
KUALA LUMPUR – 13 OGOS 2025: Parti Sosialis Malaysia (PSM) melancarkan kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan pada hari ini.
Kempen ini mengemukakan 4 tuntutan utama:
- Hentikan Skim Rakan KKM;
- Moratorium terhadap hospital swasta baharu untuk lima tahun akan datang;
- Peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada 5% KDNK;
- Wujudkan siling untuk caj-caj hospital swasta.
PSM akan menganjurkan siri aktiviti seperti ceramah, pengedaran risalah dan penyebaran mesej di media sosial untuk menyedarkan orang ramai tentang kesan buruk pendekatan yang sedang diambil oleh kerajaan untuk “berniaga” dengan kesihatan, dan mengetengahkan tuntutan-tuntutan untuk menyelamatkan sistem kesihatan awam daripada ancaman pendekatan berniaga dengan kesihatan. Orang ramai boleh menyokong tuntutan kempen ini dengan menandatangani kad kempen, atau menandatangani petisyen dalam talian.
“PSM telah mengambil keputusan untuk membawa isu-isu berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh sistem kesihatan awam kita kepada perhatian rakyat jelata,” kata Gandipan Nanda Gopalan, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang juga merupakan Penyelaras Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam. “Kami ingin menjelaskan kepada rakyat Malaysia tentang betapa bahayanya program-program yang dipromosi oleh Kerajaan MADANI. Kami berharap bahawa rakyat akan memberi tekanan kepada kerajaan untuk menghentikan program-program yang akan menjejaskan lagi sistem kesihatan awam.”
Salah satu program yang mengancam sistem kesihatan awam ialah Rakan KKM. Rakan KKM merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikatakan menawarkan perkhidmatan “ekonomi premium” di hospital kerajaan terpilih kepada pesakit-pesakit yang sedia membayar lebih untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan tanpa perlu menunggu seperti pesakit-pesakit lain. Kerajaan mendakwa bahawa Rakan KKM memberi peluang kepada semua petugas penjagaan kesihatan yang terlibat untuk menjana pendapatan tambahan, maka dapat mengekalkan petugas penjagaan kesihatan dalam sistem penjagaan kesihatan awam, sementara lebihan pendapatan daripada program itu akan “dilaburkan semula bagi meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam untuk semua pesakit”. Rakan KKM boleh dikatakan sebagai penjenamaan semula “Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh” dengan beberapa pengubahsuaian. Dalam erti kata lain, kerajaan cuba menggunakan pendekatan berniaga dengan kesihatan untuk menangani masalah penghijrahan doktor pakar dari hospital awam ke sektor swasta.

“Rakan KKM tidak akan menangani masalah yang cuba diselesaikan itu, sebaliknya akan mengalihkan perhatian lebih banyak doktor daripada memberi perkhidmatan kepada pesakit-pesakit biasa, maka memanjangkan lagi masa menunggu bagi pesakit-pesakit biasa yang tidak mampu membayar kerana kakitangan hospital awam sekarang sudah tidak mencukupi,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM.
“Pelaksanaan Rakan KKM mewujudkan dua darjat dalam layanan untuk pesakit-pesakit yang mendapat rawatan di hospital kerajaan,” kata Letchumanan Alagan, seorang aktivis PSM yang juga merupakan seorang pemandu lori dan pengguna hospital awam. “Kenapa rakyat miskin yang memerlukan rawatan hospital tetapi tidak mampu bayar dibiarkan untuk menunggu lebih lama lagi sebaliknya orang yang mempunyai duit boleh mendapat rawatan lebih cepat?”
Dr. Jeyakumar juga menegaskan bahawa PSM menolak cadangan untuk melaksanakan skim insurans kesihatan sosial yang mengenakan semua rakyat untuk mencarum kepada dana insurans itu. PSM berpendirian bahawa kerajaan mempunyai peranan dalam mengagihkan semula kekayaan negara secara adil dengan menyediakan sistem kesihatan awam yang lebih baik tanpa membebankan rakyat jelata.
“Sebuah kerajaan yang prihatin pada kesejahteraan rakyat tidak harus menganggap kesihatan rakyat sebagai beban. Kerajaan harus melabur untuk masa hadapan masyarakat kita dengan meningkatkan peruntukan kepada sistem kesihatan awam,” kata Lim Chee Han, wakil daripada Forum Kesihatan Rakyat yang memberi sokongan kepada Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam. “Sistem kesihatan awam kita berada dalam keadaan kritikal, dan kerajaan perlu menyalurkan lebih banyak dana untuk menyelamatkannya, bukan cuba menjana pendapatan daripadanya. Kerajaan harus membuang idea ‘bayaran mengikut perkhidmatan’ (fee for service) untuk perkhidmatan kesihatan.”
“Forum Kesihatan Rakyat telah menyarankan untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang berasingan supaya mewujudkan sistem gaji yang memberi ganjaran lebih baik kepada petugas kesihatan, bukannya melalui mekanisme pasaran seperti Rakan KKM,” tambah Lim Chee Han. Cadangan tersebut telah dibawa dalam “Pelan Induk untuk Reformasi Kesihatan di Malaysia” yang diterbitkan oleh Forum Kesihatan Rakyat pada tahun 2022.
“Kerajaan MADANI mungkin boleh mengabaikan cadangan yang dibawa oleh PSM dan Forum Kesihatan Rakyat, tetapi jika suara rakyat cukup kuat, mereka terpaksa dengar,” kata Gandipan semasa menyeru pada orang ramai untuk menyokong kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam”.