) tidak dibuli sesuka hati oleh golongan pemodal yang hanya mementingkan keuntungan.

Kenaikan gaji tidak menjejaskan ekonomi

Ekonomi yang berorientasikan eksport juga menyebabkan pengilang-pengilang yang mengeluarkan produk untuk dieksport ke luar negara itu tidak pernah mengutamakan gaji yang dibayar kepada pekerja-pekerja sebagai asas untuk kuasa beli masyarakat secara keseluruhan. Kerajaan yang mementingkan pertumbuhan ekonomi berasaskan eksport dan pelaburan asing, turut tidak memberi perhatian kepada perluasan pasaran domestik negara kita sendiri melalui cara peningkatan gaji.

Negara Malaysia dianggarkan mempunyai jumlah penduduk seramai 32.4 juta orang, lebih ramai daripada berbanding jumlah penduduk Australia yang hanya ada 24.6 juta orang. Kenapa negara Malaysia Malaysia tidak boleh dianggap sebagai pasaran yang lebih besar berbanding Australia? Isu pokoknya adalah perbezaan gaji yang ketara. Gaji Minimum Persekutuan Australia ialah AUD18.93 (lebih kurang RM55.05) sejam, lebih 10 kali ganda lebih tinggi berbanding gaji minimum Malaysia yang hanya RM5.29 sejam. Adakah pekerja di Australia yang menerima gaji minimum 10 kali ganda lebih produktif berbanding pekerja bawahan di Malaysia? Amat jelasnya ada sesuatu yang tidak betul di sini.

Apabila pendapatan majoriti rakyat berada pada paras yang rendah, kuasa beli masyarakat kita turut rendah. Apabila kuasa beli tidak mencukupi, maka pasaran domestik pun menjadi kecil. Pasaran domestik yang mengecut turut menjejaskan rezeki peniaga-peniaga kecil yang bergantung pada pasaran tempatan dengan kuasa belinya kebanyakan datang daripada pekerja-pekerja yang makan gaji.

(Bacaan lanjutan: Adakah kenaikan gaji minimum akan menjejaskan ekonomi?)

Mahu kekalkan gaji rendah boleh, tetapi mana gaji sosialnya?

Bolehkah gaji minimum itu tidak dinaikkan? Memang boleh, tetapi dengan syarat pekerja-pekerja menikmati lebih banyak gaji sosial.

Pekerja-pekerja yang melibatkan diri dalam pengeluaran nilai dan kehidupan ekonomi masyarakat menghasilkan kekayaan untuk masyarakat. Dalam masyarakat kapitalis, pekerja-pekerja menghasilkan kekayaan dengan sebahagian kecil daripada kekayaan itu dibayar kepada mereka dalam bentuk gaji, dan sebahagian besar diambil oleh pemodal. Ini mewujudkan eksploitasi buruh dan menjadi asas kepada ketidakadilan sosial pada zaman moden. Namun, hasil daripada perjuangan gerakan pekerja yang berterusan, selain gaji pekerja dapat ditingkatkan, pemodal juga perlu membayar sebahagian kekayaannya kepada kerajaan dalam bentuk cukai, supaya pendapatan kerajaan itu dapat dibelanjakan dalam peruntukan kebajikan sosial, iaitu gaji sosial kepada pekerja.

Sekiranya pekerja-pekerja kita menikmati perkhidmatan awam (seperti kesihatan, pengangkutan awam, perumahan awam, pendidikan dan sebagainya) secara percuma atau pada kadar bayaran yang amat rendah, iaitu menikmati gaji sosial yang mencukupi, semestinya mereka tidak bimbang sangat jika gaji dinaikkan.

Jadi, jika Kerajaan enggan meningkatkan gaji ke paras yang sewajar, satu lagi persoalan kita patut tanya adalah adakah Kerajaan sudah meningkatkan perbelanjaan kebajikan sosial untuk meringankan beban hidup rakyat?

Pekerja perlukan gaji sara hidup

Gaji minimum yang ada pada takat ini tidak lagi mencukupi untuk menjamin kesejahteraan rakyat pekerja. Kadar gaji minimum yang begitu rendah tidak selaras dengan realiti hidup rakyat hari ini yang dibebankan dengan kos hidup yang tinggi.

Tibanya masa untuk kita mempopularkan konsep gaji sara hidup (living wage). Sekadar gaji minimum tidak mencukupi, kita perlukan gaji minimum yang ditetapkan pada paras yang lebih realistik dan berkait rapat dengan taraf kehidupan supaya pekerja-pekerja dapat menjalani kehidupan yang mampan dengannya. Gaji sara hidup ialah gaji yang dapat memenuhi segala keperluan asas termasuk perumahan, makanan yang berkhasiat, kemudahan asas, pengangkutan, kesihatan dan rekreasi yang bersesuaian.

Kerajaan perlu sedar bahawa jika pekerja-pekerja tidak dapat hidup secara sejahtera dan bermaruah dengan pendapatan yang secukupnya, keharmonian dan kemampanan masyarakat kita turut tidak terjamin. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, perlu menggubal dasar yang menjadi pendapatan yang mampu sara hidup secara bermaruah untuk semua pekerja.

One thought on “Gaji rendah, pekerja susah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *