
Rejim Zionis Israel telah meneruskan keganasan genosid di Gaza pada 18 Mac 2025 dengan melancarkan siri serangan baharu yang membunuh lebih 400 orang warga Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, pada hari pertama serangan. Tindakan rejim Zionis Israel itu sekali gus membatalkan persetujuan gencatan senjata yang dicapai pada 15 Januari 2025.
Serangan mengejut terbaru oleh rejim Zionis Israel itu dilakukan pada ketika warga Muslim di Gaza sedang menyambut bulan Ramadan. Sebelum itu, pihak kerajaan Israel telah melanggar gencatan senjata sepanjang tempoh dua bulan yang lalu, dengan lebih 100 orang awam dibunuh, rumah dirobohkan, pembebasan tahanan dilambat-lambatkan dan pelarian dihalang daripada pulang ke wilayah asal mereka semasa tempoh gencatan senjata selama dua bulan yang lalu. Serangan ketenteraan besar-besaran yang terbaru terhadap Gaza sekali lagi menunjukkan rejim Zionis Israel langsung tidak berhasrat untuk mewujudkan keamanan di Gaza dan bumi Palestin.
Penyambungan perang genosid di Gaza merupakan usaha Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kemelut politik yang sedang menghantuinya, termasuk perbicaraan terhadap kes korupsinya.
Rejim Zionis Israel boleh terus melanggar persetujuan gencatan senjata dan meneruskan jenayah genosid kerana ia masih mendapat sokongan kuat daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS). Donald Trump yang mengambil alih kuasa sebagai Presiden AS sejak bulan Januari 2025 pernah berebut-rebut untuk mendapatkan kredit berkaitan persetujuan gencatan senjata di Gaza, tetapi adalah jelas bahawa dia tidak pernah berhasrat untuk mewujudkan keamanan yang berkekalan di Gaza dan seluruh wilayah Palestin, sebaliknya hanya memikirkan tentang kepentingan ekonomi kapitalis AS dan sentiasa menyokong rejim Zionis Israel selaku sekutu rapatnya di rantau Timur Tengah.
Apa yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin merupakan jenayah terhadap kemanusiaan yang paling keji dalam sejarah. Ia merupakan lanjutan daripada Nakba sejak tahun 1848 yang menafikan rakyat Palestin hak untuk menentukan nasib mereka sendiri dan hidup secara bermaruah dalam suasana yang aman. Sepanjang tiga suku abad yang lalu, rakyat Palestin diusir keluar dari kampung halaman mereka dan dibunuh sewenang-wenangnya.
Apa yang diamalkan oleh rejim Zionis Israel di bumi Palestin itu adalah penjajahan, apartheid dan genosid yang melanggar segala undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Walaupun melakukan begitu banyaknya kezaliman, rejim Zionis Israel nampaknya kebal daripada sebarang hukuman di sisi undang-undang antarabangsa. Ini kerana ia mendapat sokongan kuat daripada kuasa imperialis AS dari segi diplomatik, politik, ekonomi, kewangan dan ketenteraan. Kerajaan AS telah memveto setiap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengecam jenayah perang Israel. Kerajaan AS juga menentang siasatan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap jenayah keganasan rejim Zionis Israel, maka terus menafikan keadilan untuk rakyat Palestin.
Oleh itu, selain perlu memulaukan rejim Zionis Israel, masyarakat antarabangsa juga perlu memulaukan AS selagi ia masih menyokong kezaliman rejim Zionis Israel di bumi Palestin. Bagi kerajaan Malaysia, selain daripada segala usaha yang sedia ada dalam bersolidariti bersama Palestin, adalah penting untuk meningkatkan usaha dalam memberi tekanan kepada kerajaan AS supaya ia menghentikan sokongan kepada rejim Zionis Israel. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah:
- Menggantungkan hubungan diplomatik sementara dengan AS, dengan memanggil balik Duta Malaysia ke AS dan menghantar balik Duta AS ke Malaysia. Ini hanya satu tindakan yang simbolik, tetapi ia memberikan mesej yang kuat berbanding retorik kosong dalam menyatakan bantahan terhadap kerajaan AS berkenaan sokongannya kepada rejim Zionis Israel.
- Menghentikan segala kerjasama dan hubungan dengan syarikat-syarikat korporat yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan rejim Zionis Israel.
- Mengenakan sekatan ekonomi terhadap AS sehingga ia berhenti menyokong rejim Zionis Israel. Ini boleh dilakukan dengan menggembleng negara-negara serantau di Asia Tenggara dan negara-negara Selatan Global untuk melakukan sekatan ekonomi yang berkesan. Kerajaan AS hanya akan goyah apabila kekuasaan ekonominya betul-betul terjejas dan mula berfikir secara rasional untuk tidak lagi menyokong rejim Zionis Israel yang melakukan jenayah genosid.
Keamanan tidak mungkin akan wujud di rantau Timur Tengah, selagi tiadanya keadilan dan pembebasan untuk rakyat Palestin. Perjuangan rakyat Palestin ialah perjuangan menentang apartheid, Zionisme, kolonialisme dan imperialisme. Adalah penting untuk masyarakat sedunia terus berusaha menghentikan jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel dengan tindakan bersama yang bersepadu dan berkesan.