
Hanya sehari selepas jutaan pekerja Sepanyol mengambil bahagian dalam mogok besar-besaran untuk menentang krisis perumahan di negara itu, Parlimen Sepanyol meluluskan langkah-langkah pembaharuan perumahan yang mengehadkan pengusiran dan spekulasi harta tanah.
Pada 11 November 2026, kira-kira 4 juta orang pekerja (bersamaan kira-kira 17% daripada jumlah tenaga kerja seramai 23 juta orang di Sepanyol) mengadakan aksi mogok umum selama 24 jam di seluruh negara Sepanyol. Ini merupakan mogok umum yang pertama di Sepanyol dalam tempoh 14 tahun yang lalu. Pekerja-pekerja yang menyertai aksi mogok dan protes ini menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap harga perumahan yang melambung tinggi sehingga membebankan lagi rakyat biasa.
Aksi mogok umum pada 11 November 2026 dianjurkan oleh dua buah persekutuan kesatuan sekerja yang terbesar di Sepanyol, iaitu Kesatuan Umum Pekerja (Unión General de Trabajadores, singkatan UGT) dan Suruhanjaya Pekerja (Comisiones Obreras, singkatan CCOO), bersama-sama dengan persatuan-persatuan penyewa rumah dan kesatuan-kesatuan sekerja yang lain.
Aksi mogok umum ini telah melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi di Sepanyol. Dianggarkan kira-kira 90% pekerja daripada sektor pembuat kereta mengambil bahagian dalam permogokan, 85% pekerja daripada perindustrian daging bermogok, 82% pekerja pengumpulan sampah bermogok, dan 75% pekerja daripada sektor tenaga juga bermogok. Pekerja-pekerja pelabuhan di bandar-bandar pesisir pantai seperti Algeciras (di wilayah Andalusia) menyaksikan penyertaan pekerja yang menakjubkan dalam aksi mogok ini, dengan kadar penyertaan dalam mogok mencecah 90%. Aksi mogok ini mendapat sokongan hebat di wilayah-wilayah pesisir pantai kerana kos perumahan di situ memang sangat tinggi sehingga melemaskan rakyat biasa.
Banyak sekolah dan universiti ditutup kerana aksi mogok. Di Madrid, guru-guru di situ sudah pun memulakan aksi mogok hampir sebulan yang lalu untuk menuntut keadaan kerja yang lebih baik. Jalan raya utama di Madrid dan Barcelona dibanjiri oleh pekerja-pekerja yang berprotes.
Seluruh zon perindustrian di Barcelona ditutup. Kira-kira 600,000 orang berprotes di Madrid, sementara kira-kira 400,000 orang berdemonstrasi di Barcelona.
Pekerja-pekerja media juga menyertai aksi mogok, sehingga beberapa buah stesen televisyen menghentikan siaran. Seluruh rangkaian kereta api terganggu kerana aksi mogok. Pekerja-pekerja kereta api yang bermogok menuntut perlindungan kesihatan dan keselamatan yang lebih baik, susulan daripada peristiwa pelanggaran kereta api yang meragut nyawa 69 orang di wilayah Toledo pada 28 Oktober 2026.
“Amat penting untuk mengingatkan orang ramai bahawa kita, golongan pekerja – yang juga merupakan penyewa rumah atau mereka yang membayar pinjaman perumahan – mempunyai kuasa untuk menghentikan pengeluaran dan melumpuhkan ekonomi,” kata Sandra Mora daripada Kesatuan Penyewa Madrid apabila ditemuramah oleh wartawan daripada Radio Nacional de España (RNE).
Rakyat Sepanyol telah lama tidak berpuas hati dengan harga perumahan yang melambung tinggi. Pasaran harta tanah di Sepanyol telah dipenuhi dengan aktiviti spekulasi, dengan semakin banyak harta tanah digunakan sebagai penginapan pelancong, aset spekulatif dan sewaan jangka pendek. Kadar sewa rumah telah meningkat sebanyak 80% dalam tempoh satu dekad lalu, sementara kos untuk membeli rumah meningkat sebanyak 63%.
Pada 23 September 2026, Maricarmen Abascal, seorang wanita tua yang berusia 87 tahun, telah diusir keluar dari rumah yang dihuninya selama lebih 70 tahun kerana dia tidak lagi mampu menampung kenaikan sewa rumahnya. Sebuah syarikat pelaburan yang membeli unit pangsapurinya menaikkan kadar sewa sebanyak 230%. Maricarmen Abascal meninggal dunia pada 7 Oktober 2026, iaitu dua minggu selepas dia diusir dan kehilangan tempat tinggal. Peristiwa itu menjadi batu api yang mencetuskan gelombang protes terhadap krisis perumahan yang terbaru di Sepanyol.
Pada 12 November 2026, sehari selepas aksi mogok umum yang menggegarkan seluruh negara Sepanyol, Parlimen Sepanyol meluluskan usul, dengan perbezaan undian yang tipis, untuk melaksanakan langkah-langkah yang mengehadkan pengusiran dan spekulasi harta tanah, sebagai usaha untuk menjadikan perumahan di negara itu lebih mampu dihuni. Namun, sama ada langkah-langkah perlindungan perumahan ini dapat bertahan lama atau tidak, ia bergantung kepada keputusan pilihan raya umum yang bakal diadakan pada 29 November 2026. Pilihan raya umum diadakan lebih awal selepas Parlimen Sepanyol menolak cadangan daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Pedro Sánchez untuk menangani krisis perumahan yang semakin teruk ini.
Parti pemerintah Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (Partido Socialista Obrero Español, singkatan PSOE) yang dipimpin oleh Perdana Menteri Pedro Sánchez mendukung pembaharuan perumahan untuk mengurangkan beban rakyat, tetapi Parti Rakyat (PP) yang konservatif dan kini sedang mendahului dalam tinjauan pendapat pula berikrar untuk membatalkan langkah-langkah pembaharuan perumahan ini.
PP bersama dengan parti pelampau kanan Vox telah pun berulang kali menyekat usaha perundangan untuk menangani krisis perumahan. Vox malah menyalahkan imigrasi sebagai punca krisis perumahan dan menggesa untuk melakukan pengusiran besar-besaran terhadap golongan migran. Adalah jelas bahawa parti-parti berhaluan kanan hanya berusaha untuk melindungi kepentingan pemodal yang mengaut keuntungan daripada spekulasi harta tanah dan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar dengan mempermainkan sentimen xenofobia.
Rakyat Sepanyol masih menghadapi cabaran besar dalam mengatasi krisis perumahan dan menangkis ancaman politik berhaluan kanan yang anti-rakyat. Namun, aksi mogok umum pada 11 November 2026 menunjukkan bahawa rakyat mampu melawan balik jika dapat menggabungkan tenaga dalam aksi massa yang memperjuangkan perubahan sebenar.
