20190428 - TJC.jpgPada awal tahun 2017, Gabungan Pemandu Lori telah membuat aduan di ibupejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terhadap 9 buah syarikat pengangkutan kerana membuat caruman mengikut jumlah yang sepatutnya. Salah sebuah syarikat ialah Teik Joo Chan Sdn Bhd.

Selepas penyiasatan, KWSP mendapati syarikat Teik Joo Chan Sdn Bhd  bertanggungjawab dan mengarahkan pihak majikan untuk membayar semua caruman yang tidak dibayar untuk tempoh 6 tahun sebelum aduan daripada Gabungan Pemandu Lori, iaitu dari tahun 2011 hingga 2017. Akta KWSP mendenda pihak majikan yang gagal membayar caruman KWSP dengan mengenakan majikan membayar kedua-dua bahagian caruman majikan. Berkaitan isu ini, pihak KWSP telah menyaman pihak majikan Teik Joo Chan Sdn Bhd dan menuntut lebih RM3 juta tunggakan caruman KWSP daripadanya.

Teik Joo Chan Sdn Bhd kemudiannya menuntut pada pekerja-pekerjanya untuk membayar bahagian caruman KWSP yang gagal dipotongnya daripada pekerja untuk tempoh tersebut. Pekerja-pekerja tidak bersetuju kerana tanggungjawab memotong gaji dan membuat caruman KWSP sepatutnya dilakukan oleh pihak majikan pada awalnya, bukan menuntut daripada pekerja apabila disaman KWSP. Syarikat Teik Joo Chan Sdn Bhd memfailkan writ saman terhadap pekerja-pekerja di mahkamah!

Pada 25 April 2019, Mahkamah Sesyen Ipoh telah memutuskan untuk membatalkan saman majikan Teik Joo Chan Sdn Bhd terhadap 12 orang pekerja. Menurut peguam yang mewakili pekerja-pekerja, K. Kunasekaran, majikan tidak berhak menuntut caruman KWSP yang tidak dipotong daripada pekerja untuk membayar denda yang dikenakan oleh KWSP, kerana sebarang usaha untuk mendapatkan balik bahagian caruman pekerja yang tidak dipotong perlu dilakukan dalam tempoh 6 bulan dari hari membayar gaji seperti dinyatakan dalam Seksyen 48(4) Akta KWSP 1991. Hakim Mahkamah Seyen Ipoh Puan Zuhrina Mohamed Noor telah menerima hujah berkenaan isu had masa spesifik ini dan memerintahkan untuk membatalkan saman daripada pihak majikan.

Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh Puan Zurina menerima isu had masa spesifik yang tersurat di bawah Akta KWSP yang dihujahkan oleh peguam PSM Kunasekaran dan seterusnya diberikan perintah membatalkan Saman majikan Teik Choo Chan terhadap 12 pemandu Lori dengan kos. Pihak majikan juga akan menarik balik 3 lagi kes saman terhadap pekerja berkenaan tuntutan caruman yang tidak dipotong ini.

Dengan keputusan yang berpihak pada pekerja-pekerja, ini merupakan satu kemenangan untuk pemandu-pemandu lori yang bergabung dalam Gabungan Pemandu Lori.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *