oleh Prof Dr Darren Ong Chung Lee

Banyak lampu jalan dan lampu lebuh raya di Dengkil tidak berfungsi. Ini termasuk lampu jalan raya di jalan raya yang sibuk seperti Lebuhraya KLIA ke lapangan terbang, Jalan Dengkil-Banting, Jalan Dengkil-Bangi dan Pintasan Dengkil ke Putrajaya. Jalan-jalan ini sering dilalui oleh kenderaan yang besar seperti lori dan bas, akibatnya memandu kereta dan motosikal di Dengkil selepas matahari terbenam sangat mengerikan. Kebanyakan bahagian jalan raya berada dalam kegelapan sepenuhnya, lagipun kami dengar laporan mengenai kemalangan lalu lintas dan kematian disebabkan oleh kurangnya cahaya yang menyinari jalan.

Walaupun adanya aduan daripada persatuan penduduk di Dengkil mengenai masalah ini, tiada apa-apa tindakan yang diambil. Alasan yang diberikan adalah sering berlakunya kilat yang merosakkan lampu jalan raya, tetapi ini adalah alasan yang lemah. Masalah teknikal ini boleh diatasi dan kawasan lain di Malaysia yang mengalami ribut petir masih mempunyai lampu yang berfungsi.

Masalah ini sangat memalukan kerana jalan-jalan di sekitar lapangan terbang termasuk tempat letak kereta jangka panjang di KLIA turut terjejas. Ini bermakna bahawa perkara pertama yang diperhatikan oleh pelawat apabila tiba di Malaysia ialah lampu jalan raya yang tidak berfungsi. Mahukah ini jadi pengalaman pertama orang asing yang melawat negara kita?

Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Sepang perlu mengutamakan pembaikan lampu jalan raya. Masalah ini juga menunjukkan bahawa wujudnya keperluan untuk mengadakan pilihan raya tempatan bagi ahli majlis bandar. Jika ahli majlis bandar perlu bertanding dalam pilihan raya, mereka akan dipaksa untuk lebih responsif terhadap keperluan penduduk, supaya masalah seperti ini tidak berlarutan selama-lamanya. 

Malangnya, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengumumkan bahawa pilihan raya majlis tempatan bukan menjadi keutamaannya.

==========

Prof Dr Darren Ong Chung Lee ialah Pengerusi PSM Cawangan Dengkil.

One thought on “Lampu lebuh raya rosak di Dengkil mengancam nyawa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *