(foto: Menahem Kahana / AFP)

Satu persetujuan gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah dicapai antara Hamas dan Israel, selepas proses rundingan dengan kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) sebagai pengantara. Pengumuman mengenai persetujuan gencatan senjata itu dibuat pada 15 Januari 2025 oleh Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim bin Jabr Al Thani, Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Qatar.

Sheikh Mohammed berkata bahawa gencatan senjata akan berkuat kuasa mulai 19 Januari 2025, dan mendedahkan sebahagian maklumat terperinci mengenai persetujuan itu. Hamas telah bersetuju untuk membebaskan tebusan dari Israel yang diculik semasa serangan “Operasi Taufan al-Aqsa” pada 7 Oktober 2023, untuk mendapat pembebasan tahanan Palestin dari penjara Israel.

Mengikut persetujuan yang dicapai, fasa pertama akan melibatkan pembebasan 33 orang tebusan oleh Hamas untuk bertukar dengan pembebasan 50 orang tahanan Palestin bagi setiap orang askar wanita Israel yang dibebaskan; sementara rakyat Palestin yang diusir keluar dari rumah mereka dibenarkan untuk bergerak secara bebas di dalam Gaza, orang yang cedera boleh dipindah keluar untuk rawatan, dan bantuan yang dibenarkan masuk ke dalam Gaza meningkat kepada 600 buah trak setiap hari.

Rundingan mengenai pelaksanaan fasa kedua akan bermula 16 hari selepas gencatan senjata berkuat kuasa, untuk merundingkan perkara-perkara termasuk pembebasan 65 orang tebusan Israel yang masih tinggal bagi sejumlah tahanan Palestin yang dipersetujui, gencatan senjata yang berkekalan, dan pengunduran keluar tentera Israel yang sepenuhnya dari Semenanjung Gaza.

Fasa ketiga pula melibatkan pembinaan semula Gaza di bawah pemantauan beberapa buah negara dan organisasi antarabangsa, termasuk Mesir, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kerajaan AS, penyokong kuat rejim genosid Zionis Israel, mengesahkan pencapaian persetujuan gencatan senjata itu dalam satu pengumuman yang dibuat oleh Joe Biden selaku Presiden AS. Pada ketika Joe Biden cuba mengatakan bahawa dia telah memainkan peranan dalam menjayakan persetujuan gencatan senjata itu, Donald Trump, Presiden terpilih AS yang akan mengangkat sumpah pada 20 Januari 2025, turut berebut-rebut untuk mendapatkan kredit berkaitan persetujuan gencatan senjata itu.

Khalil al-Hayya, Pengerusi Biro Politik Hamas, berkata bahawa persetujuan gencatan api itu merupakan “detik bersejarah” dalam perjuangan rakyat Palestin untuk kebebasan. Abdul-Malik Badr al-Din al-Houthi, pemimpin kumpulan Ansar Allah di Yaman, berkata bahawa kumpulannya akan menggantungkan serangan terhadap kapal-kapal yang melalui Laut Merah tetapi akan meneruskannya jika pihak Israel memungkiri janjinya dalam persetujuan gencatan senjata. Serangan Ansar Allah terhadap kapal-kapal yang melalui Laut Merah telah mengalihkan laluan kebanyakan kapal komersial ke arah Tanjung Harapan di Afrika Selatan, sementara tindak balas AS, Britain dan Israel terhadap sekatan laut oleh Ansar Allah itu pula membunuh sekurang-kurangnya 50 orang warga awam Yaman.

(foto: Abdel Kareem Hana / AP Photo)

Genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat di Gaza telah membunuh lebih 46,700 orang warga Palestin di Gaza, sementara lebih 110,000 orang cedera dan 2 juta orang menjadi pelarian di dalam wilayah itu. Lebih 850 orang warga Palestin dibunuh di Tebing Barat dalam tempoh masa yang sama. Dalam tempoh 24 jam selepas pengumuman persetujuan gencatan senjata pada 15 Januari 2025, 81 orang lagi penduduk Gaza dibunuh dalam serangan tentera Israel.

Berita tentang persetujuan gencatan senjata terbaru ini memberi sedikit kelegaan kepada penduduk-penduduk Gaza yang sudah ditimpa bencana genosid sepanjang 15 bulan yag lalu. Sebelum ini, pernuh tercapainya persetujuan gencatan sementara antara Hamas dan Israel pada bulan November 2023, tetapi hanya bertahan seminggu.

Gencatan senjata ini dicapai selepas desakan daripada pelbagai pihak dan gerakan anti-perang di merata tempat dengan tuntutan menghentikan genosid di Gaza. Namun, beberapa orang pemimpin penting Hamas, termasuk Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar, telah dibunuh oleh rejim Zionis Israel, sementara sekutu penting Hamas, Hizbullah, juga mengalami pukulan hebat akibat serangan keganasan oleh rejim Zionis Israel terhadap Lubnan yang membunuh ramai orang, termasuk Hassan Nasrallah.

Persoalan yang kritikal sekarang ini adalah, sama ada persetujuan gencatan senjata terbaru ini dapat dilaksanakan dan berkekalan. Cabaran dan rintangan utamanya sudah tentu datang daripada rejim Zionis Israel yang tidak pernah mempedulikan hidup mati rakyat Palestin. Rejim pemerintahan pelampau kanan Benjamin Netanyahu di Israel telah cuba menggunakan perang genosid terhadap Gaza untuk mengekalkan kekuasaannya, dan dia telah merosakkan semua usaha pendamaian sebelum ini untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap warga Palestin. Mungkin tiada orang yang benar-benar percaya bahawa rejim genosid yang membunuh begitu ramai orang itu akan menepati semua yang dijanjikan. Lebih-lebih lagi, penderitaan dan penindasan yang dihadapi oleh rakyat Palestin, sama ada di Semenanjung Gaza atau Tebing Barat pada hari ini, bukannya bermula pada 7 Oktober 2023, tetapi sejak penubuhan negara Zionis Israel yang rasis dan “Nakba” pada tahun 1947.

Masa hadapan untuk rakyat Palestin masih tidak menentu. Selagi rejim Zionis Israel yang disokong oleh kuasa imperialis AS itu masih wujud, rakyat Palestin akan tetap ditindas. Selagi bumi Palestin masih diduduki oleh rejim genosid Israel, rakyat Palestin tidak dapat keluar daripada bayangan keganasan Zionis. Selagi keadilan untuk rakyat Palestin masih belum wujud di bumi Palestin, kedamaian berkekalan tidak mungkin dapat tercapai di rantau Timur Tengah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *