Peristiwa keganasan pembunuhan beramai-ramai di Christchurch, New Zealand, yang berlaku pada 15 Mac 2019, merupakan satu tragedi dan jenayah terhadap kemanusiaan yang diakibatkan oleh perluasan fahaman berhaluan kanan yang ekstrim.
Serangan keganasan di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood semasa solat Jumaat telah membunuh seramai 50 orang dan mencederakan lagi lebih 50 orang. Polis tempatan telah menangkap seorang warga Australia yang disyaki selepas itu dan orang yang disyaki itu telah didakwa dengan pembunuhan di Mahkamah Daerah Christchurch pada 16 Mac 2019.
Sejurus berlakunya serangan keganasan tersebut, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata bahawa “jelasnya ini adalah salah satu hari yang paling gelap di New Zealand”, dan mengatakan bahawa peristiwa tersebut adalah “tindakan keganasan yang melampau dan tidak pernah terjadi sebelum ini”. Ardern juga menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai “serangan pengganas”. Ardern turut mengumumkan bahawa Kerajaan New Zealand akan mengetatkan lagi undang-undang mengawal senjata di negara itu.
Warga Australia yang disyaki sebagai orang yang melakukan serangan keganasan itu, ialah seorang yang terpengaruh kuat oleh fahaman pelampau kanan yang berpegang pada kepercayaan ketuanan kulit putih (white supremacy) dan sentimen anti-migran. Sebelum melakukan serangan, pelaku yang disyaki itu telah mengemukakan pandangannya dalam satu dokumen yang penuh dengan fahaman pelampau kanan yang terpengaruh dengan teori konspirasi, kebencian terhadap migran, anggapan bahawa imigran bukan Eropah telah “menceroboh” tanah kepunyaannya dan kepercayaan bahawa orang berkulit putih lebih unggul daripada kaum yang lain. Amat jelas sekali, fahaman perkauman yang sempit dan sentimen xenofobia (perasaan takut atau benci pada migran) sekali lagi menjadi punca kepada tragedi keganasan dengan mangsa-mangsa terbarunya ditemui di New Zealand.
Serangan terhadap masyarakat Muslim di New Zealand yang terbaru ini, turut menimbulkan kebimbangan ramai tentang perluasan pengaruh islamofobia (perasaan takut, benci atau prejudis terhadap agama Islam dan masyarakat Muslim) di negara Barat.
Pelaku yang disyaki dipercayai adalah seorang Neo-Nazi yang juga merupakan penyokong kepada Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang mempermainkan sentimen perkauman untuk meraih populariti. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Trump telah menjadi jaguh anti-migran di dunia dan mempengaruhi perluasan fahaman politik berhaluan pelampau kanan di seluruh dunia. Ancaman daripada penularan sentimen perkauman dan xenofobia yang diperhebatkan hasil daripada fenomena kebangkitan Trump, sudah pun terkesan bukan sahaja di negara AS sendiri, tetapi juga negara-negara terletak jauh darinya dipisahkan oleh Lautan Pasifik.
Golongan berhaluan pelampau kanan di negara-negara Barat, juga menyebarkan sentimen islamofobia untuk memangsakan komuniti muslim yang merupakan minoriti di negara berkenaan. Tindakan islamophobia itu sendiri turut mendorong perkembangan fahaman ektremis yang menggunakan nama “Islam” di kalangan masyarakat Muslim. Islamofobia yang diapi-apikan oleh golongan pelampau kanan di Dunia Barat dan fahaman fundamentalis Islam yang menggunakan keganasan, bagaikan adik-beradik kembar yang tidak dapat dipisahkan.
Namun, kita tidak boleh melawan fahaman pelampau dengan mengurangkan ruang demokrasi. Biasanya tindakan yang diambil oleh kerajaan yang bersifat autokratik, adalah menggunakan alasan membendung fahaman pelampau untuk menyekat ruang demokrasi dan melenyapkan segala suara yang mengkritik penguasa. Ini sebenarnya hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Kita perlu melawan fahaman pelampau dari dasarnya, iaitu mengubah sistem sosio-ekonomi yang membiak ketidakadilan masyarakat dan memupuk solidariti (ataupun semangat kekitaan) di kalangan rakyat merentasi batas kaum dalam kerangka demokrasi bersifat keterlibatan.
Perasaan kebencian dan prejudis terhadap seseorang yang berbeza dari segi warna kulit, kaum, agama, gender dan orientasi seksual, akan membolehkan perebakan fahaman ektremis yang lebih bahaya. Sama ada homofobia, xenofobia ataupun islamofobia, pemikiran sempit sebegini boleh mendatangkan ancaman kepada kemanusiaan sekiranya tidak dibendung dari sekarang juga dengan memupuk semangat kekitaan yang sebenar dari bawah dalam masyarakat. Kita juga perlu tegas dalam menolak mana-mana ahli politik yang masih mempermainkan sentimen perkauman yang memperlagakan rakyat atau menyebar kebencian kaum di kalangan masyarakat.