KUALA LUMPUR – 6 FEBRUARI 2026: Organisasi-organisasi masyarakat sivil yang prihatin pada isu pengusiran paksa terhadap penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang, Selangor, melancarkan kempen “Boikot Melati Ehsan”. Kempen boikot ini menyasarkan syarikat Melati Ehsan yang merupakan pihak pemaju yang telah merobohkan rumah-rumah penduduk Kampung Jalan Papan tanpa penyelesaian rumah alternatif dan terus mengancam penduduk-penduduk yang masih tinggal di situ.

“Dalam tempoh kurang dua minggu, masyarakat orang Cina akan menyambut Tahun Baharu Cina, tetapi perayaan penting ini sedang dicemari kerana sejak bulan November 2025, syarikat pemaju Melati Ehsan telah mengambil pelbagai tindakan yang menghina dan membuli masyarakat Kampung Jalan Papan, termasuk merobohkan rumah mereka,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan. Syarikat Melati Ehsan telah merobohkan rumah penduduk Kampung Jalan Papan secara paksa walaupun Kerajaan Negeri Selangor menyatakan bahawa rumah yang berpenghuni tidak akan dirobohkan.

“Setiap hari, pihak keselamatan Melati Ehsan mengambil gambar dan video penduduk. Papan-papan tanda ‘penceroboh tanah’ dipasang di merata tempat di kawasan kampung, dan pemaju turut merancang untuk menutup jalan akses ke kampung yang masih didiami penduduk,” ulas Arutchelvan. “Puluhan aduan polis telah dibuat. Setiap hari, penduduk hidup dalam ketakutan, sama ada rumah sedia ada akan dirobohkan atau kampung yang telah wujud lebih 90 tahun ini akan dimusnahkan sepenuhnya. Tindakan syarikat pemaju Melati Ehsan yang biadab dan tidak munasabah ini perlu dibalas dengan tindakan aman. Justeru, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, beberapa buah kumpulan masyarakat sivil bersama-sama penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan memutuskan untuk melancarkan kempen ‘Boikot Melati Ehsan’.”

Kempen Boikot Melati Ehsan telah diusahakan oleh organisasi-organisasi seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH). Wakil daripada organisasi-organisasi ini telah hadir dalam sidang akhbar pelancaran kempen “Boikot Melati Ehsan” pada hari ini. Kempen ini telah mendapat sokongan daripada sebanyak 58 buah organisasi masyarakat sivil.

Jawatankuasa Kempen Boikot Melati Ehsan telah menyenaraikan 5 sebab kenapa syarikat Melati Ehsan perlu dipertanggungjawabkan dalam isu perumahan Kampung Jalan Papan dan diboikot sehingga isu ini diselesaikan:

  1. Melati Ehsan gagal membina rumah seperti yang dijanjikan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 28 Februari 2018.
  2. Melati Ehsan merobohkan rumah penduduk dari 10 hingga 14 November 2025, walaupun Kerajaan Negeri Selangor telah menyatakan bahawa mereka berjanji hanya akan merobohkan rumah yang tidak berpenghuni.
  3. Melati Ehsan mengheret penduduk Kampung Jalan Papan ke Mahkamah semasa pandemik COVID-19, walaupun sebelum itu berjanji untuk membina perumahan bagi mereka.
  4. Melati Ehsan merupakan pemaju yang diberi kuasa oleh Syarikat TPPT (anak syarikat Bank Negara), yang telah dipertanggungjawabkan untuk membina perumahan bagi penduduk Kampung Jalan Papan. Walaupun TPPT telah diberikan 95 ekar tanah oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk tujuan ini, sebahagian besar tanah tersebut digunakan untuk keuntungan, dan hanya 7 ekar dicadangkan untuk perumahan peneroka. Apa yang berlaku kepada baki 88 ekar tanah tersebut?
  5. Selepas 29 buah rumah dirobohkan dan 23 orang aktivis ditahan, Melati Ehsan masih meneruskan tindakan membuli dan mengganggu keharmonian penduduk Kampung Jalan Papan.

Organisasi-organisasi yang menyokong Kempen Boikot Melati Ehsan menyeru pada orang ramai supaya mengambil langkah-langkah berikut untuk menuntut keadilan buat penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan:

  1. Menulis surat kepada Menteri Besar Selangor untuk menuntut pada Kerajaan Negeri Selangor supaya membekukan semua projek Melati Ehsan di Selangor sehingga isu perumahan Kampung Jalan Papan diselesaikan sepenuhnya. (Tuntutan ini boleh ditujukan secara e-mel: amirudinshari@selangor.gov.my, atau melalui media sosial, FB: Amirudin Shari, Twitter/X: @AmirudinShari, Instagram: amirudin_shari)
  2. Jangan membeli sebarang hartanah yang dimiliki atau dibangunkan oleh Melati Ehsan.
  3. Menyebarkan pandangan bersolidariti bersama penduduk Kampung Jalan Papan dengan tanda pagar #SelamatkanKgPapan di semua platform media sosial Melati Ehsan, untuk mendesak pemaju tersebut supaya bersikap adil dan menyelesaikan isu Kampung Jalan Papan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *