Sejak 13 Jun 2022, ratusan ribu rakyat Ecuador bermobilisasi di seluruh negara itu untuk mengambil bahagian dalam aksi protes besar-besaran yang melawan dasar neoliberal yang dibawa oleh kerajaan berhaluan kanan pimpinan Presiden Guillermo Lasso. Demonstran yang beraksi di jalanan Ecuador telah dilayan dengan keganasan oleh pasukan keselamatan. Sekurang-kurangnya 2 orang demonstran telah terbunuh dalam gelombang protes terbaru ini di Ecuador.
Gelombang protes yang menentang dasar ekonomi kerajaan Presiden Guillermo Lasso telah melumpuhkan Quito, ibu negara Ecuador, dan juga wilayah-wilayah yang lain. Bandar Quito sedang mengalami masalah kekurangan makanan dan bahan api. Namun, kerajaan Ecuador yang berhaluan kanan masih berdegil dan menolak tuntutan yang dikemukakan oleh gerakan sosial untuk berdialog, sebaliknya meneruskan penindasan kejam terhadap demonstran di jalanan.
Protes jalanan yang terbaru ini merupakan sebahagian daripada aksi mogok nasional yang dianjurkan oleh organisasi-organisasi masyarakat orang asal dan gerakan-gerakan sosial di Ecuador, antaranya Konfederasi Bangsa-bangsa Orang Asal Ecuador (CONAIE), yang mengemukakan tuntutan-tuntutan untuk menangani keperluan paling mendesak bagi majoriti rakyat Ecuador. Tuntutan-tuntutan organisasi-organisasi ini termasuk: menurunkan harga bahan api; mengawal harga barangan keperluan asas; memperuntukkan belanjawan yang lebih besar untuk pendidikan; menamatkan pemerdagangan dadah, penculikan dan keganasan; perlindungan untuk rakyat daripada sektor perbankan dan kewangan; harga yang lebih adil untuk produk petani; mengharamkan aktiviti perlombongan dan cari gali minyak di wilayah masyarakat orang asal; menghormati hak kolektif masyarakat orang asal; dan jangan menandatangani perjanjian perdagangan bebas yang menhancurkan pengeluaran dalam negara.
Kerajaan pimpinan Presiden Lasso telah merespon terhadap tuntutan-tuntutan organisasi masyarakat ini dengan penindasan yang kejam. Polis dan tentera dikerahkan untuk mematahkan demonstran yang membuat sekatan jalan secara aman. Gas pemedih mata dan meriam air digunakan untuk menyuraikan demonstrasi. Menurut laporan daripada Perikatan Pertubuhan Hak Asasi Manusia, sebuah badan bukan kerajaan di Ecuador, antara 13 hingga 19 Jun 2022, pasukan keselamatan telah melakukan 39 jenis pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat Ecuador yang menyertai mogok nasional, menahan 79 orang dan mencederakan 55 orang, tambahan pula membunuh seorang anak muda masyarakat orang asal yang berusia 18 tahun. Seorang lagi demonstran dibunuh pada 22 Jun 2022. Presiden Lasso juga mengisytihar darurat di 6 buah wilayah, dan meningkatkan pengerahan pasukan keselamatan ke situ.
Walaupun menghadapi penindasan kejam daripada pihak berkuasa dan darurat yang menyekat hak perlembagaan, ratusan ribu orang masih meneruskan aksi protes jalanan mereka untuk melawan dasar neoliberal yang dibawa oleh kerajaan berhaluan kanan. CONAIE telah menyatakan bahawa aksi mogok akan diteruskan sehingga tuntutan yang dikemukakan mereka diterima. Masyarakat orang asal telah mendirikan sekatan jalan di sekurang-kurangnya 16 daripada 24 buah wilayah di negara Ecuador. Masyarakat orang asal dari seluruh negara juga berarak beramai-ramai ke Quito untuk menyampaikan tuntutan-tuntutan mereka.
Leonidas Iza, Presiden CONAIE, berkata, “Kami mahu bercakap pada Presiden Republik: kamu bimbang tentang pengeluaran, kami juga bimbang tentang pengeluaran. Kamu bimbang tentang kadar keuntungan, kami tidak bimbang tentang kadar keuntungan. Kami bimbang tentang kelangsungan ekonomi kami. Jadi pada ketika ini kamu dan kami berprihatin tentang pengeluaran. Untuk menjamin pengeluaran, kamu harus menjawab 10 tuntutan kami. Jika tidak, kamu hanya mahu menjamin kadar keuntungan yang merupakan kebimbangan utama kamu… Sistem kewangan telah mengaut keuntungan 123%. Berhentilah mengaut keuntungan seketika. Berprihatinlah pada poket golongan termiskin yang menjalankan pengeluaran.”
CONAIE mengecam serangan oleh pasukan keselamatan dan kumpulan samseng pelampau kanan terhadap demonstrasi masyarakat orang asal. CONAIE juga menggesa kerajaan untuk membatalkan darurat dan mengundurkan pasukan keselamatan keluar dari tempat di mana demonstran berhimpun di Quito. Parlimen Ecuador yang dikuasai oleh parti pembangkang, dengan undian 81 daripada 137 orang ahli parlimen, telah meluluskan resolusi yang menggesa kerajaan untuk berdialog dengan organisasi-organisasi masyarakat orang asal dan sektor-sektor masyarakat yang lain. Parlimen Ecuador juga menyeru pada organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa dan Gereja Katolik untuk menghadiri rundingan, di samping mencadangkan mekanisme untuk menyelesaikan krisis terbaru ini.
Guillermo Lasso, seorang ahli perniagaan dan bekas CEO bank, menang dalam Pilihanraya Presiden Ecuador pada tahun 2021, selepas meraih 52.36% undian dalam pengundian pusingan kedua. Lasso meneruskan dasar neoliberal dan pro-imperialis Amerika Syarikat yang diamalkan oleh Presiden sebelumnya, Lenín Moreno. Dasar neoliberal yang diamalkan oleh Moreno sebelum ini, pernah mencetuskan gelombang protes besar-besaran pada tahun 2019 dan kemudiannya satu lagi gelombang protes tercetus pada tahun 2020 kerana kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19. Gerakan sosial di Ecuador bertekad untuk meneruskan perjuangan selagi kerajaan masih berdegil untuk melaksanakan dasar neoliberal yang anti-rakyat.
One thought on “Ecuador: Protes lawan neoliberalisme berterusan”