oleh S. Arutchelvan

Jentera PSM untuk PRK N24 Semenyih amat kecewa dengan keengganan calon-calon daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan untuk menyertai debat yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan BERSIH 2.0. Kami melihat sikap sebegini adalah amat bertentangan dengan semangat demokrasi yang terbuka dalam era Malaysia Baru ini.

Lebih mendukacitakan adalah apabila calon Pakatan Harapan yang merupakan salah satu komponen yang telah terlibat dalam gerakan BERSIH k earah pilihan raya yang bersih dan adil, enggan menyertai debat ini.

Sebelum menjadi Kerajaan Persekutuan, Pakatan Harapan percaya bahawa debat adalah salah satu budaya yang harus digalakkan dan semua calon yang bertanding dalam pilihanraya harus  meraih keyakinan pengundi dengan membentangkan idea melalui debat yang terbuka dan amalan ini adalah salah satu langkah ke arah demokrasi. Adakah ini telah berubah sejak menjadi Kerajaan Persekutuan?

Seorang calon harus membolehkan diri mereka dinilai oleh rakyat dan harus “mudah didekati” (accessible). Tindakan calon-calon yang enggan terlibat dalam debat ini hanya menunjukkan keangkuhan mereka dan rakyat harus membuat keputusan menolak calon-calon sebegini.

Calon PSM memberi komitmen untuk hadir ke debat ini kerana kami merasakan ini adalah satu tanggungjawab dan amanah yang kami pegang sebagai seorang calon Sosialis. Kami masih terus berharap bahawa calon-calon daripada BN dan Pakatan Harapan akan menerima jemputan ke debat calon ini dan akan berdebat tanpa sebarang kerisauan.

**********

S. Arutchelvan ialah Pengarah Kempen Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan DUN N24 Semenyih. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.

One thought on “Debat calon PRK Semenyih: PSM kecewa dengan calon-calon yang enggan menghormati proses demokrasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *