Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam cubaannya untuk menindas suara golongan minoriti di Malaysia.

Antara cadangan pindaan yang dikemukakan oleh KDN ialah:

  • Mengembalikan keperluan pembaharuan lesen setiap tiga tahun;
  • Meluaskan takrifan penerbitan termasuk kandungan digital serta elektronik;
  • Memperluas hukuman jenayah dan memperkenalkan penalti lebih berat

Pada bulan November 2024, kumpulan seperti Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), Centre for Independent Journalism (CIJ), Independent Media Movement, Fourth for the Fourth (404), Amnesty Malaysia dan lain-lain kuat membantah cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menyekat kebebasan bersuara. 

Pada 19 Februari 2025, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerbitkan soal selidik dalam talian untuk memperoleh pendapat rakyat Malaysia tentang cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Soalan yang tertera di dalam soal selidik tersebut bersifat diskriminasi dan dikemukakan dengan niat untuk mengelirukan atau memerangkap responden dengan mengetengahkan stereotaip negatif terhadap minoriti LGBTQ+. 

Ini adalah salah satu langkah keji kerajaan pusat untuk meneruskan agenda yang menindas minoriti LGBTQ+ dan juga usaha mereka mengaitkan minoriti LGBTQ+ sebagai pengganas ekstremis yang mampu untuk mengancam keselamatan dan ketenteraman awam negara. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam soalan nombor 16 dalam borang soal selidik tersebut.

“16. Adakah penularan dan lambakan bahan bercetak yang mempunyai unsur lucah/LGBTQ+/radikalisme/keganasan boleh memudaratkan kemoralan dan memberi impak kepada keselamatan dan ketenteraman negara?”

Realitinya, minoriti LGBTQ+ sudah pun dianiaya di Malaysia dari segi undang-undang dan penerimaan masyarakat. Sentimen berunsur kebencian dan ugutan berunsur jenayah sering dilontarkan terhadap golongan ini di media sosial dan juga dalam kehidupan seharian. 

Penemuan para ilmuan sosiologi dan psikologi di institusi terkemuka di seluruh dunia telah secara konsensus mengelaskan identiti gender trans, bukan binari dan orientasi seksual sejenis sebagai satu sifat semula jadi manusia dan bukan penyakit. Oleh itu, PSM menyeru kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dalam perkara ini agar masyarakat dan negara dapat bergerak keluar dari pemikiran kolot dan mengelakkan kemudaratan lebih besar daripada terjadi.

PSM juga ingin menekankan Rukun Negara yang ke-5, Kesopanan dan Kesusilaan, tanpa batas bangsa, agama, seksualiti dan identiti gender. PSM bersetuju perlu wujud sekatan ke atas pencetakan bahan berunsur lucah untuk tatapan umum, namun tidak bersetuju dengan cubaan pukul rata segala topik berkaitan LGBTQ+ atau identiti LGBTQ+ itu sendiri sebagai sesuatu kelucahan semata-mata.

KDN jelas mempunyai kuasa untuk menyalahgunakan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dalam mengawal batasan kandungan media sesuka hati di Malaysia dan menghukum pandangan yang bertentangan dengan mereka secara keras dan melampau. 

Kami mengingatkan KDN bahawa hak kebebasan bersuara untuk rakyat Malaysia masih lagi dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan. Sudah tiba masanya komuniti LGBTQ+ didekati secara ilmiah dan hak mereka perlu dilindungi.

==========

Kenyataan ini disediakan oleh Rosa Floera, anggota Rainbow Troupe, Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *