(foto: Hamdan Nordin / facebook)

oleh Gandipan Nantha Gopalan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam tindakan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengganggu aktiviti diskusi dan budaya membaca dalam sebuah siri Buku Jalanan pada Sabtu lalu (10 Mei 2025) di Dataran Merdeka. Federasi Pemuda Kebangsaan (NYF) berkongsi bahawa pihak polis dan DBKL mengarahkan anak muda ini untuk menamatkan program dan bersurai pada jam 10 malam. Tindakan ini merupakan pencabulan hak asasi rakyat dan menunjukkan sikap kerajaan terhadap kebebasan berhimpun dan berfikir.

PSM ingin menegaskan bahawa ia adalah hak rakyat untuk berhimpun, berdiskusi dan menjalankan aktiviti intelektual tanpa permit di ruang awam seperti Dataran Merdeka. Tindakan polis yang minta “surat permakluman” untuk aktiviti membaca dan berbincang adalah tidak berasas dari segi undang-undang dan melanggar hak perlembagaan. Kehadiran anggota polis dan pegawai DBKL untuk menghentikan dan memerhatikan program ini adalah satu bentuk intimidasi terhadap anak muda. Malah, secara langsung bercanggah dengan seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada anak muda dalam ucapan perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023, percayalah kalau mahu menjadi manusia dan insan yang menyebut karamah insaniah, manusia yang ada nilai, akhlak dan ilmu, mesti mulakan tradisi membaca dengan serius. Ironi yang cukup membimbangkan jika ungkapan sebegini hanya menjadi hiasan, manakala anak-anak muda yang menyahut seruan ini diawasi dan dihalang oleh para penguatkuasa.  

(foto: Hamdan Nordin / facebook)

Pihak polis dan DBKL harus memberi penjelasan tentang kuasa undang-undang yang mewajibkan permit untuk membaca buku dan rasional dalam mengarahkan anak muda ini untuk bersurai pada jam 10. Pihak polis dan DBKL juga harus berhenti mengganggu aktiviti-aktiviti intelektual di ruang awam pada masa yang akan datang. 

Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang dahulunya membanggakan diri sebagai pejuang reformasi kini mengulangi taktik zalim yang digunakan rakan sekutu baharunya, Barisan Nasional. PSM bersolidariti bersama anak muda yang menghadapi intimidasi dan menyeru semua rakyat Malaysia supaya terus menggunakan ruang awam untuk diskusi, bacaan dan protes.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *