
KUALA LUMPUR – 28 NOVEMBER 2026: Hujan lebat gagal menghalang ratusan rakyat Malaysia yang muak dengan masalah rasuah di negara kita yang masih berterusan untuk turun berprotes di jalanan ibu negara hari ini. Kira-kira 300 orang menyertai aksi “Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0” untuk menuntut reformasi institusi yang benar-benar membanteras dan membendung gejala rasuah.
Aksi protes ini merupakan respons masyarakat sivil yang prihatin pada integriti pihak berkuasa terhadap layanan khas yang diterima oleh Najib Razak, bekas Perdana Menteri yang disabit kesalahan jenayah rasuah, apabila dia dibenarkan untuk menjalani tahanan rumah baru-baru ini. Najib Razak telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020. Hukuman ini dikenakan ke atas sabitan kesalahan Najib dalam salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC International berjumlah RM42 juta. Najib mula menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan pada 18 Ogos 2022 untuk menolak rayuannya. Namun, pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan telah mengumumkan bahawa hukuman terhadap Najib telah dikurangkan kepada pemenjaraan 6 tahun dan denda RM50 juta. Pada 18 September 2026, Lembaga Pengampunan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menukar baki hukuman penjaranya kepada tahanan rumah. Pada 10 November 2026, Najib mula menjalani hukuman yang diringankan itu di rumah kediamannya di Kuala Lumpur.
Sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR) yang diterajui oleh aktivis-aktivis anak muda mengadakan aksi “Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0” untuk menyatakan pendirian tegas masyarakat sivil dalam usaha membanteras rasuah dan mereformasi institusi negara kita. Dua buah Himpunan Rakyat Benci Rasuah sebelum ini masing-masing diadakan pada 25 Januari 2025 dan 28 Jun 2025 untuk menyatakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kegagalan kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi yang dijanjikan.




Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 mengemukakan 5 tuntutan, iaitu:
- Menggantung sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib Razak sehingga persoalan undang-undang dan perlembagaan berkaitan perkara tersebut diselesaikan, dan menarik balik bantahan Peguam Negara terhadap permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Majlis Peguam Malaysia;
- Memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta menyekat pesalah rasuah daripada memegang jawatan awam atau politik;
- Menyiasat, menangkap dan mendakwa semua perasuah tanpa memilih bulu;
- Mempercepatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik di Parlimen;
- Mengisytihar harta dan aset penjawat awam.
Walaupun hujan lebat mula turun tidak lama selepas perhimpunan bermula, para peserta aksi Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 yang berkumpul di hadapan pasar raya SOGO terus berarak menuju ke arah Dataran Merdeka dengan penuh bersemangat. Terdapat sekumpulan demonstran yang terdiri daripada puluhan orang mengadakan “Himpunan Daulat Tuanku” sebagai himpunan balas dan cuba memprovokasi di tengah-tengah perjalanan, namun peserta-peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 bergerak secara teratur dan tidak berlakunya apa-apa yang tidak diinginkan.
Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 membawa suara rakyat yang menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang, kebertanggungjawaban institusi dan kesaksamaan di sisi undang-undang. Ia juga merupakan manifestasi ketidakpuasan hati rakyat terhadap kegagalan Kerajaan MADANI dalam membawa reformasi institusi yang benar-benar menghapuskan segala bentuk korupsi. Mereka yang turun beraksi, terutamanya anak-anak muda yang bersemangat tinggi dalam memperjuangkan perubahan sejati, telah menunjukkan keberanian rakyat untuk terus mempersoalkan penyalahgunaan kuasa dan menuntut pembaharuan yang sebenar.
