Berikut ialah isi kandungan memorandum yang disediakan dan diserahkan pada 12 Disember 2025 oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang disokong oleh 31 buah organisasi.

Sempena Hari Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) sedunia pada 12 Disember ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menyampaikan bantahan yang tegas terhadap pelaksanaan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia atau Malaysia Year of Medical Tourism 2026 (MYMT 2026) serta penggunaan dana awam sebanyak RM20 juta untuk mempromosi pelancongan kesihatan. Kami berpandangan bahawa sebarang usaha untuk memperluaskan pelancongan kesihatan hanya menguntungkan syarikat korporat hospital swasta dan menjejaskan keupayaan sistem kesihatan awam, yang menanggung beban rawatan majoriti rakyat Malaysia.

Kami berpendirian bahawa dasar mempromosi pelancongan kesihatan bertentangan dengan prinsip Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) dan mengancam kelestarian sistem kesihatan awam negara. Liputan Kesihatan Sejagat merangkumi hak asasi manusia untuk perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, mudah didapati dan berpatutan tanpa mengalami sebarang isu berkaitan kewangan.

Pelancongan kesihatan menggunakan dana rakyat untuk keuntungan korporat

Walaupun Malaysia menerima 1.6 juta orang pelancong kesihatan pada tahun 2024 (dengan kenaikan 14% berbanding tahun lepas), manfaatnya lebih memihak kepada syarikat hospital swasta, bukan rakyat Malaysia yang kini berdepan dengan:

  • Waktu menunggu yang agak lama di hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan;
  • Kekurangan doktor pakar di hospital kerajaan;
  • Kelambatan dalam mendapat rawatan daripada doktor pakar di hospital kerajaan.

Pelan MYMT 2026 yang menyasarkan 4.3 juta orang pelancong (2025) dan 4.7 juta orang pelancong (2026) bakal mengalihkan lebih banyak tenaga pakar kepada sektor swasta demi memenuhi permintaan pasaran pelancong asing. Dana rakyat sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan perkhidmatan kesihatan awam, bukan mempromosikan rawatan premium untuk pelancong yang kaya.

Perkembangan hospital swasta menjadi krisis nasional

Pelancongan kesihatan menjadi faktor utama pertumbuhan agresif hospital swasta, antaranya:

1) KPJ & IHH Healthcare

  • KPJ akan menambah 53% kapasiti katil (6,000 katil menjelang tahun 2029).
  • IHH akan menambah 43% kapasiti katil (4,978 katil menjelang tahun 2028).
  • Menjelang tahun 2028, kapasiti katil hospital swasta dijangka melonjak kepada 23,000-24,000 katil (daripada 18,779 pada tahun 2023).

2) MRCB – Hospital baharu di Melaka

  • Kos pembangunan fasa pertama: RM520 juta.
  • 300 katil, 100 suite konsultasi, dan pusat kecemerlangan kardio dan ortopedik.
  • Diwar-warkan sebagai pemacu destinasi pelancongan kesihatan Melaka.

3) Sunway Healthcare Holdings Bhd

  • Memfailkan penyenaraian IPO untuk membiayai rancangan pengembangan bernilai RM1.6 bilion.
  • Hospital baharu dengan 401 katil di Iskandar Puteri: RM766 juta.
  • Projek menaik taraf lain: hampir RM850 juta.
  • Sasaran: lebih 3,400 katil menjelang tahun 2032.

4) TMC Life Sciences (TMCLS)

  • Mengumumkan pembinaan Thomson Iskandariah Hospital di JS-SEZ  (Johor–Singapura).

Akibat buruk kepada sistem kesihatan awam

PSM amat bimbang kerana setiap hospital swasta baharu mengakibatkan perpindahan

10-50 orang pakar dari sektor awam. Data semasa menunjukkan bahawa:

  • Sekitar 75% pakar dengan pengalaman lebih daripada 5 tahun selepas mendapat ijazah kepakaran, telah meninggalkan hospital kerajaan dan sedang berkhidmat di sektor swasta.
  • Sekitar 75% rakyat Malaysia masih bergantung kepada hospital awam untuk rawatan.

Maka, perkembangan pelancongan kesihatan secara langsung mempercepatkan krisis brain drain (penghijrahan) pakar perubatan dari sektor awam.

Lagipun perkembangan pelancongan kesihatan mengakibatkan peningkatan lagi kos rawatan di hospital swasta di Malaysia. Ini kerana lebih tumpuan diberikan kepada fasiliti mewah untuk menarik pelancong dari luar negara. Hak asasi rakyat tempatan untuk menikmati perkhidmatan kesihatan tanpa mengalami sebarang isu kewangan seperti yang diseru oleh prinsip Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) jelas terjejas.

Kami menegaskan bahawa pengembangan hospital swasta yang memburu keuntungan adalah tidak lestari dan hanya menghancurkan kapasiti kesihatan awam yang menjadi nadi rawatan rakyat.

Seruan PSM

PSM menggesa kerajaan untuk:

1) Hentikan serta-merta Kempen MYMT 2026

Ini kerana ia mempercepatkan brain drain dan merosakkan sistem kesihatan awam.

2) Hentikan penggunaan dana awam untuk mempromosikan hospital swasta. RM20 juta itu lebih baik disalurkan untuk:

  • Menaik taraf peralatan hospital kerajaan;
  • Memperbaiki perkhidmatan kecemasan;
  • Mengurangkan beban tugas petugas kesihatan.

Perkhidmatan kesihatan bukan satu komoditi untuk diniagakan demi keuntungan golongan korporat. Ia merupakan tanggungjawab murni/suci kerajaan terhadap semua penduduk di dalam negara.

Memorandum ini disokong oleh:

  1. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  2. Pemuda Sosialis
  3. Gabungan Marhaen
  4. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)
  5. Blackshirt Youth
  6. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
  7. Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
  8. Pertubuhan Siragugal
  9. Pusat Pelajar Marhaen (PPM)
  10. Tenaganita
  11. Suara Siswa UiTM
  12. Fajar Baru
  13. Persatuan Sahabat Wanita Selangor
  14. Aliran
  15. Citizens Health Initiative
  16. Family Frontiers 
  17. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
  18. Islamic Renaissance Front 
  19. Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
  20. Persahabatan Semparuthi
  21. Persatuan Kebudayaan dan Sosial India Bandar Baru Kangkar Pulai
  22. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  23. North-South Initiative (NSI)
  24. Parti Rakyat Malaysia (PRM)
  25. Agora Society
  26. Women’s Aid Organisation (WAO)
  27. Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Dan Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS)
  28. Kolektif SIUMAN
  29. Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI)
  30. KLSCAH Civil Rights Committee
  31. KLSCAH Youth

One thought on “Bantah Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *