(foto: RTM)

oleh S. Arutchelvan

Ucapan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan, semasa perbahasan mengenai Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada 6 Ogos 2025 di Dewan Rakyat, yang mengatakan bahawa “ tidak perlunya untuk pekerja asing sedia ada diwajibkan dibayar gaji minimum RM1,700 sebulan atau menyumbang 2% KWSP pekerja asing”, bukan sekadar diskriminasi, tetapi sokongan terang-terangan kepada eksploitasi zaman moden.

Cadangannya untuk membayar gaji yang lebih rendah kepada pekerja migran yang melakukan kerja 3D (dirty, dangerous, difficult – kotor, bahaya, susah) yang tidak mahu dilakukan oleh warga Malaysia membongkarkan agenda sebenarnya. Guan Eng hanya mahu mengambil hati kawan-kawan taukenya tanpa menyedari bahawa gaji yang lebih rendah bagi orang asing akan menyebabkan pihak majikan mengupah lebih banyak lagi pekerja migran berbanding pekerja tempatan kerana ia akan mengurangkan kos.

Jika Guan Eng benar-benar berminat untuk membantu pekerja-pekerja tempatan Malaysia, maka dia hanya perlu meminta para majikan untuk membayar pekerja-pekerja tempatan dengan gaji yang lebih tinggi tanpa mengganggu gaji minimum. Kenapa pula cuba mendesak untuk gaji yang lebih rendah, bukannya meningkatkan gaji ke paras yang lebih tinggi?

Kini, Guan Eng juga menyeru kerajaan Malaysia untuk tidak mematuhi peraturan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Biar saya mengingatkannya tentang beberapa perjanjian ILO:

  1. Konvensyen ILO No. 100 (1951): Mewajibkan “gaji yang sama untuk kerja yang sama nilai” tanpa mengira kewarganegaraan;
  2. Konvensyen ILO No. 111 (1958): Melarang diskriminasi berasaskan “asal usul bangsa” (secara jelas meliputi pekerja asing);
  3. Konvensyen ILO No. 143 (1975): Mengkehendaki layanan yang sama rata untuk migran dalam gaji dan keadaan kerja.

Namun, Guan Eng menolak untuk menerima piawaian-piawaian ini, dengan mengatakan bahawa “Malaysia TIDAK terikat dengan peraturan-peraturan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam ILO”. Sikap hipokrit ini sangat mengejutkan; terutamanya selepas usaha kerajaan selama bertahun-tahun untuk menyelaraskan dasarnya supaya selari dengan piawaian-piawaian ILO. Nampaknya DAP cuba meniru semua yang dilakukan oleh Singapura di bawah pemerintahan PAP, termasuk mengurangkan piawaian hak asasi manusia dan hak pekerja.

PSM telah lama mengecam caruman KWSP yang hanya 2% bagi pekerja-pekerja migran, kerana jauh lebih rendah berbanding 11-13% bagi pekerja-pekerja tempatan. Sekarang ini, Guan Eng mahu menghapuskan pula caruman 2% yang begitu rendah itu dan seterusnya mengukuhkan lagi ketidaksaksamaan.

Lim Guan Eng agak konsisten dalam dasar-dasarnya yang bersifat diskriminasi. Semasa dia menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, dia pernah menyeru untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum bagi pekerja-pekerja migran – membuktikan sikapnya yang konsisten dalam mengabaikan hak pekerja.

Tan Sri Muhammad Ibrahim, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), menyatakan baru-baru ini bahawa gaji sebenar telah menurun sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh 40 tahun kebelakangan ini. Cadangan Guan Eng sebenarnya akan menekan gaji ke paras yang lebih rendah lagi dengan mewujudkan kelonggaran undang-undang untuk buruh migran yang lebih murah, menggalakkan pihak majikan untuk mengupah pekerja asing berbanding pekerja tempatan, memburukkan lagi masalah pengangguran rakyat tempatan dan menjejaskan kemajuan hak pekerja yang dicapai dalam beberapa dekad kebelakangan ini, sehingga menurunkan taraf negara Malaysia kepada sebuah ekonomi gaji rendah.

Secara kesimpulannya, pendirian Lim Guan Eng adalah mengambil lebih banyak pekerja asing untuk bekerja di negara kita, memudahkan pengambilan pekerja asing tetapi memastikan pekerja asing dibayar dengan gaji yang lebih rendah supaya golongan majikan bergembira. Cadangannya ialah mengurangkan piawaian buruh kita, di samping mengamalkan dasar-dasar diskriminasi.

Cadangan yang cuba mewujudkan persaingan antara pekerja-pekerja tempatan dan pekerja-pekerja asing ini hanya akan menyebabkan semua pekerja kehilangan hak mereka.

PSM menegaskan semula seruan kami untuk gaji minimum yang sama rata bagi semua pekerja, caruman KWSP yang sama rata bagi pekerja migran dan penguatkuasaan yang ketat peraturan-peraturan Konvensyen ILO.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *