31 JULAI 2021: Penganjur aksi perhimpunan #KeluarDanLawan pada hari ini, Sekretariat Solidariti Rakyat, menyatakan bahawa mereka tidak akan berundur selagi tuntutan mereka belum lagi ditunaikan. “Kami mengingatkan Muhyiddin Yassin serta seluruh kabinet untuk segera berundur dan meletakkan jawatan. Ini bukan pengakhiran kepada tuntutan anak muda. Kita tidak akan sesekali berundur. Sekiranya hari ini kita tidak melawan, kita akan ditindas lagi dan lagi!” tegas kata Sekretariat Solidariti Rakyat dalam kenyataannya selepas perhimpunan #KeluarDanLawan.
Tiga tuntutan utama telah dibawa oleh Sekretariat Solidariti Rakyat dalam aksi protes #KeluarDanLawan ialah:
- Muhyiddin meletak jawatan segera sebagai Perdana Menteri;
- Buka sidang Parlimen penuh, bukan sekadar ceramah umum daripada pihak Kerajaan;
- Moratorium automatik dalam pembayaran balik pinjaman bank kepada rakyat jelata.
“Di peringkat Sekretariat, kami kecewa tidak dapat berarak ke Dataran Merdeka walaupun pihak polis sendiri mengakui bahawa perhimpunan ini berjalan secara aman. Pihak kami memilih Dataran Merdeka kerana lokasi tersebut akan memudahkan pengawalan SOP terutamanya penjarakan sosial. Kita berjaya mengawal SOP dengan baik dan semua peserta memakai pelitup muka serta menjaga jarak antara satu sama lain,” begitu katanya kenyataan oleh Sekretariat Solidariti Rakyat.
“Hari ini, peserta-peserta kami juga telah menunjukkan bahawa kita boleh dan mampu protes di jalanan dengan selamat untuk menegakkan hak-hak kita,” kata Sekretariat Solidariti Rakyat. “Anak-anak muda kita sedang bersuara bagi setiap rakyat Malaysia yang tidak boleh, atau tidak akan keluar protes walaupun mereka sedang merasai kesan tatatadbir yang gagal dan juga penindasan. Sukarelawan-sukarelawan perubatan kami juga akan terus #Lawan di hospital, pusat-pusat kuarantin, PPV dan juga di jalanan kerana berdiam diri bukan lagi satu pilihan.”
Aksi protes #KeluarDanLawan pada hari ini memang merupakan satu manifestasi ketidakpuasan hati rakyat terhadap Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang jelas gagal menangani krisis yang semakin teruk di negara kita. Segala cubaan pihak berkuasa untuk terus menghalang rakyat daripada bersuara pastinya akan mengundang penentangan yang lebih hebat lagi.
2 thoughts on “Sekretariat Solidariti Rakyat terus #Lawan: Aksi #KeluarDanLawan bukan pengakhiran”