
oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Cik K dan suaminya telah membeli sebuah rumah teres di Sungai Siput, Perak, pada tahun 2001, dengan pinjaman sebanyak RM44,000 daripada Bank RHB. Menurut dokumen pinjaman itu, mereka perlu membayar sebanyak RM323 sebulan bagi tempoh 300 bulan berikutnya untuk melunaskan pinjaman itu.
Malangnya, suami Cik K kehilangan kerjanya pada tahun 2007, dan gagal membuat bayaran balik pinjaman itu. Bank RHB merujuk perkara ini kepada mahkamah dan memperoleh sebuah perintah mahkamah untuk merampas rumahnya bagi menyelesaikan bayaran pinjaman yang tertunggak. Namun, pasangan suami isteri ini berjaya melangsaikan tunggakan mereka dan proses pelelongan rumah tidak diteruskan pada masa itu. Pasangan suami isteri ini diberitahu pada masa itu bahawa yuran guaman akan dimasukkan ke dalam jumlah pokok pinjaman itu. Mereka kemudiannya meneruskan pembayaran seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah.
Butiran mengenai pinjaman Cik K daripada Bank RHB (dikira berdasarkan penyata akaun yang diberikan oleh Bank RHB)
| Tahun | Jumlah yang dibayar oleh Cik K pada tahun berkenaan (RM) | Kadar faedah yang dikenakan [a] | Jumlah faedah yang dikenakan pada tahun berkenaan (RM) |
| 2008 | 7,225 | ~10% | 5,150 |
| 2009 | 1,340 | ~10% | 4,765 |
| 2010 | 1,084 | ~10% | 5,397 |
| 2011 | 3,350 | ~10% | 5,927 |
| 2012 | 3,004 | ~10% | 6,267 |
| 2013 | 1,150 | ~10% | 6,762 |
| 2014 | 6,500 | ~10% | 7,129 |
| 2015 | 2,500 | 10.45% | 7,506 |
| 2016 | 20,000 | ~6% | 5,381 |
| 2017 | 10,800 | ~6% | 3,388 |
| 2018 | 11,500 | ~6% | 2,865 |
| 2019 | 13,200 | ~6% | [b] |
| 2020 | 6,300 | ~6% | |
| 2021 | 7,550 | ~6% | |
| 2022 | 3,300 | ~6% | |
| 2023 | 3,450 | ~6% | |
| 2024 | 2,550 | ~6% | |
| 2025 | 500 | ~6% | |
| 2026 | 13,152 (MRTA) | ||
| Jumlah yang dibayar kepada Bank RHB | 118,555[c] |
a = ± 0.2 (iaitu 9.8 – 10.2% dan 5.8 – 6.2%)
b – Sudah bosan membuat pengiraan!
c – Ini tidak termasuk jumlah yang dibayar antara tahun 2001 dan 2007. Penyata akaun yang dihantar kepada Cik K hanya bermula dari tahun 2007.
Surat tawaran pinjaman daripada Bank RHB pada tahun 2001 menyatakan bahawa bayaran faedah yang dikenakan adalah pada Kadar Pinjaman Asas (BLR) +0.5%. Namun, selepas mereka gagal membayar balik pinjaman itu pada tahun 2007, kadar faedah telah dinaikkan kepada 10%. Adakah ini sesuatu yang masuk akal? Peminjam wang yang gagal membayar balik pinjaman itu sudah tentu menghadapi masalah pendapatan. Jika dia bersedia untuk terus membayar balik pinjaman itu, bukankah seorang pemiutang yang bertimbang rasa itu patut memberikan sedikit kelonggaran? Kenapa tidak menawarkan BLR – 1% bagi satu tempoh jangka pendek untuk membenarkan orang berkenaan memperkukuhkan keadaan kewangannya. Menaikkan kadar faedah pinjaman asas kepada 10% sudah pasti akan menjadikannya gagal membayar balik hutang sekali lagi. Adakah ini hasil yang diinginkan oleh Bank RHB? Mengapakah Bank Negara hanya berdiam diri sahaja dalam perkara ini?
Dokumen perjanjian pinjaman itu memang menyatakan bahawa:

“Pihak Bank juga berhak, menurut budi bicara mutlaknya, pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa, untuk mengubah Kadar Pinjaman Asas (BLR) Bank dan/atau margin kadar faedah yang dikenakan melebihi BLR Bank mengikut cara berikut:
(a) Berhubung dengan BLR Bank, dengan mempamerkan notis umum mengenai perubahan BLR Bank di premis Bank untuk makluman orang awam secara umum. Paparan tersebut hendaklah dianggap sebagai notis yang berkuat kuasa kepada anda, atau melalui apa-apa kaedah lain yang dianggap sesuai dan wajar oleh pihak Bank; dan
(b) Berhubung dengan perubahan Margin Faedah yang dikenakan melebihi BLR Bank, dengan menghantar notis bertulis kepada anda mengenai perubahan kadar tersebut. Notis sedemikian hendaklah dianggap telah disampaikan dengan sewajarnya kepada anda sekiranya dihantar secara serahan tangan atau melalui pos biasa ke alamat kediaman atau perniagaan terakhir anda yang diketahui, atau ke alamat seperti yang dinyatakan dalam Surat Tawaran Bank.
Pihak Bank berhak, pada bila-bila masa dan mengikut budi bicara tunggal dan mutlaknya, melalui notis kepada anda dan tanpa perlu memberikan sebarang alasan, untuk mengubah asas pengiraan utama bagi kadar faedah yang ditetapkan (sama ada BLR atau apa-apa asas pengiraan lain, walau apa pun namanya).
Dengan syarat bahawa tarikh kuat kuasa bagi perubahan BLR Bank dan/atau Margin Faedah yang dikenakan melebihi BLR Bank hendaklah merupakan tarikh yang dinyatakan dalam notis atau tarikh yang dipaparkan di premis Bank.
Walau apa pun peruntukan lain yang terkandung dalam perjanjian ini, sebarang kegagalan atau kelewatan pihak Bank untuk memberikan notis mengikut peruntukan yang dinyatakan di sini tidak akan mengecualikan anda daripada kewajipan untuk membayar kadar faedah yang ditentukan oleh pihak Bank.”
Namun, kenyataan syarat ini hanya dicetak dalam bentuk tulisan kecil dan dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan peminjam tidak menyedari tentang kewujudannya mahupun kesannya. Malah, dalam apa jua keadaan pun, mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana mereka memerlukan pinjaman itu untuk membeli rumah. Mungkin tiba masanya untuk meminda klausa dalam perjanjian pinjaman perumahan ini. Menaikkan kadar faedah pinjaman terhadap peminjam yang sedang bergelut dengan masalah kewangan sememangnya tidak seiras dengan aspirasi negara kita untuk mewujudkan sebuah “masyarakat penyayang”.
Walau bagaimanapun, dalam kes Cik K ini, suaminya telah berusaha keras dan membayar balik pinjaman itu sebanyak kira-kira RM1,000 sebulan dari tahun 2016 hingga 2019, untuk mengurangkan baki pinjaman ke tahap yang mampu diuruskan. Pihak bank juga menurunkan semula kadar faedah kepada 6% pada tahun 2016, dan ini membantu dalam mengurangkan baki pinjaman.
Malangnya sekali, suami Cik K meninggal dunia dalam sebuah kemalangan tempat kerja pada bulan Ogos 2023. Pada masa itu, menurut penyata akaun yang diberikan oleh pihak Bank RHB kepadanya, mereka masih mempunyai baki pinjaman sebanyak RM19,000 yang perlu dilunaskan. Cik K diberitahu oleh pihak bank bahawa tiadanya insurans MRTA (Mortgage Reducing Term Assurance) yang diambil bagi pinjaman tersebut. Oleh itu, Cik K terus membayar setakat yang dia mampu.
Namun, apabila Cik K membawa dokumen banknya ke Pusat Khidmat PSM di Sungai Siput pada tahun 2026, kami mendapati bahawa MRTA sebenarnya telah dibayar pada tahun 2001 semasa pinjaman tersebut diluluskan. Apabila bukti ini dikemukakan, pihak Bank RHB tergesa-gesa untuk memasukkan wang sebanyak RM13,152 ke dalam akaun pinjaman tersebut pada bulan Oktober 2026. Ini telah menurunkan baki pinjaman kepada RM4,689. Sebenarnya, jumlah baki pinjaman ini sepatutnya lebih rendah lagi jika pihak Bank RHB mematuhi prosedur perakaunan yang betul, iaitu menolak jumlah MRTA daripada jumlah baki pinjaman pada bulan Ogos 2023 (tarikh suami Cik K meninggal dunia), yang seterusnya akan menjadikan jumlah faedah yang dikenakan selepas itu jauh lebih rendah lagi.
Selain itu, jika Bank RHB berhati perut, ia sepatutnya boleh mengira semula jumlah yang perlu dibayar dengan menggunakan kadar faedah 6% setahun bagi tempoh 2007 hingga 2015, iaitu kadar BLR + 0.5% yang dinyatakan dalam surat tawaran pinjaman. Seperti yang dapat dilihat dalam rekod pembayaran balik pinjaman, keluarga ini betul-betul berhasrat untuk melunaskan pinjaman bank mereka, dan mereka telah membayar wang sejumlah RM105,000 daripada pinjaman bernilai RM44,000 dari tahun 2007 hingga 2026. (Kita belum lagi mengambil kira jumlah yang dibayar oleh mereka dari tahun 2001 hingga 2007.) Namun demikian, pihak Bank RHB mengambil pendekatan yang berbeza sama sekali, dan menambahkan lagi RM21,689 kepada baki pinjaman pada bulan Oktober 2026, dengan mendakwa bahawa jumlah tersebut merupakan yuran guaman. Bukankah bank itu sendiri telah berkata bahawa yuran guaman ini sudah dimasukkan ke dalam pokok pinjaman pada tahun 2007? Mengapakah caj-caj ini dikenakan semula sekarang?
Kemudian, pada awal bulan November 2026, Bank RHB menampalkan sebuah notis lelongan pada rumah tersebut yang menyatakan bahawa lelongan elektronik (e-auction) telah dijadualkan pada 17 November 2026. Peguam Bank RHB, Leong & Leong, telah memohon untuk tarikh lelongan di Mahkamah Tinggi Taiping pada bulan September 2026, dengan menggunakan perintah yang diperoleh pada tahun 2007. Cik K tidak diberitahu tentang perbicaraan di Mahkamah Taiping pada tahun 2026, dan oleh itu, dia tidak menghadiri perbicaraan tersebut untuk memaklumkan kepada mahkamah tentang butiran yang berkaitan.
Sikap Bank RHB yang tidak berperikemanusiaan dan tidak peduli langsung pada nasib pelanggannya ini adalah sesuatu yang patut dikeji.
Beberapa persoalan yang kita harus bangkitkan:
- Mengapakah kadar faedah dinaikkan kepada 10% dari tahun 2007 hingga 2015? Memang benar pasangan suami isteri ini mempunyai masalah untuk meneruskan pembayaran balik pinjaman. Namun, mengapakah pihak bank menjadikannya lebih sukar lagi bagi mereka untuk kembali membuat pembayaran balik secara teratur?
- Mengapakah Bank RHB enggan mengakui kewujudan MRTA sehingga peminjam datang dengan bukti dokumen? Bukankah pihak Bank RHB sepatutnya mempunyai rekod tentang MRTA itu dalam simpanannya? Malah, kewujudan MRTA itu telah jelas dinyatakan dalam surat tawaran pinjaman.
- Mengapakah pihak Bank RHB tidak menolak bayaran MRTA daripada baki pinjaman dari tarikh suami Cik K meninggal dunia?
- Mengapakah pihak Bank RHB tidak memaklumkan Cik K mengenai caj guaman sehingga saat-saat terakhir? Bukankah kos guaman ini telah dimasukkan ke dalam pokok pinjaman pada tahun 2007? Adakah Cik K dikenakan caj dua kali sekarang? Adakah proses semakan dan penelitian sewajarnya dilakukan dalam perkara ini?
- Mengapakah pihak Bank RHB tidak memanggil Cik K untuk perbincangan sebelum meneruskan tindakan lelongan? Keluarga ini telah membayar sebanyak lebih RM105,000 untuk pinjaman RM44,000. Adalah jelas bahawa mereka telah cuba sedaya upaya untuk melunaskan kewajipan pinjaman mereka. Lebih-lebih lagi, pihak Bank RHB telah mengaut keuntungan lumayan daripada akaun pinjaman ini.
- Mengapakah Cik K tidak dimaklumkan tentang permohonan di Mahkamah Tinggi untuk meneruskan lelongan rumahnya? Haknya untuk mengemukakan penjelasan dan membela dirinya di mahkamah telah dinafikan.
Membeli sebuah rumah merupakan tanggungan kewangan yang besar bagi kebanyakan keluarga kelas pekerja. Sebahagian besar daripada pendapatan keluarga digunakan untuk membayar balik pinjaman. Jika kita mengandaikan bahawa secara puratanya, suami Cik K memperoleh pendapatan sebanyak 2.4 kali ganda gaji minimum, maka jumlah pendapatannya dari tahun 2007 hingga kematiannya pada 2023 dianggarkan kira-kira RM538,560. RM105,000 bersamaan dengan 19.5% daripada jumlah pendapatan itu. Bukankah pihak bank patut menghargai pengorbanan dan komitmen sedemikian, serta berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan perampasan harta pembeli rumah yang telah bersusah payah — dengan keringat dan air mata — demi memenuhi kewajipan pembayaran balik pinjaman mereka?
Keuntungan tahunan Bank RHB pada tahun 2025 ialah RM3.36 bilion. Pembeli rumah seperti Cik K dan suaminya turut menyumbang kepada keuntungan lumayan Bank RHB. Bukankah pihak Bank RHB sepatutnya melayan pelanggan pinjaman perumahannya secara adil dan saksama?
Tindakan Bank RHB yang keji dan tidak berperikemanusiaan berhubung kes Cik K ini adalah merangkumi pelbagai aspek. Ia mencerminkan sikap pihak bank yang membimbangkan, iaitu tidak mempedulikan langsung dan tidak mempunyai rasa hormat terhadap pelanggannya yang berpendapatan rendah. Bank Negara harus mencampur tangan, dan sekurang-kurangnya menjalankan pengauditan forensik terhadap 50 buah rumah terakhir yang dilelongkan oleh Bank RHB untuk mengenal pasti sejauh mana keputusan yang cuai dan tidak berperikemanusiaan telah dibuat oleh Bank RHB. Pengauditan ini harus dijalankan oleh pihak luar yang bebas – ia tidak boleh diserahkan kepada Bank RHB sendiri. Kegagalan Bank RHB dalam melakukan usaha wajar harus dikecam dan dihentikan. Bank-bank tidak seharusnya dibenarkan untuk membuli pelanggan-pelanggan kecil mereka! Bank Negara harus bertindak secara tegas dan segera dalam perkara ini!
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
