(foto: Mohammadjavad Alikhani / Mehr News Agency)

Rejim Zionis Israel, yang masih meneruskan jenayah genosid di bumi Palestin, mula melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran sejak 13 Jun 2025. Tindakan agresif terbaru rejim Zionis Israel ini hanya menunjukkan sekali lagi ia merupakan pengganas sebenar yang mengancam keamanan dunia. Jelas sekali, rejim Zionis Israel langsung tidak ragu-ragu dalam terus melakukan jenayah perang dengan sokongan penuh daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS).

Bermula dari 13 Jun 2025, tentera Israel melancarkan siri serangan udara terhadap Iran, bukan sahaja menyasarkan tapak nuklear dan pangkalan tentera, malah juga mengebom kawasan kediaman orang awam. Setakat ini, sekurang-kurangnya 200 orang warga Iran dibunuh dalam serangan ketenteraan Israel, termasuk orang awam. Beberapa orang pegawai tentera tinggi dan ahli sains nuklear di Iran juga dibunuh. Kerajaan Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel.

Serangan rejim Zionis Israel terhadap sebuah negara berdaulat yang lain secara mengejut itu telah melanggar undang-undang antarabangsa. Namun, ia mendapat sokongan daripada kerajaan AS untuk berbuat demikian. Kerajaan AS dan sekutu-sekutunya menunjukkan hipokrasi dan dwistandard yang jelas. Kuasa-kuasa besar Barat itu begitu lantang bersuara membantah pencerobohan tentera Rusia terhadap Ukraine, tetapi tidak mempeduli apabila Iran diserang, malah adanya yang cuba mempertahankan tindakan agresif Israel. Kedua-dua Rusia dan Israel melakukan tindakan ketenteraan yang agresif, tetapi kuasa-kuasa besar Barat hanya memilih untuk mengecam pihak yang tidak disukai mereka sementara terus melindungi sekutu rapat mereka. Malah, Donald Trump mahu kerajaan Iran menyerah kalah tanpa syarat.

Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel yang ghairah melakukan genosid dan mengapi-apikan perang di merata tempat, menggunakan program nuklear Iran sebagai alasannya untuk melancarkan serangan ke atas Iran. Namun, program nuklear Iran merupakan salah sebuah program nuklear yang paling ketat pemantauannya oleh masyarakat antarabangsa, sedangkan rejim Zionis Israel sendiri pun mempunyai senjata nuklear. Isu yang berkisar pada program nuklear Iran telah dibincang sekian lama dengan penglibatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan negara-negara lain. Rundingan dengan kerajaan AS masih berjalan walaupun penuh cabaran, tetapi rejim Zionis Israel terus memintas dengan melancarkan serangan ketenteraan. Ternyata tindakan agresif rejim Zionis Israel itu berniat untuk menggagalkan sebarang usaha rundingan secara damai mengenai isu program nuklear Iran dan terus menyemarakkan api peperangan. Serangan ketenteraan Israel terhadap Iran merupakan satu cubaan berniat jahat untuk menghukum rakyat Iran dengan keganasan melampau dan mewujudkan keadaan untuk perubahan rejim di negara itu.

Selain mendapat sokongan daripada kuasa imperialis AS, banyak negara di dunia, termasuk negara-negara di rantau Timur Tengah, telah gagal mengambil tindakan yang berkesan untuk sekurang-kurangnya memulaukan rejim Zionis Israel. Ini telah membolehkan rejim Zionis Israel untuk terus mengganas di rantau Timur Tengah, meragut nyawa rakyat, menghancurkan kehidupan masyarakat setempat dan mengancam keamanan dunia.

Walaupun Israel telah melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, kerajaan AS masih memberikan sokongan tidak terhad kepadanya, malah bersedia untuk mencampur tangan langsung supaya membantu Israel. Rejim Zionis Israel seolah-olah pengganas yang mempunyai kekebalan dalam menyerang dan membunuh sesiapa sahaja. Rejim Zionis Israel mempunyai sejarah berpanjangan dalam menggunakan pelbagai kaedah keganasan, termasuk genosid, untuk memenuhi cita-citanya untuk memperluaskan kekuasaan dan mendominasi rantau Timur Tengah.

Sejak bulan Oktober 2023, selain melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza, rejim Zionis Israel sudah melancarkan serangan terhadap negara-negara jirannya seperti Lubnan dan Syria, dan sekarang ini menumpukan serangan agresifnya terhadap Iran, sebuah negara yang mendukung usaha perjuangan pembebasan rakyat Palestin. Adalah jelas bahawa rejim Zionis Israel cuba melemahkan malah memusnahkan segala sokongan yang boleh diterima oleh gerakan pembebasan rakyat Palestin, supaya ia boleh meneruskan projeknya untuk mengusir keluar semua rakyat Palestin dari bumi Palestin. Rejim Zionis Israel memang tiada niat untuk membenarkan pembentukan negara Palestin yang merdeka. Ia bukan sahaja tidak mahu “Penyelesaian Dua Negara”, malah tidak mahu rakyat Palestin wujud di bumi Palestin.

Adalah penting untuk rakyat di seluruh dunia terus mendesak kerajaan masing-masing untuk mengambil tindakan konkrit yang dapat menyekat tindakan agresif rejim genosid Zionis Israel yang disokong oleh kuasa imperialis AS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *