SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN: Tinagaran Subramaniam @ Cikgu Tina, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kerusi DUN N22 Rahang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, menyatakan kebimbangannya tentang cadangan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di daerah Jelebu, Negeri Sembilan, dalam sebuah memorandum yang diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan pada 30 Julai 2026.  

“Walaupun REE sering dipromosikan sebagai sumber mineral strategik untuk ekonomi masa hadapan, pembangunan ekonomi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan hutan simpan, sumber air dan kesejahteraan masyarakat setempat,” kata Cikgu Tina. “Kami amat bimbang terhadap kesan alam sekitar yang bakal dicetuskan sekiranya cadangan ini diteruskan. Kami berpandangan bahawa manfaat ekonomi dari segi hasil royalti tidaklah signifikan sehingga ia boleh mengabaikan kesan tempias jangka panjang yang akan ditinggalkan oleh perlombongan REE, terutamanya dalam kawasan atau berhampiran dengan kawasan sensitif alam sekitar.”

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, telah memaklumkan pada bulan Mei 2025 bahawa, pihaknya sudah pun meluluskan dua kawasan berkeluasan lebih 400 hektar untuk tujuan eksplorasi unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini. Negeri Sembilan dilaporkan mempunyai lebih kurang 4.3% deposit unsur nadir bumi (REE) daripada jumlah seluruh negara kita. Menurut Datuk Seri Aminuddin Harun, anggaran hasil royalti kepada Negeri Sembilan daripada perlombongan REE di Jelebu sepanjang tempoh lesen 6 tahun hanyalah RM22.7 juta, iaitu purata RM3.8 juta setahun atau bersamaan dengan kira-kira 0.6% daripada hasil tahunan negeri. Keputusan Kerajaan Negeri Sembilan menerima risiko pencemaran kimia kepada bekalan air Seremban dan air bawah tanah Jelebu yang sudah pun terhad sememangnya tidak masuk akal, memandangkan hasil kepada Negeri Sembilan yang tidak berbaloi. Kuala Pilah, yang bersempadan dengan Jelebu, merupakan daerah paling kering di negara ini dan menerima taburan hujan yang paling kurang. Jadi, kemungkinan pencemaran air bawah tanah akan memburukkan keterjaminan bekalan air untuk rakyat setempat.

“PSM amat risau apabila pada tahun lalu, Majlis Daerah Jelebu telah mengemukakan cadangan pindaan dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Jelebu 2035 bagi memudahkan aktiviti perlombongan melalui perubahan zon guna tanah. Cadangan tersebut melibatkan pertukaran zon bagi Lot 20223, Lot 2180, Lot 20537 dan Lot 20538 yang kini berstatus tanah pertanian, serta Lot PT579 dan PT1848 yang kini berada dalam kawasan hutan simpanan (HSK), meliputi keseluruhan kawasan seluas 560.1 hektar, bagi membolehkan aktiviti perlombongan REE dijalankan. Lot PT579 dan PT1848 merupakan sebahagian daripada Hutan Simpanan Kekal (HSK) Gapau,” ulas Cikgu Tina. “Keadaan ini jelas bercanggah dengan pendirian Kerajaan Negeri sendiri. Dalam dokumen ‘Standard Operating Procedure (SOP) of Non-Radioactive Rare Earth Elements (NR-REE) Mining in Negeri Sembilan’ (muka surat 7), dinyatakan dengan jelas bahawa selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Convention on Biological Diversity (CBD), Kerajaan Negeri tidak akan meluluskan sebarang aktiviti perlombongan di dalam Hutan Simpanan Kekal bagi memastikan ekosistem hutan terus dipelihara. Namun, cadangan pindaan zon guna tanah ini seolah-olah membuka ruang untuk mengelakkan syarat tersebut dengan mengeluarkan kawasan Hutan Simpanan Kekal daripada zon asalnya sebelum aktiviti perlombongan dibenarkan. Jika pendekatan sebegini diterima, maka jaminan yang diberikan dalam SOP tersebut tidak lagi mempunyai sebarang makna dan hanya menjadi dokumen tanpa kuasa.”

“PSM dengan tegas membantah sebarang pindaan kepada Draf Rancangan Tempatan Daerah Jelebu 2035 yang bertujuan untuk mengeluarkan kawasan Hutan Simpanan Kekal daripada perlindungan sedia ada demi membolehkan aktiviti perlombongan REE,” tegas kata Cikgu Tina. “Hutan Simpanan Kekal bukanlah ‘bank tanah’ yang boleh ditukar statusnya setiap kali wujud kepentingan ekonomi baharu. Ia merupakan warisan semula jadi negeri yang memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air, habitat hidupan liar, penyimpan karbon dan benteng kepada perubahan iklim.”

“Menurut Saudara Meor Razak daripada Sahabat Alam Malaysia (SAM), tindakan mengeluarkan kawasan Hutan Simpanan Kekal, khususnya yang turut diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 serta berada dalam rangkaian Central Forest Spine (CFS), tidak seharusnya dilakukan kerana kesan buruknya jauh mengatasi manfaat ekonomi jangka pendek,” ulas Cikgu Tina. “Berdasarkan Seksyen 2 Akta Perhutanan Negara 1984, sumber mineral seperti REE bukanlah ditafsirkan sebagai hasil hutan. Oleh itu, kewujudan mineral tersebut tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengorbankan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang diwujudkan bagi melindungi biodiversiti, kawasan tadahan air dan keseimbangan ekologi negara.”

PSM sebelum ini turut meneliti dan membantah cadangan perlombongan REE di Hutan Simpan Hulu Jelai, Kuala Lipis, Pahang. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kaedah perlombongan in-situ leaching, yang digunakan untuk melarutkan dan mengekstrak unsur nadir bumi daripada tanah dengan menggunakan bahan kimia, membawa risiko pencemaran jangka panjang terhadap tanah, air bawah tanah serta ekosistem sungai. Dalam kes di Hulu Jelai, antara kebimbangan utama ialah kemungkinan pencemaran Sungai Telom yang menjadi sumber air utama masyarakat Orang Asli Semai di situ. Risiko yang sama juga boleh berlaku di Jelebu sekiranya perlombongan dijalankan berhampiran kawasan tadahan air dan hutan simpan. Kesan pencemaran seperti ini bukan sahaja sukar dipulihkan, malah boleh menjejaskan bekalan air, pertanian, biodiversiti dan kehidupan penduduk untuk tempoh yang sangat panjang. Atas sebab itu, PSM berpendirian bahawa prinsip pencegahan harus dijadikan asas dalam setiap keputusan melibatkan perlombongan REE. Apabila risiko terhadap alam sekitar dan sumber air masih belum dapat dipastikan atau dikawal sepenuhnya, kepentingan awam hendaklah mengatasi kepentingan komersial.

“Haruslah dipertimbangkan kesan perlombongan ini secara holistik dan bukan sahaja kepada pematuhan langkah-langkah mitigasi yang perlu disempurnakan oleh syarikat perlombongan dalam laporan EIA mereka,” tambah Cikgu Tina. “Kami difahamkan bahawa permohonan EIA telah ditolak oleh pihak Jabatan Alam Sekitar baru-baru ini, tetapi pihak syarikat masih boleh membuat permohonan semula dengan langkah-langkah cadangan mitigasi baharu. Oleh itu, kami ingin mencadangkan kepada Jabatan Alam Sekitar agar membuat penilaian holistik, iaitu pertimbangan kehilangan zon hutan (akibat aktiviti penzonan semula), perubahan ekosistem, kesan kepada hidupan liar, kesan kepada air bawah tanah dan sebagainya. PSM percaya bahawa pembangunan dan perlindungan alam sekitar mesti bergerak seiring. Tiada keuntungan ekonomi yang mampu menggantikan hutan yang musnah, sungai yang tercemar dan kehidupan masyarakat yang terjejas.”

Turut hadir bersama semasa penyerahan memorandum PSM kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan ialah A. Sivarajan selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan Noor Fadzli Shah daripada Biro Kelestarian Alam Sekitar Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Negeri Sembilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *