KUALA LUMPUR – 13 OGOS 2025: Pekerja-pekerja ladang menggesa kerajaan untuk menggubal Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang supaya hak perumahan pekerja ladang dapat dijamin dan dilindungi. Seruan ini dibuat dalam aksi demonstrasi yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) pada hari ini di hadapan Bangunan Parlimen. Aksi protes pada hari ini disertai oleh lebih 500 orang.

JSML menyerahkan draf Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang yang dicadangkan itu kepada Parlimen Malaysia supaya ia dijadikan realiti. Draf akta ini ditujukan kepada Perdana Menteri Malaysia, Ketua pembangkang Parlimen dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Peserta-peserta aksi demonstrasi dihalang oleh pihak polis daripada menghampiri Bangunan Parlimen. S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang hadir bersolidariti bersama pekerja-pekerja ladang, telah ditolak sehingga jatuh ke tanah semasa berlakunya pergelutan antara para peserta aksi dan pihak polis di hadapan Bangunan Parlimen. Walau bagaimanapun, draf akta yang dibawa oleh JSML itu diserahkan kepada pihak berwajib, termasuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat, wakil kerajaan dan wakil pembangkang.

JSML telah terlibat dalam perjuangan pekerja ladang selama lebih 3 dekad. JSML merupakan sebahagian daripada Gabungan Marhaen. JSML pernah menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia sebelum ini untuk menuntut undang-undang yang menjamin hak perumahan masyarakat ladang di seluruh Malaysia, termasuk aksi protes di hadapan Bangunan Parlimen pada 4 Disember 2019. M. Kulasegaran dan M. Saravanan, semasa mereka memegang jawatan Menteri Sumber Manusia, masing-masing bersetuju secara prinsip bahawa isu perumahan pekerja ladang harus ditangani supaya pekerja ladang tidak mengalami krisis sosial kerana tiadanya rumah apabila mereka bersara.

JSML kemudiannya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas pada bulan Mac 2022 untuk merangka draf Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang. JSML menyerahkan dokumen berkenaan kepada 5 buah kerajaan negeri, iaitu Selangor (pada 17 Mei 2023), Perak (pada 8 Disember 2023), Johor (pada 2 Februari 2024), Negeri Sembilan (pada 20 Februari 2024) dan Kedah (13 Mac 2024), dengan seruan supaya merealisasikan undang-undang ini. Satu mesyuarat meja bulat dianjurkan oleh JSML pada 21 Februari 2024 dengan kehadiran wakil-wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta badan-badan bukan kerajaan. JSML juga menyerahkan satu salinan draf undang-undang ini kepada Kementerian Sumber Manusia pada 19 November 2024 dan memberikan taklimat berkaitan akta ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan di Parlimen pada 27 November 2024.

“Tuntutan perumahan untuk masyarakat ladang telah wujud sejak berdekad lama kerana rumah (kuarters) yang dibina untuk pekerja ladang, bukanlah milik pekerja,” kata R. Karthiges, Penyelaras JSML. “Rumah tersebut diberikan untuk didiami oleh pekerja selagi dia masih bekerja di ladang tersebut. Sekiranya seseorang pekerja sudah bersara atau diberhentikan kerja, pekerja tersebut harus memulangkan rumah tersebut kepada pihak majikan. Rungutan kaum pekerja ladang ialah harga rumah di pasaran sentiasa naik dan tidak boleh dibeli dengan gaji rendah mereka. Justeru, tuntutan utama kempen JSML ialah Kerajaan Persekutuan menggubal dan melaksanakan sebuah Akta Perumahan untuk pekerja ladang.”

S. Arutchelvan (kiri) dan R. Karthiges (kanan) menyerahkan draf Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang kepada Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

6 thoughts on “Seruan pekerja ladang: Gubal akta untuk jamin perumahan pekerja ladang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *