
Sejak bulan Ogos 2025, kerajaan Amerika Syarikat (AS) mula mengerahkan jentera ketenteraannya, seperti kapal perang dan pesawat tempur, ke Laut Caribbean, dengan niat yang jelas hendak memprovokasi dan mengancam untuk menyerang Venezuela.
Pengerahan tentera AS yang diarahkan oleh Donald Trump selaku Presiden AS terbaru ini dibuat atas alasan hendak membanteras penyeludupan dadah dari rantau Caribbean, tetapi daripada segala tindak tanduk pihak AS, adalah jelas bahawa ia menyasarkan untuk menjatuhkan kerajaan Venezuela yang dipimpin oleh Nicolás Maduro dan menggantikannya dengan sebuah rejim yang dapat melindungi kepentingan geopolitik di Amerika Latin. Venezuela sedang diancam pencerobohan oleh tentera AS.
Tindakan pengerahan tentera AS ke Caribbean telah meningkatkan ketegangan geopolitik di rantau itu. Kerajaan AS pimpinan Trump menuduh Presiden Venezuela Nicolás Maduro terlibat dalam penyeludupan dadah ke dalam AS tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh. Kerajaan AS menawarkan ganjaran sebanyak AS$50 juta untuk menangkap Maduro atas apa yang didakwa sebagai peranannya dalam pengedaran dadah. Kerajaan AS pimpinan Trump memanggil mereka yang terlibat dalam penyeludupan dadah dari rantau Caribbean ke AS sebagai “pengganas narkotik” (narco-terrorist). Trump juga mengesahkan bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) sedang menjalankan operasi rahsia di Venezuela.
Sejak awal bulan September 2025, tentera AS melancarkan serangan maut ke atas kapal-kapal yang didakwa menyeludup dadah di kawasan perairan antarabangsa. Antara kapal yang diserang dan ditenggelamkan oleh tentera AS ialah kapal nelayan kecil. Sekurang-kurangnya 83 orang telah dibunuh dalam serangan ketenteraan AS yang dilakukan sebanyak 21 kali tanpa mengemukakan bukti bahawa mereka terlibat dalam penyeludupan dadah. Walaupun data daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) menunjukkan bahawa Venezuela hanya memainkan peranan yang kecil dalam pengedaran dadah antarabangsa, kerajaan AS masih giat meningkatkan operasi ketenteraannya atas nama “membanteras penyeludupan dadah”, kerana niat asalnya memang bukan untuk membanteras penyeludupan dadah.
USS Gerald R. Ford, kapal induk pesawat udara yang terbesar di dunia, telah dikerahkan ke kawasan perairan Caribbean yang berdekatan dengan Venezuela pada bulan November 2025, untuk meningkatkan lagi ancaman serangan ketenteraan yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Maduro di Venezuela. Lebih 15,000 orang anggota tentera berada di luar pesisir pantai Venezuela untuk melancarkan serangan bila-bila masa. Malah, Trump juga mengisytihar bahawa ruang udara Venezuela “ditutup”, walaupun dia tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk berbuat demikian.
Apa yang berlaku baru-baru ini merupakan peningkatan ketenteraan yang terbesar di Laut Caribbean sejak Krisis Peluru Berpandu Kuba pada bulan Oktober 1962. Imperialisme AS cuba menangani masalah mendalam di dalam negara dan kemerosotan kekuasaannya dengan peperangan terhadap sebuah negara berdaulat yang tidak sehaluan dengan kepentingannya.
Cubaan kuasa imperialis AS untuk melakukan perubahan rejim di Venezuela bukannya sesuatu yang baharu. Malah, pelbagai cubaan dan taktik kotor telah digunakan dalam tempoh lebih dua dekad yang lalu untuk menggagalkan proses Revolusi Bolivar di Venezuela yang dimulakan oleh mendiang Hugo Chávez. Dengan sokongan daripada golongan pembangkang berhaluan kanan di Venezuela, kuasa imperialis AS telah terlibat aktif dalam pelbagai komplot untuk menjatuhkan kerajaan Bolivar di Venezuela yang dipimpin oleh Chávez dan kemudiannya oleh Maduro hari ini. Kepentingan imperialisme AS dalam menguasai kekayaan sumber minyak di Venezuela telah dijejaskan oleh dasar-dasar sosioekonomi yang dibawa dalam proses Revolusi Bolivar yang dicetuskan oleh mendiang Chávez.
Cubaan rampasan kuasa, demonstrasi ganas yang menyahstabilkan masyarakat dan sekatan ekonomi yang dikenakan untuk melemaskan rakyat Venezuela, telah memberi impak besar kepada kehidupan rakyat Venezuela. Tambahan pula, tindakan kerajaan pimpinan Maduro untuk menangkis ancaman politik puak berhaluan kanan yang disokong oleh kuasa imperialis AS sering kali menghakis dan menyekat ruang demokrasi yang terbuka luas pada zaman awal Revolusi Bolivar, maka melemahkan sokongan massa kepada kerajaan Bolivar Venezuela. Oleh itu, wujudnya pertikaian tentang keputusan pilihan raya presiden pada bulan Julai 2024 dan krisis politik susulan daripadanya. Walau bagaimanapun, rakyat Venezuela yang tegas pendirian mereka dalam mempertahankan hasil Revolusi Bolivar dan menolak campur tangan kuasa imperialis AS bersedia untuk menangkis segala ancaman yang bakal menggadaikan kedaulatan negara Venezuela.
Pada 21 November 2025, lebih 60 orang pemimpin politik dari Eropah mengeluarkan sebuah kenyataan untuk membantah apa yang dianggap sebagai “permulaan kepada pencerobohan” terhadap Venezuela, di samping mengecam kehadiran tentera laut dan tentera udara AS di rantau Caribbean. Mereka yang menandatangani kenyataan bersama yang dimulakan oleh Progressive International ini termasuk Jeremy Corbyn (Ahli Parlimen Britain), Manon Aubry (Ahli Parlimen Eropah dari Perancis), Yanis Varoufakis (bekas Menteri Kewangan Greece), Irene Montero (Ahli Parlimen Eropah dari Sepanyol) dan ramai lagi.
“Di bawah panji memerangi ‘pengganas narko’, Trump meraikan serangan maut terhadap nelayan aman yang dilabelkan sewenang-wenangnya sebagai pembawa dadah,” begitu tulisnya kenyataan pemimpin-pemimpin politik Eropah. “Kita pernah membawa skrip ini sebelum ini. Di Colombia, Mexico dan seluruh Amerika Latin, ‘Perang terhadap Dadah’ oleh AS tidak memberikan keselamatan, tetapi limpahan pertumpahan darah, perampasan dan penyahstabilan.”
“Oleh itu, kami mengecam sekeras-kerasnya peningkatan ketenteraan terhadap Venezuela,” begitu katanya pemimpin-pemimpin politik Eropah. “Kami menyeru kuasa-kuasa progresif di seluruh Eropah untuk berdiri bersama rakyat Venezuela. Tuntutan kita adalah jelas dan ketekadan kita adalah teguh: Tiada perang terhadap Venezuela.”
Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang dianggotai oleh 121 buah negara juga menyeru pada kerajaan AS supaya menghentikan kenyataan-kenyataan yang provokatif dan tindakan-tindakan yang bermusuhan, termasuk serangan terhadap kapal-kapal nelayan kecil.
Di Venezuela, kerajaan pimpinan Maduro pula meningkatkan usaha untuk memobilisasi rakyat supaya mempertahankan negara itu daripada campur tangan ketenteraan AS. Walaupun rakyat Venezuela menghadapi pelbagai cabaran yang hebat dan kerajaan pimpinan Maduro tidak kekurangan kelemahannya dalam menangani krisis dalaman negara, sudah pasti ramai rakyat Venezuela tidak mahu melihat kedaulatan negara mereka diancam dan hasil Revolusi Bolivar selama lebih dua dekad dirampas begitu sahaja oleh kuasa imperialis AS. Rakyat Venezuela berhak untuk menentukan nasib mereka sendiri tanpa campur tangan kuasa imperialis dari luar.

