oleh Sivarajan Arumugam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat kesal bahawa, sejak operasi mengusir petani-petani yang produktif di Kanthan, kawasan Parlimen Tambun, Perak, yang berlaku semalam, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan masih belum bersuara lagi untuk menyatakan pendirian mereka dalam isu ini.

Pada masa negara kita sedang menghadapi krisis kos makanan yang melambung tinggi, memang tidak masuk akal langsung untuk tanah pertanian yang produktif dan berupaya menghasilkan lebih 60 tan sayur-sayuran setiap hari untuk rakyat, sedang diranapkan oleh Kerajaan Negeri Perak.

Operasi memusnahkan segala tanaman yang terdiri daripada jagung, bayam, sawit, belimbing dan daun bawang di tanah seluas 25 ekar masih berterusan pada hari ini, setelah para petani yang mengusahakan tanah ini selama 3 generasi diusir, dikasari dan ditahan semalam.

Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu, juga pernah menyatakan bahawa Malaysia mampu mengurangkan kebergantungan bekalan import jagung bijian dari luar negara sekiranya dapat mencapai 50 peratus pengeluaran domestik dalam masa lima tahun akan datang. Jadi, kenapa pula hancurkan tanah pertanian dan tanaman jagung di Kanthan?

Kebisuan kedua-dua orang pemimpin, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan juga Datuk Seri Mohamad Sabu dalam isu pengusiran petani Kanthan ini merupakan satu penganiayaan bukan sahaja kepada para petani tetapi juga kepada rakyat Malaysia yang memberikan tanggungjawab kepada Kerajaan untuk menguruskan bekalan dan stok makanan tempatan.

PSM mendesak campur tangan segera Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar dan Menteri Pertanian Datuk Seri Mohamad Sabu supaya menghentikan segera operasi meranapkan hasil tanaman jagung dan sayuran yang sedang berlaku sekarang dan menyelesaikan isu petani di Kanthan khususnya dan di Perak secara keseluruhan dengan segera.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *