KUALA LUMPUR – 12 DISEMBER 2025: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan supaya menghentikan kempen “Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026” (MYMT 2026) yang mempromosikan pelancongan kesihatan tetapi mengancam sistem kesihatan awam. Seruan ini dibuat semasa satu aksi protes yang diadakan pada hari ini di hadapan ibu pejabat Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Kira-kira 50 orang, termasuk aktivis-aktivis PSM dan wakil organisasi yang menyokong seruan PSM, berarak dari ibu pejabat PSM ke ibu pejabat MHTC dengan membawa sepanduk serta plakad yang tertulis mesej-mesej yang mempertahankan sistem kesihatan awam. Aksi protes ini dianjurkan bersempena sambutan Hari Liputan Kesihatan Sejagat dengan seruan kepada kerajaan supaya menjamin perkhidmatan kesihatan yang berkualiti bagi semua rakyat.

Turut menyertai aksi protes pada hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), M. Sivaranjani (Setiausaha Agung PSM), Soh Sook Hwa (Bendahari Nasional PSM) dan Gandipan Nantha Gopalan (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Ketua Penyelaras Kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam”).

“Adalah amat penting untuk kita mengingatkan kerajaan tentang apa yang harus dijadikan keutamaan,” kata Dr. Jeyakumar semasa berprotes di hadapan ibu pejabat MHTC. “Adakah keutamaan anda itu keuntungan atau kesihatan bagi rakyat? Saya rasa kerajaan kita sudah keliru sikit. Jika aktiviti untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu menjejaskan perkhidmatan kesihatan bagi rakyat, kita harus cakap dengannya, ‘Tak boleh!’ Saya tidak faham kenapa kerajaan kita tidak memahami kebenaran ini. ”

“Kerajaan harus memberi keutamaan dalam memperkasakan hospital awam kita, bukannya pelancongan kesihatan dan keuntungan korporat,” tegas kata Dr. Jeyakumar. “Jadi, kita harus bersuara untuk mengingatkan kerajaan kita bahawa keutamaan kerajaan adalah kesihatan rakyat. Kerajaan harus mengutamakan rakyat biasa.”

“Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 diadakan pada satu waktu yang amat tidak sesuai, kerana hospital-hospital awam kita sudah pun tidak cukup doktor tetapi kerajaan masih hendak membelanjakan RM20 juta untuk mempromosi pelancongan kesihatan,” ulas Gandipan semasa protes di hadapan MHTC. “Apakah hala tuju kerajaan kita dalam sistem kesihatan? Perkhidmatan kesihatan bukan satu komoditi untuk diniagakan demi keuntungan golongan korporat.”

Dalam memorandum yang ditujukan kepada MHTC dan kerajaan, PSM menyatakan pandangan bahawa sebarang usaha untuk memperluaskan pelancongan kesihatan hanya menguntungkan syarikat korporat hospital swasta dan menjejaskan keupayaan sistem kesihatan awam yang menanggung beban rawatan majoriti rakyat Malaysia. PSM juga berpendirian bahawa dasar mempromosi pelancongan kesihatan bertentangan dengan prinsip Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) dan mengancam kelestarian sistem kesihatan awam negara kita.

Tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum ini ialah:

  • Hentikan serta-merta kempen mempromosi pelancongan kesihatan seperti “Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026” (MYMT 2026);
  • Hentikan penggunaan dana awam untuk mempromosikan hospital swasta, sebaliknya menggunakan dana itu untuk menaik taraf peralatan hospital kerajaan, memperbaiki perkhidmatan kecemasan dan mengurangkan beban kerja petugas-petugas kesihatan.

Memorandum membantah pelancongan kesihatan yang disediakan oleh PSM ini telah disokong oleh 31 buah organisasi, termasuk ALIRAN, Gabungan Marhaen, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Tenaganita dan sebagainya.

Memorandum daripada PSM ini diserahkan kepada Lokman Izam Abd Aziz, Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi MHTC.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *