oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) berasa terkejut dan jijik dengan cara dan sikap tidak matang yang ditunjukkan oleh A. Sivanesan, selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (EXCO) yang bertanggungjawab dalam Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, dalam menangani isu mengenai pertikaian pekerja.

Bukannya mendengar terlebih dahulu daripada kedua-dua pihak, Ahli EXCO ini jelas menunjukkan bahawa dia adalah pro-majikan dan anti-kesatuan. Dia bukan sahaja gagal untuk bertemu dengan wakil-wakil kesatuan sekerja, sebaliknya dia melangkah lebih jauh lagi dengan membuat kenyataan berat sebelah kepada media, malah bergambar dengan pihak pengurusan syarikat konsesi yang berkenaan, Edgenta UEMS Sdn Bhd.

Dalam kenyataan videonya dalam bahasa Tamil, yang disiarkan dalam Makkal Osai dan Sinar Harian pada 26 Mei 2026, Sivanesan mengambil pendirian berat sebelah yang boleh dirumuskan seperti berikut: pekerja-pekerja tidak mempunyai hak untuk berpiket atau berdemonstrasi di luar Hospital Seri Manjung pada 18 Mei 2026; hospital itu langsung tiada kaitan dengan kes ini, seolah-olah ia hanyalah isu antara pekerja-pekerja dan majikan mereka atau kontraktor kerajaan, Edgenta UEMS.

Dalam video yang sama, dia juga mengecam parti-parti politik yang terlibat dalam isu ini. Walaupun dia tidak menyebut nama, adalah jelas bahawa aktivis-aktivis PSM yang berada di lapangan untuk memberi sokongan dan solidariti kepada kesatuan sekerja. Itulah pendirian PSM selama ini: bersolidariti bersama pekerja, dan mengorganisasi pekerja serta kesatuan sekerja. Malulah Ahli EXCO daripada DAP ini. DAP bukan sahaja tidak hadir untuk bersolidariti bersama kelas pekerja, malah mereka juga gagal dalam mengambil pendirian yang berkecuali, seperti yang dijangkakan secara wajar.

Untuk makluman di sini, seorang penyelia yang bekerja dengan Edgenta UEMS telah memaki hamun dan cuba menyerang seorang pekerja di hospital. Kesatuan sekerja telah mengadu kepada pihak majikan dan juga membuat aduan polis seawal 27 Mac 2026. Akan tetapi, tiadanya tindakan yang diambil terhadap penyelia itu, sehingga kesatuan sekerja terpaksa mengadakan aksi piket.

Perhimpunan awam secara aman ialah hak asasi perlembagaan yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Amir Hadi juga menyatakan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman adalah bercanggah dengan perlembagaan di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, Sivanesan terus menekankan peruntukan undang-undang itu, walaupun piket itu berjalan secara aman dan ditamatkan secara aman. Tiadanya bantahan awam, dan polis juga tidak menyatakan bahawa demonstrasi itu melanggari undang-undang, mahupun mengarahkan orang ramai untuk bersurai. Mungkin DAP atau Pakatan Harapan perlu menjelaskan, apakah pendirian mereka mengenai perhimpunan awam secara aman?

Dalam isu yang lebih besar, pendirian Ahli EXCO ini jelas menunjukkan bahawa dia cuba mencuci tangan untuk melepaskan tanggungjawab kerajaan apabila berdepan dengan isu yang melibatkan majikan yang dipilih dan dilantik oleh kerajaan sendiri. Pada tahun 2022, Menteri Kesihatan pada masa itu, Khairy Jamaluddin, telah mengaku bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertanggungjawab terhadap pekerja-pekerja yang dikontrakkan oleh syarikat konsesi untuk berkhidmat di fasiliti-fasiliti KKM. Pendiriannya itu mengatasi pandangan terdahulu yang menganggap pekerja-pekerja pembersihan hospital ini adalah berada di bawah tanggungjawab sepenuhnya syarikat konsesi yang mengupah mereka.

Berikutan perjumpaannya dengan pekerja-pekerja pembersihan hospital awam di Putrajaya pada bulan Februari 2022, Khairy berkata, “Saya telah memaklumkan kepada mereka bahawa, sebagai Menteri Kesihatan, walaupun mereka ialah pekerja di bawah syarikat konsesi, syarikat itu menerima konsesi daripada KKM. Oleh itu, kebajikan mereka juga tanggungjawab kami di Kementerian.” Sekarang ini pula, adanya seorang Ahli EXCO daripada DAP cuba melepaskan tangannya daripada tanggungjawab yang sama.

Dalam laporan Sinar Harian, A. Sivanesan juga berkata bahawa pihak polis sudah menyiasat dan mendapati bahawa tiada unsur jenayah dalam kes ini. Masalahnya ialah, pihak polis hanya mula menyiasat kes ini secara serius selepas piket. Ia adalah tanggungjawab polis untuk menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menentukan sama ada wujudnya unsur jenayah atau tidak. Adalah tidak wajar bagi seorang Ahli Exco Sumber Manusia membuat kenyataan pramatang apabila pengadu masih belum menerima apa-apa surat rasmi daripada polis yang menyatakan bahawa kes ini telah diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA).

Yang paling teruk lagi, bagaimana seorang Ahli EXCO kerajaan negeri, yang sepatutnya mewakili kepentingan semua termasuk pekerja boleh mengadakan mesyuarat dan sidang akhbar tanpa berunding atau menjemput kesatuan yang mewakili pekerja? Adakah ini dasar DAP terkini, sesuatu yang tokoh-tokoh seperti V. David dan P. Patto pasti berasa sangat malu dengannya? Sekurang-kurangnya Ahli EXCO ini boleh kekal neutral, bukannya menunjukkan pendiriannya yang pro-majikan itu begitu terbuka dan jelas. Ini akan menjejaskan keadilan dan merumitkan siasatan polis terhadap perkara ini.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *