KUALA LUMPUR – 20 DISEMBER 2024: Pelajar-pelajar Universiti Malaya (UM), alumni-alumni UM, masyarakat sivil dan individu-individu yang prihatin menggesa pihak pentadbiran UM supaya mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap pelaku gangguan seksual dan memperbaiki dasar anti-gangguan seksual di dalam kampus UM.

Kelab Feminisme UM menyerahkan satu memorandum di Bangunan Canseleri pada hari ini dengan seruan kepada pihak pentadbiran UM supaya lebih serius dalam menangani kes gangguan seksual di situ. Turut hadir bersolidariti ialah alumni-alumni UM, wakil Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM), wakil masyarakat sivil dan individu-individu yang prihatin.

Kes gangguan seksual yang dilaporkan baru-baru ini adalah berkenaan dengan seorang profesor daripada Institut Sains Matematik, Fakulti Sains UM, yang didakwa telah melakukan tindakan gangguan seksual terhadap beberapa orang pelajar dengan cara seperti menghantar gambar lucah kepada pelajarnya.

Adalah difahamkan bahawa pernah juga berlakunya kes gangguan seksual yang serupa pada tahun 2020, tetapi tidak dikendalikan dengan baik disebabkan oleh sikap birokratik pihak pengurusan UM dan dasar anti-gangguan seksual yang tidak berkesan. Kelas Feminisme UM pernah menyerahkan memorandum dengan cadangan menambahbaikkan keselamatan di dalam kampus pada 29 Mac 2024 dan kemudiannya bertemu dengan pihak universiti, tetapi pihak pengurusan UM enggan mengambil serius terhadap tuntutan yang dikemukakan.

Kes terbaru ini bukannya kes terpencil di kampus-kampus Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia, terutamanya di UM. Statistik daripada Kelab Feminisme UM menunjukkan bahawa 1 daripada 5 orang pelajar pernah mengalami gangguan secara seksual di kampus dan hanya 11.1% daripada jumlah ini yang tampil ke hadapan untuk tindakan lanjut.

“Aduan telah dibuat kepada pihak universiti, tetapi tiada maklum balas daripada pihak universiti. Ini menunjukkan kegagalan Universiti Malaya dalam mengambil tindakan segera terhadap isu gangguan seksual di kampus,” begitu tulisnya memorandum daripada Kelab Feminisme UM yang ditujukan kepada pihak pengurusan UM. “Sikap acuh tak acuh daripada pihak pengurusan UM dalam menangani isu gangguan seksual ini menunjukan UM bukan sahaja tidak profesional, malah mengabaikan hak-hak pelajar serta keselamatan pelajar.”

3 tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum Kelab Feminisme UM ialah:

  1. Menggantung jawatan pensyarah yang terlibat itu dengan serta-merta – Ini bukan sahaja dapat memastikan keselamatan pelajar, tetapi juga boleh mengelakkan campur tangan daripada profesor yang berkenaan dalam siasatan terhadap kes ini.
  2. Menyiasat kes gangguan seksual secara tegas dan adil.
  3. Memperbaiki dasar keselamatan kampus UM – Ini termasuk memperbaiki kelemahan dalam dasar anti-gangguan seksual yang sedia ada. Untuk mewujudkan sebuah kampus yang lebih selamat, UM perlu menggubal dasar yang lebih jelas dan berkesan, mengambil langkah untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang isu gangguan seksual, dan mengambil tindakan dengan segera terhadap kes gangguan seksual.

“Sebagai institusi pengajian tinggi yang paling berprestij di Malaysia, UM perlu memainkan peranan dalam membanteras isu gangguan seksual,” kata Chin Jes Weng, Presiden Kelab Feminisme UM. “Kejayaan akademik dan kesejahteraan seluruh komuniti kampus bergantung pada komitmen universiti terhadap isu ini dan langkah untuk melindungi hak setiap pelajar dan kakitangan.”

“Dengan 60.4% pengambilan pelajar baharu pada tahun 2023 adalah wanita, universiti harus memberi keutamaan dalam menangani keganasan seksual dan memastikan sebuah kampus yang selamat,” ulas Chin Jes Weng. “Persekitaran pembelajaran yang selamat adalah hak asas. Pihak universiti harus menunjukkan komitmennya untuk membanteras keganasan gender dan mendukung kesaksamaan gender.”

“Untuk membentuk sebuah masyarakat yang adil, UM perlu menumpukan perhatian dalam aspek kesaksamaan gender,” tambah Chin Jes Weng. “Semua pelajar dan kakitangan mempunyai hak untuk berada di sebuah kampus yang selamat. Hanya dengan mencegah keganasan seksual secara proaktif dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu gender di universiti, hak-hak asasi manusia tersebut dapat dipelihara.”

Alumni-alumni program Sarjana Sastera (MA) Pengajian Gender di Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM juga menyatakan pendirian tegas mereka untuk menentang gangguan seksual di UM. 10 tuntutan yang dikemukakan oleh alumni-alumni UM ini ialah:

  1. Menggantung tugas segera terhadap mana-mana anggota fakulti yang dituduh dengan bukti yang kukuh sejurus selepas laporan gangguan seksual dikemukakan;
  2. Meneliti semula dan menambah baik Kod Bebas Eksploitasi Penganiayaan dan Gangguan Seksual (KOD) supaya memfokus pada melindungi dan memberdaya pemandiri (survivor-centric), dan bukannya melindungi reputasi universiti atau orang kena tuduh tersebut;
  3. Mengenal pasti  identiti pesalah laku seksual dan menghebahkannya secara umum sebagai mekanisme perlindungan kepada komuniti pelajar;
  4. Ketelusan penuh berhubung hasil siasatan semua aduan kes gangguan seksual;
  5. Menubuhkan sebuah pejabat hal ehwal gangguan seksual atau ombudsman yang bebas;
  6. Memberikan khidmat dan akses ujian kesihatan fizikal dan mental yang diperlukan pemandiri (survivor) kes salah laku seksual dengan kadar segera.
  7. Mewajibkan latihan tahunan tentang pencegahan gangguan seksual yang berkesan kepada semua staf dan pelajar universiti di setiap fakulti, jabatan dan kolej kediaman;
  8. Menubuhkan satu jawatankuasa pemantau luar melibatkan alumni, pakar pengajian gender dan pakar perundangan untuk menyelia pengurusan universiti berkaitan kes gangguan seksual serta memastikan pematuhan amalan terbaik;
  9. Melakukan pengauditan bebas secara berkala berkaitan bagaimana aduan gangguan seksual diuruskan
  10. Universiti harus menerbitkan satu laporan tahunan yang memperincikan situasi menyeluruh berkaitan bilangan aduan gangguan seksual yang diterima, proses lanjutan dan setiap hasil siasatan.

Alumni-alumni UM juga menggesa Kementerian Pengajian Tinggi untuk melaksanakan langkah tegas bagi mengekang gangguan seksual dan salah guna kuasa, terutamanya kes yang melibatkan pensyarah. “Persekitaran akademik yang selamat dan saksama wajib diwujudkan,” begitu tulisnya surat terbuka mereka. “Terdapat kekangan yang menghalang para pemandiri daripada bersuara. Hal ini menuntut kepada wujudnya sistem sokongan yang lebih mendukung. Sistem sokongan ini perlu merangkumi akses kepada bantuan komprehensif seperti bantuan guaman, kaunseling dan perubatan. Hal ini bagi memastikan pemandiri menerima semua sokongan yang diperlukan untuk pulih dan mendapat keadilan. Tanpa sistem sebegini, kitaran penganiayaan dan pembungkaman akan terus berlaku, sekali gus menjatuhkan integriti institusi pendidikan kita.”

Surat terbuka daripada alumni-alumni program MA Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, turut disokong oleh lebih 50 buah organisasi, termasuk Klima Action Malaysia (KAMY), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sisters in Islam (SIS), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), University Malaya Association of New Youth (UMANY), Pusat Pelajar Marhaen, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan banyak lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *