(foto oleh Lucas Yap)

KUALA LUMPUR – 31 JULAI 2021: Ratusan orang, khususnya anak-anak muda, turun ke jalanan di ibu negara pada hari ini dalam aksi #KeluarDanLawan untuk menyatakan bantahan terhadap Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang gagal menangani krisis mendalam pada masa kini.

Menurut penganjur aksi protes #KeluarDanLawan, Sekretariat Solidariti Rakyat yang terdiri daripada beberapa organisasi rakyat dan parti politik, hampir 2,000 orang telah mengambil bahagian dalam aksi yang diadakan secara aman dan mematuhi tatacara pengendalian piawai (SOP) untuk mencegah penularan wabak COVID-19 (seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dua lapisan).

(foto oleh Lucas Yap)

Tiga tuntutan utama telah dibawa oleh Sekretariat Solidariti Rakyat dalam kempen #Lawan, iaitu:

  1. Muhyiddin meletak jawatan segera sebagai Perdana Menteri;
  2. Buka sidang Parlimen penuh, bukan sekadar ceramah umum daripada pihak Kerajaan;
  3. Moratorium automatik dalam pembayaran balik pinjaman bank kepada rakyat jelata.

Pihak berkuasa cuba mengintimidasi pihak penganjur aksi protes #KeluarDanLawan beberapa hari sebelum ini, termasuk penahanan aktivis Sarah Irdina di bawah Akta Hasutan pada 29 Julai 2021. Penangkapan dan penyiasatan terhadap aktivis telah mendapat bantahan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk aksi protes di hadapan Lokap Pusat Jinjang pada malam itu. Sarah Irdina dibebaskan selepas ditahan 16 jam. Namun demikian, cubaan intimidasi daripada pihak berkuasa jelas gagal menghalang rakyat Malaysia, khususnya anak-anak muda, daripada terus turun beraksi di jalanan pada hari ini.

(foto oleh Lucas Yap)

“Aksi hari ini berlangsung dengan penuh teliti dan selamat. Saya berpandangan aksi sebegini adalah penting kerana ia akan memberi satu kepercayaan kepada rakyat jelata dan kaum pekerja untuk buat kerja organisasi dan mobilisasi pada masa yang akan datang.” kata Gandipan Nantha Gopalan, Setiausaha Pemuda Sosialis PSM yang juga terlibat dalam Sekretariat Solidariti Rakyat. “Dengan kerajaan hari ini terlalu taksub dalam percaturan politik, aksi daripada kaum pekerja amat diperlukan untuk mengingatkan kerajaan akan tanggungjawab mereka.”

“Himpunan aman hari ini menunjukkan kuasa yang anak muda tidak akan tunduk kepada pemerintah kuku besi,” kata Sharan Raj, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang turut serta dalam aksi protes #Lawan pada hari ini.

“Protes hari ini amat bermakna kerana ia menunjukkan rakyat terutamanya anak muda tidak tahan lagi terhadap kegagalan kerajaan,” kata Lucas Yap, seorang peserta aksi #Lawan pada hari ini. “Cara berhimpun ikut SOP merupakan antara contoh baik bagi para peserta yang berani bersuara di bawah pandemik untuk meneruskan perjuangan rakyat.”

(foto oleh Lucas Yap)

One thought on “Rakyat turun aksi #KeluarDanLawan gesa Muhyiddin letak jawatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *