
oleh Choo Chon Kai
Sekali lagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang hendak mengusir keluar penyewa-penyewa unit Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) atas alasan mereka tidak lagi memenuhi syarat kelayakan, tetapi syarat kelayakan yang masih digunakan untuk PPR dan RSKN di Pulau Pinang pada hari ini sudah lama ketinggalan zaman.
Pada masa ini, untuk memohon PPR dan RSKN di Pulau Pinang, pendapatan bulanan seseorang pemohon tidak boleh melebihi RM750 atau pendapatan seisi sekeluarga tidak boleh melebihi RM1,500. Syarat had pendapatan ini sangat tidak realistik dan langsung tidak mengikuti perkembangan zaman. Gaji minimum di Malaysia sekarang sudah mencecah RM1,700 sebulan. Ini ialah gaji bagi pekerja formal yang berpendapatan paling rendah. Lebih-lebih lagi, bagi sebuah keluarga berpendapatan rendah, terutamanya bagi mereka yang sudah beranak, adalah masih sukar untuk menampung kehidupan sekeluarga dengan hanya seorang daripada suami isteri yang bekerja dengan menerima gaji minimum.
Mengikut syarat kelayakan yang masih digunakan kini, seorang pekerja berpendapatan terendah, seperti pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan, tidak akan layak untuk memohon PPR dan RSKN di Pulau Pinang. Adakah ini masuk akal? Adakah Dato’ Seri Sundarajoo Sumo selaku Exco Perumahan Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang langsung tidak sedar tentang realiti ini atau masih hidup dalam zaman dinosaur?
Syarat had pendapatan untuk PPR dan RSKN Pulau Pinang juga jauh ketinggalan berbanding dengan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), iaitu pendapatan kasar isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan. Kedah, negeri jiran Pulau Pinang, juga menetapkan syarat had pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan, dua kali ganda berbanding dengan Pulau Pinang. Perak, sebuah lagi negeri jiran Pulau Pinang, malah menetapkan had pendapatan isi rumah RM3,860 sebagai syarat untuk memohon PPR di negeri itu! Adakah Pulau Pinang sebuah negeri yang lebih miskin daripada Kedah dan Perak?
Oleh itu, PSM Pulau Pinang sekali lagi menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyemak semula dan meningkatkan had pendapatan untuk syarat kelayakan memohon rumah sewa PPR/RSKN kepada RM3,500 sebulan, selaras dengan gaji minimum pekerja individu semasa.
Berkenaan dengan isu penyewa unit rumah PPR/RSKN yang sudah melebihi had pendapatan, mereka tidak semestinya mampu menyewa rumah dengan kadar sewa yang membebankan di pasaran. Mereka juga tidak mampu untuk membeli rumah sendiri, lebih-lebih lagi membayar hutang pinjaman perumahan dengan pendapatan yang masih rendah walaupun dikatakan sudah melebihi had pendapatan untuk layak duduk di PPR/RSKN.
Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) perlu mewujudkan mekanisme baharu untuk menangani situasi di mana penyewa PPR/RSKN sudah melebihi had pendapatan tetapi masih tidak mampu menyewa atau membeli rumah di luar. PSM Pulau Pinang menyarankan agar LPNPP menaikkan sewa unit PPR/RSKN bagi penyewa yang sudah melebihi had pendapatan tetapi berkadar dengan pendapatan semasa supaya mereka boleh terus mempunyai tempat tinggal yang mampu ditanggung sewa. Jika LPNPP mendapati bahawa penyewa PPR/RSKN sudah mempunyai pendapatan yang cukup tinggi untuk memiliki rumah, maka patut menawarkan unit rumah mampu milik untuk dibeli atau skim sewa-untuk-beli (RTO) sebelum meminta mereka mengosongkan unit sewaan PPR/RSKN. Ini barulah pendekatan yang lebih berperikemanusiaan, bukannya terus mengusir keluar mereka yang dikatakan tidak layak dengan cara birokrasi yang keras.
LPNPP juga harus menubuhkan sebuah jawatankuasa rayuan yang bebas untuk membolehkan penyewa unit PPR/RSKN sedia ada yang dikatakan sudah hilang kelayakan untuk membuat rayuan dan meneliti rayuan itu secara menyeluruh, termasuk mengadakan sesi temu bual dengan perayu.
Selain itu, PSM Pulau Pinang juga menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menambahkan pembinaan unit PPR/RSKN supaya dapat memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah yang masih menunggu sebuah unit rumah mampu sewa.
==========
Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Jurucakap PSM Pulau Pinang.
