KUALA LUMPUR – 26 OKTOBER 2025: Selepas perhimpunan membantah kunjungan Trump ke Malaysia pada waktu pagi terpaksa berpindah lokasi, aksi protes “menyambut” kedatangan Trump “lebih meriah” lagi pada waktu petang dengan penyertaan anak muda yang penuh bersemangat.

Walaupun pihak polis melarang orang ramai daripada berhimpun di Ampang Park, malah stesen LRT yang berdekatan juga ditutup atas alasan “keselamatan” seperti waktu pagi, aksi protes anjuran Sekretariat Bantah Trump masih disertai oleh ratusan orang.

Sekretariat Bantah Trump ialah sebuah gabungan yang terdiri daripada organisasi-organisasi seperti GEGAR, Sekolah Merdeka, Students Against Genocide Malaysia (SAGM), Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI), Malaysian Protest 4 Palestine (MP4P), Basirah dan sebagainya.

Aksi protes anjuran Sekretariat Bantah Trump mengambil bentuk “tribunal rakyat” dengan wakil daripada pelbagai lapisan masyarakat memberi keterangan tentang kezaliman imperialis Amerika Syarikat (AS). Tribunal rakyat ini kemudiannya menjatuhkan “hukuman” terhadap Donald Trump, Presiden AS, atas kesalahan melakukan jenayah perang dan genosid, bukan sahaja terhadap rakyat Palestin, tetapi juga rakyat di negara-negara Selatan Global yang ditindas imperialisme, termasuk Kongo, Lubnan, Yaman, Filipina, Papua Barat dan sebagainya.

“Hukuman” yang dikenakan ke atas Trump ialah peserta-peserta protes membaling kasut ke arah karikatur Trump dan mengoyakkan karikatur itu. Aksi protes ini juga dimeriahkan dengan persembahan dan nyanyian lagu secara bersama.

Kenyataan bersama inisiatif Sekretariat Bantah Trump bersempena aksi protes membantah kunjungan ke Kuala Lumpur pada hari ini mengemukakan tuntutan-tuntutan seperti:

  • Hentikan sokongan AS terhadap pendudukan Zionis haram di Palestin, serta campur tangan dan pencerobohan ketenteraan AS di Gaza, Lubnan, Iran, Yaman, Venezuela dan lain-lain;
  • Hentikan kehadiran ketenteraan AS serta penggunaan pangkalan tentera AS di Asia Tenggara;
  • Hentikan campur tangan AS dalam konflik Laut Cina Selatan dan ASEAN;
  • Hentikan campur tangan AS dalam politik domestik melalui IMF, Bank Dunia, NED/NDI serta latihan ketenteraan bersama;
  • Hentikan sekatan unilateral terhadap negara-negara di Dunia Selatan, termasuk Iran, Kuba, Suria, Panama dan Paksi Perlawanan;
  • Hentikan penaklukan ekonomi ke atas negara-negara Asia Tenggara dan Dunia Selatan melalui perang tarif dan perjanjian perdagangan yang tidak adil seperti di Filipina dan Indonesia;
  • Hentikan mempengaruhi ekonomi Dunia Selatan dengan dasar neoliberalisme dan penswastaan yang hanya memanfaatkan kapitalisme monopoli Barat sambil menghancurkan hak pekerja, penjagaan kesihatan awam, dan perkhidmatan sosial di negara Dunia Selatan;
  • Bayar hutang iklim kepada negara membangun di Dunia Selatan segera. AS dan negara imperialis lain bertanggungjawab terhadap sebahagian besar pelepasan karbon dan kemusnahan alam sekitar melalui perang dan eksploitasi mereka di seluruh dunia.

Sekretariat Bantah Trump juga menggesa kerajaan Malaysia untuk:

  • Hentikan segala bentuk normalisasi hubungan dengan imperialis Amerika dan Israel, termasuk latihan tentera bersama AS dan Israel seperti RIMPAC dan Latihan Keris Strike.
  • Beri tekanan diplomatik, ekonomi, dan ketenteraan sepenuhnya kepada AS supaya menghentikan keganasan tentera serta penglibatannya dalam genosid di Gaza, Lubnan, Yaman, dan negara lain di Dunia Selatan yang ditindas oleh keganasan imperialis;
  • Nasionalisasikan sektor kunci dan kurangkan kebergantungan pada pelaburan langsung asing (FDI) dan pinjaman asing daripada institusi imperialis;
  • Sekat syarikat yang menyokong genosid termasuk pengeluar senjata dan pengurus aset seperti Lockheed Martin, BAE Systems, dan Blackrock.
  • Hentikan pengoperasian kedutaan AS sehingga AS menyekat Israel;
  • Laksanakan penyiasatan ke atas duta AS mengenai jenayah perang AS dan tolak pelantikan duta Nick Adams;
  • Kurangkan kebergantungan pada pertukaran tenaga fosil, khususnya bersama institusi imperialis dan negara seperti AS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *